29 March 2011

Venice

26 bulan Satu tahun ini.

Tiba di Milan Malpensa Airport, dari Airport Madrid. Terjadi adegan 'mamai-mamai' tinggalkan beg, menonong je keluar. Nasib baik ada ahli kembara yang prihatin mengangkat beg-beg berat yang lain. Ya ampuun. hah.

Kemudian, kami menaiki Malpensa Shuttle ke Milan Central Station. Kami terlepas tiket train murah. Kami tersalah ( saya tak tahu ) tengok tiket hingga 'silap' tempat duduk. Lari-lari tukar tempat sambil sangat malu dengan penumpang yang 'memberikan tempatnya untuk kami duduk'. Kami ( saya ) 'terlupa' stamp tiket, hingga ada kemungkinan disaman. Ish ish ish.

Ha, belum habis lagi. Kami ambil vaporetto no 1 ke Hotel Alla Salute.




jangan berdiri!!

Dalam vaporetto tu, saya bertanya pada ahli kembara,
"Apa bestnya Venice ni?"

..hingga ada yang sungguh-sungguh mahu ke mari...

Err, saya lupa jawapan apa yang diberi. 



Hotel ini memang sebenarnya terletak dua tiga minit je dari 'pangkalan' tapi, kami terlajak (sekali lagi, salah saya) . Pengajarannya, semasa kembara, untuk memastikan kita menuju ke tempat yang betul, kita perlu dua;
1. Peta
2. Bertanya orang tempatan.

Salah satu pun sudah cukup, tapi bukan dalam semua keadaan. Keadaan ini, contohnya.=)
Kembara ini, dan kembara seluruh hidup kita.

Ok. sampai hotel. Ingatkan sudah boleh rehat, rupanya.......


......kami diberi peluang mengenali Uncle Aziz dengan lebih 'mesra'. ahaks.



video

Setelah mengetahui kami boleh berbahasa Arab, layanan beliau berubah 180 darjah.
Tiba-tiba kad kredit 'kami' valid.
Tiba-tiba, bilik yang sebelumnya 'penuh' ada dua katil kosong.
Tiba-tiba, kamilah 'ahsan nas'.
Beliau menyebut, selalunya, pelanggan, bila keadaan begini, akan mengherdiknya.
( Kami memanglah tidak, sebab tiada seorangpun yang 'berbakat' untuk itu )

Bak kata ahli kembara, memang 'penuh pancaroba'. fuh.

Kepenatan, emosi dan fizikal, malam itu, kami rehat sahaja dalam bilik.


Saya tak lama kemudian turun ke bawah dengan hasrat untuk mendapatkan secawan hot chocolate sebagai teman menulis. Sambil duduk-duduk, saya bersembang dengan seorang lelaki yang berasal dari Vietnam, menetap di Australia, Nguyen Minh namanya. Beliau kemudian mengajak saya keluar melihat-lihat Venice pada waktu malam. Saya setuju.

Beliau merupakan seorang guru high school di Australia. Malam itu, beliau menceritakan hampir seluruh perjalanan hidupnya. Dari kecil, dibawa ibu ayahnya ke Australia sebagai imigran kerana Vietnam yang bergolak. Pengalamannya sebagai 'the second asian' ( abangnya yang pertama ) belajar di sekolah rendah itu. Melanjutkan pelajaran. Degree engineering. Bekerja bertahun-tahun di pelantar minyak. Big money, no life, katanya.

Tentang soulmate. Tentang kembaranya seluruh dunia, apa yang dicari. ( Ini merupakan minggu keenamnya mengelilingi Eropah).  Tentang iklim politik, sosio-ekonomi Australia. Tentang Berlin...sampailah kepada nasi lemak KLIA. Nasihatnya tentang hidup, saya simpan kemas dalam ingatan.

Kami ke Piazza San Marco dan Rialto Bridge. Oh ya, Venice ni sangat kecil. Nak pusing seluruhnya satu malam pun boleh ( kalau tak sesat ).

Semasa berjalan-jalan malam inilah, tiba-tiba kaki saya sakit. sejuk sangat mungkin. Atau kasut tak berapa sesuai. Ditahan-tahan. Sampai di Florence, 'tertunjuk' pula, sampai kena 'macam hape je tengok jalan'. Adeh.





Malam di Venice sangat sunyi. Katanya, penduduk asal sini pun berpindah. Disebabkan kos sewa dan kos pembelian amat tinggi, banyak rumah terbiar kosong tak berpenghuni. Macam bandar tinggal pun ada Venice ni pada waktu malam. Ada orang mungkin merasa tenang. Ada orang mungkin merasa seram.

Kami tiba semula di hotel hampir jam satu pagi. 

Tarik selimut. Hari yang panjang. Terus lena.









27 bulan Satu tahun ini

Pagi bergerak ke Piazza San Marco.



Kita nak ke sini, Rialto Bridge. hah.



Academia Bridge kalau tak silap.


atasnya.

Piazza San Marco. San Marco ni ialah saint kedua mereka selepas Saint Theodore.
Sebagai simbol kemerdekaan dari Rome. Menara (campanile) tu sedang dibaikpulih.

Menara 'jam'. err, lupa sebenarnya nama bendalah ni.

Basilica. Masuk pusing jelah.

Palazzo Ducale dari luar.




Merpati di San Marco ni memang terjinak di dunia lah rasanya. 
Siap naik-naik atas kepala lagi!

"Cepat gerak. Tu serangan dari Jepun dah sampai!"
ayat Sadis yang sebenarnya lagi sadis. Saya dah lupa. ha






Di Palazzo Ducale, pusat pentadbiran Venice berkurun lamanya.


Correr Museum kalau tak silap. Bila tengok library je, zup!, teringat 'encik yang mahu baca bila penat pulang kerja'. This one's for you, if you drop by. Just in case. =)

Tapi macam tak praktikal kan, kena panjat-panjat untuk ambil buku tu. aha.



Pastu gi Archelogical Museum, tengok mumia. 



Kepenatan.

Gondola. Gondola. Gondola.
Sangat mahal. 100 euro sekali naik. 
Terfikir balik, pengalaman bersampan di Sungai Perak tu lagi berbaloi.

Tata gondola.

Rialto Bridge.

Jumpa dengan pasangan ini. Lupa nama mereka.
Tapi, saya terus teringat, kan bes kalau bawa mak abah ke sini...



Dari Rialto Bridge.

 
Singgah rehat, cuci mata di sini. Sadis beli stokin (?).



Petang tengok sunset dan beberapa galeri. Rancangan ke Murano island dibatalkan sebab...pekerja mogok!
"It's all about money.", kata akak kat kaunter tu.

Mentari tak kelihatan.

anek wong gerathil.
Saya pun tak tahu mana seninya.

" Tuan berdua mahu ke mana?
Jangan lupa pulang ya."
eceh!



Malam tu ingatnya nak cuba makanan tempatan venice. Risi e bisi dan sardelle in soar.
Cari punya cari, pusing punya pusing, restoran kebab yang kami jumpa!
Pemiliknya Amir Hamzah.
Terima kasih kerana memotong Pizza Italiano secara 'adil'.
Terima kasih bagi 'kuih' percuma.
dan terima kasih bagi pinjam marker. hah.



Jumpa Siva."Hey, I'm Malaysian too. From Pahang"

Saya ada merancang juga nak keluar solo tengok ghetto, kawasan penempatan yahudi. Khabarnya locals lepak kat situ. Tapi rupanya ada yang keluar dulu. Tunggulah.

Sembang panjang denga Elvis dan Andrew. Division One hockey players in France, having their holidays here. About cost of living in  Malaysia, their playing career, their opinion about Islam.
Elvis goes, " No, I know nothing about Islam."
But then, after a while, he asked," Is it true that in you religion it is allowed to take more than one wife?"

Reaksi sebegitu bukan yang pertama saya terima bila bertanyakan soalan yang sama. Berkali-kali. Islamophobia mungkin. Itu yang diberitahu kepada mereka.

It was almost 2 am by the time we end the conversation. Plan cancelled. I decided to save myself for tomorrow.



28 bulan Satu tahun ini


Venice was an imperial empire. Simbol singa, penguasaan laut dan darat.







Museum Navale.
Sembang-sembang tentang apa yang kami lihat semalam di Palazzo Ducale, Correr Museum, Archeological Museum.
Memang banyak termangu-mangu sebenarnya. Dan menguap!
Sebab kami tak faham. Banyak lukisan-lukisan. Tiada penjelasan. Dan pula, kami datang tanpa persediaan.

History is indeed a puzzle. In every sense of the word.
Dari Venice, saya melihat Constantinople. Sejarah Perang Salib ke-4 dan pengaruhnya dalam pembukaan Constantinople oleh Sultan Muhammad Al Fatih.
Dari Venice, saya melihat kemegahan Melaka suatu ketika dulu. Sehingga dikatakan oleh Tom Pires,
"Whoever is lord of Malacca, has his hand on the throat of Venice"

Mengapa sampai begitu sekali Tom Pires menggambarkan? Sehebat itukah Melaka? Teringat pula saya pada ceramah Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau menyebut bahawa sejarah 300 tahun kegemilangan Melaka 'dipadamkan' oleh penjajah. Strategi sama. Begitu jugalah yang dilakukan Belanda pada Acheh. Pada Andalusia.

Dalam perenggan pertama kata sambutan Jejak Risalah di Nusantara V tulisan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Nor, disebutkan,

"Tidak ada yang tidak setuju, bahawa sejarah adalah hal penting dalam kehidupan manusia. Untuk melihat masa depannya seseorang perlu melihat masa lalunya. Al Quran dipenuhi oleh pelbagai cerita umat-umat terdahulu. Dan umat Islam diminta bisa mengambil hikmah daripada kisah-kisah masa lalu, untuk menjadi bekal dalam menyongsong masa depannya. Maka jangan heran, jika setiap bangsa senantiasa merumuskan sejarah masa lalunya. Sejarah juga sangat penting bagi kebangkitan suatu bangsa atau peradaban. Muhamad Asad ( Leopold Weiss ) di dalam bukunya, 'Islam at The Crossroads' menulis, "No civilisation can prosper-or even exist, after having lost this pride and connection with its own past."

Dan kalau ada orang menanyakan, yang berakar seolah "Bagaimana Islam mahu memerintah?", saya terus terfikir ini. Saya terdiam. Soalan itu sendiri timbul melihat keadaan semasa, kita ketandusan teladan. Dan jawapannya hanya akan ditemukan kalau kita mahu menyelongkar semula lembaran gemilang silam.
Bukan hanya buat ditangiskan, dikenang, 'padanya muslim menengadah', tapi agar kita sedar sejarah umat Islam sesungguhnya luas, sangat luas. Jawapan telah ada.



Pengaruh Uthmaniyyah.




Tiba-tiba..

Secret Battle of Majesty!! Out of nowhere. Sebab nampak baju kelasi bertulisan cina kot. It was like years of burden released. Yelah, cuba bayang, sembang selalu dengan kawan-kawan kencang je pasal Journey to The West, Fong Sai Yuk , Lingwu Chung, The Legend of Condor Love... tapi bila sampai Secret Battle of Majesty, semua geleng-geleng kerut dahi tak tahu!

When the hype finally ceased, (ye, saya terkinja-kinja seperi budak-budak, which is still now) saya terfikir, betapa cerita-cerita yang kita tonton waktu kecil akan memberi everlasting impression. Menyebut tentang melentur bulur. Menyebut tentang tarbiyah. ( Sori bahasa tunggang langgang. Ponin kepala dah ni ).





Balik dengan vaporetto. Lihat rombongan gondola. Kami 'tempah' seat belakang. Sepanjang perjalanan menikmati Pizza Italiano (Bangladeshi style..ha).

Deru bot.
Lembut angin.
Masin hawa laut.
Hangat pizza.

..dan lain-lain rasa yang gagal saya tumpahkan dalam acuan tulisan.

Fuh.

Antara dua darjat, antara dua nikmat.

Bagi saya, ni memang 'moment of the trip' lah.







Selamat tinggal Venice, the silent soul.  Till we meet again.

22 March 2011

Balik Kampung!

Saya kagum sungguhlah dengan orang punya kesempatan kewangan dan masa, tapi boleh tak pulang ke Malaysia tiap tahun. Kagum kagum. Saya tengok satu gambar pun terus cair.

Puteri Lindungan Bulan, Yaya.

"Abang Anip belajar HLS, RS, CVS elok-elok ye. Jangan ponteng kelas. Jangan tidur banyak-banyak sangat masa lecturer mengajar. Kalau tidur awal, bangunlah awal. Kalau tidur lambat, jangan terlepas subuh pulak. Maklumlah, subuh kan dah makin awal sekarang. 

Nanti Abang Anip balik kita main buaian bawah pokok pelam depan rumah, jalan-jalan pergi pantai ye.
Yaya tunggu abang balik!"




( Hah, dialog adalah angan-angan. Kalau masuk mimpi malam ni stylo gak )



Padahal, adik Yaya pun dah lupa saya.


Dilaporkan oleh Hanis;

ada cerita di sebalik pic ni.
sebenarnya dah ada video dirakam khas untuk abang.
dengan nyanyian 'enjit enjit semut' pengaruh 'hantu kak limah balik rumah'.
tapi bila sampai part Hanis suruh dia sebut.........

H: okay adek ya,cakap "bye abang anep...."

Z: bye abang amem....

H:eh.abang ANEP laaa..cakap lagi sekali. adek ya kan comel..

Z:bye abang AMEM..(dengan slumbernya)

H:abang ANEP!

Z: ..............hmmm....adek ya tak boweh (boleh) laaaa..

H:(apa lagi,tergelak dibuatnya)




Haha!
Mentang-mentanglah tak hensem macam 'Abang Amem' tuuu, sanggup Yaya lupakan abang. ceh.








Tapi, saya pasti, yang ini tak pernah, tak akan pernah lupakan saya.

The world could never match her.


Mak Abah di Masjid Negeri.



I'm already planning for my holidays in Malaysia. Or should I say, Nusantara. 
Ehem. Doakan semuanya lancar ya!

Dan harapnya tiada plan 'pelik-pelik' balik Malaysia ni. err.

20 March 2011

Wajah Bulan

letak balik. yang ni antara paling fav. ha


Kami selalu terpegun kagum,
malam tiga belas,
malam empat belas,
malam lima belas.
Dan kau diraikan.

Namun aku percaya,
dengan halus tajam mata di dada,
kan terlihat sabitmu pada purnama,
       terlihat purnama pada sabitmu,
       terlihat separuh pada penuh,
       terlihat penuh pada separuh,
       terlihat ada malam tiga puluh.

kerna pergantian usia,
          pengajaran berulang,
sembunyi tidak pada yang kenal.

Duhai,
wajahmu berbeza,
hakikatnya satu jua.



_____________________________

Sepulangnya dari Irbid,
kau tak perlu berlari.
20/3/2011

err..tapi serius, saya lebih (sangat ) suka kuliah bulan.




__________________________



Takziah buat keluarga Sir Ishak Mustapha Kamal atas pemergiannya.

Arwah seingat saya tak pernah lekang dari senyuman.
Meski tika mengisahkan yang pedih-pedih dalam hidup.
Tak lupa pula menyelitkan kata-kata motivasi buat anak muridnya.

......


Al fatihah.

18 March 2011

Gerbang






Bagi saya, ketakutan utama seorang penulis ialah hidupnya dia di dunia realiti berbeza dengan dia di dunia penulisan.
Namun saya pelik (tidak juga sebenarnya) ada yang menghasratkan penulisannya untuk itu. Menjadi berbeza.
Kerana memang, ajaibnya dunia ini,
"Manusia (merasa) mengenal manusia dengan kata-kata."



Entah.


Lain dari itu, saya kira, seharusnya, setidaknya, penulisan menjadi gerbang mengenal diri sendiri.

15 March 2011

Penjara

Palazzo Ducale, Venice



Kau,
menagih janji,
dari seribu mimpi.

Aku,
diburu mimpi,
dari seribu janji.

Maka,
siapa sebenarnya,
memegang kunci,
penjara ini?





Melawat banduan,
Summer 2010,
JUST

14 March 2011

Merenung Alam





Senja Irbid. Untuk 'anon entri bawah'.





Kadang merenung alam,
jiwaku bertanya,
'mengapa aku sebegini cinta?'

Lalu terlintas,
bahawa,

Bulan memilih pencintanya.
Senja memilih pencintanya.
Bunga memilih pencintanya.
Hujan memilih pencintanya.

Dan manusia,
hanya membalas cinta.

Pabila rentetan pilihan itu tiba pada TUHAN,
aku...



diam lama




dan berdoa.

11 March 2011

Hidup, Keindahan. ( dan tentang Syukur )













Rusydi HAMKA menuliskan bahawa Buya selalu menyebutkan,

"Lihat Mi, fajar menyingsing itu, paduan warna pagi ini berbeza dengan yang kelmarin dan esok.
Begitu seterusnya tak pernah sama sepanjang tahun dan sepanjang abad.
Tak seorang pelukis pun yang boleh meniru komposisi warna itu. Itulah kuasa Tuhan." kata ayah.


___________________________________________


















Saya ingin berkongsi tulisan Buya Hamka dalam Pandangan Hidup Muslim;

Pada segala sudut dan segi Alam itu kelihatan dan kedengaranlah Keindahannya. Setiap keindahan ada warnanya sendiri dan ada rasanya sendiri.

Berdiri ke atas bukit dan merenung ke bawah, kelihatan lembah dan ngarai. Surya memancarkan sinar, mentilau menyanyi, ayam berkokok dan air sungai menuju lautan.

Pergi ke halaman rumah di waktu malam, menyaksikan bintang berkelip-kelip, laksana berbisik dan tersenyum. Seakan-akan tidak peduli kita dalam susah.

Semuanya itu meninggalkan kesan dalam hati, sangat dalam. Kita merasa terharu.

Terharu adalah gabungan dari dua perasaan yang berlawanan; yaitu sedih dalam gembira, atau gembira dalam sedih.

Yang menimbulkan gembira ialah karena indahnya; jamalnya.
Yang menimbulkan sedih ialah karena agungnya; jalalnya.

Melihat bagaimana besar dan agungnya, mulianya, terasalah rendah dan kecilnya manusia ini. Di manakah letak 'aku' di dalam kebesaran dan keagungan yang hebat dahsyat ini?

Lihatlah matahari yang indah tapi perkasa ini. Dia adalah sumber dari cahaya kita dan api kita. Kedatangannya dan kepergiannya selama 24 jam, meninggalkan bekas yang ajaib kepada alam kita.

Kepada laut, chahaya yang panas itu menyebabkan wap. Dan wap diangkat oleh awan ke langit. Setelah berkumpul dia menjadi mega mendung dan turun balik ke bumi dalam nama hujan. Dari hujan mengalir sungai, kali, dan batang. Disinggungnya bumi yang kering, menjadi subur. Disinggungnya urat kayu, maka mekarlah bunga. Dan dia jalan terus. Jalan terus, kembali ke lautan tempat datangnya tadi. Panas chahaya matahari mempermainkan angin, dan angin mempermainkan laut, sehingga menjadilah alun. Alun menimbulkan gelombang, gelombang menimbulkan ombak, dan ombak memecah pantai. Bahtera besar sedang berlayar pun dipermainkannya, dibuai-buaikannya, laksana sabut terapung pada sebuah kolam kechil saja. Dan manusia yang menumpang kapal itu dipermainkan pula oleh kapal itu sendiri.

Lihatlah bulan yang bening damai itu, tak berhenti dia membawa keindahan; sejak masih sabit kechil kurus ramping. Tiap malam diperlihatkannya perobahannya. Laksana seorang gadis menunggu tunangannya datang, sehingga dia kurus, harap chemas; kian lama kian gemuk sebab telah bertemu kasih. Tetapi setelah pertemuan, tunangan itu pergi lagi, serupa tidak akan pulang-pulang, sehingga kuruslah yang ditinggalkan.

Sepanjang bulan pada setiap tahun, kita diberi peringatan tentang nasib yang harus dilalui manusia dalam hidup; sejak kecil, budak-kanak, sampai naik muda-remaja, sampai matang sempurna umur, sampai menurun hingga tua, sampai .......... hilang. Dan bulan itupun mempermainkan air laut, hingga timbul pasang naik dan pasang turun.

Berdiri di tepi danau Singkarak tengah hari, dia kelihatan laksana seorang gadis jolong naik yang belum pernah kena tipuan hidup, gembira dan senyum terus, berlari lincah laksana anak kijang. Percaya bahwa manusia itu jujur semua.

Berdiri ke tepi Danau Maninjau tengah hari, dia kelihatan seperti seorang tua yang telah banyak merasai pahit-getirnya kehidupan, sehingga laksana digantung disukatnya segala senyum yang disenyumkan oleh orang yang baru datang.

Berdiri ke tepi bengawan Solo, bercheritalah dia tentang kerajaan Mataram yang lama. Tertegun di tepi Kali Brantas, seakan-akan diulangnyalah kisah Patih Gajah Mada dan Kaisar Hayam Wuruk. Berdiri di pinggir Musi, bercheritalah dia tentang Sang Nila Utama dan Demang Lebar Daun.

Bukit dan gunungpun demikian. Naik kapal terbang menuju Eropa; sampai ke Sabang, masih kelihatan hijau alamat kesuburan. Sampai di tanah Arab kelihatan gunung batu granit hitam. Sampai di pergunungan Alpen kelihatan gunung putih bersih diliputi salji.........................!

Sehingga padang pasir luas sahara yang kering itupun penuh keindahan. Luas ............... luas tak kunjung nampak di mana akan berhentinya.

Maka bertanyalah diri terhadap diri: 
"Apakah yang indah ini, di mana aku tahu apa yang indah. Di mana yang sebenarnya indah itu. Apakah aku meresapi keindahan, kalau dalam aku sendiri tidak ada keindahan?

Siram suburkanlah rasa keindahan yang ada pada jiwa saudara, sebab dialah alat penangkap keindahan di luar diri. Apabila telah berpadu di antara keindahan di luar dan keindahan di dalam, nischaya akan terlompat dari mulut saudara satu ucapan yang tidak ada uchapan di atasnya lagi;
" Rabbana ma Khalaqta haza bathilan Subhanak!"
( Tuhanku, semuanya ini tiada yang Engkau jadikan dengan sia-sia. Amat suci Engkau!")

Tuhanku,
Tiada yang lain,
Hanya Engkau......

___________________________________________


Pada saya, semua tulisan Buya Hamka tiada yang biasa-biasa. 
Kerap kali membacanya, saya terhenti, merenung, tersenyum, geleng-geleng, menghela nafas dalam.
Saya membayangkan juga beliau membacakan tulisannya itu di hadapan saya, dengan nada suara halus uniknya, seperti pesan seorang datuk kepada cucu-cucunya. Pesan seorang tua yang telah melalui getir manis hidup, kepada anak muda yang bakal menghadapinya. Dan, sekali lagi, bukan pesan biasa. Pesan Iman. Bagaimana dengan yang satu itu kita menanggapi hidup, mengharungi ombak badainya, menikmati madunya.

Sebelum kita sambung sembang, mari sedekahkan Al Fatihah untuknya.

Kita amat menghargai, ketika membaca apa-apa tulisan, apabila si penulis berjaya mengungkapkan perasaan kita yang tak terluahkan. Apabila penulis berjaya melukiskan perasaan itu, sedang kita sedia tahu, bahan yang sama untuk melukisnya ada pada kita. 
Mungkin sahaja, berus lukisannya lebih baik, seni tangannya lebih halus, catnya lebih berkualiti, kanvasnya lebih baik.
Tapi masih, kalau kita ada semua, belum pasti lukisan itu akan sama, secantik yang kita lihat.

Lega.
Dan bahagia.  
Cemburu juga.

Lega kerana kita tak keseorangan.
Bahagia kerana tahu rupanya lukisan itu sedia ada dalam hati kita, cuma tak terzahirkan.
Cemburu kerana penulis berjaya 'melukiskan'.

"Amazing it is. How He link between heart in a way neither we know nor we would understand."

Dan semasa Kembara Spain-Itali tempoh hari, saya membawa buku ini.
Membacanya dalam sela masa. Telah habis membaca sebenarnya, tetapi tulisan Buya sangat-sangat berbaloi diulang baca. Kerana ada berat dalam ringannya. Ada ringan dalam beratnya. Namun, semuanya halus, menyampaikan dengan bahasa yang meraikan seisi naluri hati.

Betapa bukan sedikit keputusan membawanya mencorak kembara saya.
Sejujurnya, ini memang antara kembara terbaik saya. Selepas hampir dua bulan, kenangannya masih mencengkam. Senyumnya entah bila kendur. Tiga minggu cukup bermakna.

Selain tempat, masa, kita tahu yang benar mencorak bahagia ialah hati kan.
Betapa bahagianya saya bila Shafiq mahu meminjam buku ini, dan melihatnya merenung membaca bersungguh-sungguh. Kerana saya tahu, dengan bahasa sebegini, dia tersentuh, dia memahami, sama atau lebih.

Betapa indahnya rasa membacanya semasa menghadap Al Hambra. Semasa di Ampitheatre Pompeii. Keduanya sewaktu mentari terbenam. Siang di akhir hayatnya. Membaca sambil memikirkan senja hidup manusia, entah dia sedar atau tidak, gelap yang hampir tiba. Dan betapa setelah itu, cahaya kembali menerangi.

Betapa terkenang mengejar mentari terbenam semasa dalam train dari Florence ke Pisa. Sekejap kami beralih ke kanan, sekejap ke kiri, gara-gara laluan train sebegitu. Yang dirancang tidak menjadi, namun yang dinikmati nyata terlalu indah. Hingga terasa malu sendiri.

Betapa diperlihatkan di Florence cahaya senja membentuk kalimah, di balik lindungan awan, saat sama mengetahui ada yang sedang membaca Al Quran mentadabbur alam. Saat ditunjukkan ribuan burung terbang berkumpulan mengelilingi bangunan. Entah apa mahu disampaikannya kepada manusia.

Dan tentang Al Hambra sendiri..Al Hambra..Al Hambra. Saya hilang bahasa...


Mengapa tika kembara? Bukankah alam tetap indah walau di mana?

Soalnya pada kita. Mungkin ketika kembara, kita lebih bersedia. Mata kita lebih terbuka. Telinga kita lebih peka. Ke dalam dan ke luar.

Saya teringat juga, sebelum bergerak ke Itali, kami berjalan-jalan sekitar Madrid. Dan saya menegur seorang 'abang', penduduk tempatan. Kalau tidak salah, Juan namanya.



Beliau sedang duduk di sebuah bangku, memerhatikan matahari terbenam.
Dengan English yang masing-masing macam sangkut-sangkut, saya bertanya,

"Hmm, you are always here, to see the sun set?"
" Yes. The sun is everything, man. Isn't it beautiful?"
jawab beliau sambil bibir mengukir senyum dan mata penuh pengertian.

It strikes me the most.
It strikes me the most.

Bercampur baur perasaan saya. Kagum, ya. Terharu, ya. Malu, ya. Sedih, ya juga. Takut, pun ya.
Dengan Juan,
saya kagum; kerana tulus halus jiwanya menghargai keindahan.
saya terharu; kerana walau berbeza agama, jauh dunia, jauh masa, manusia diberi Tuhan naluri rasa yang sama.
saya malu; kerana terasa 'kalah' olehnya dek kotornya cermin jiwa.
saya sedih; kerana jiwanya bersih, namun belum mengenal Islam.
saya malu juga kerana sepanjang berbual tiada pula saya mengenalkan tentang Islam. Bagaimana kalau nanti saya ditanyakan?
saya takut; akan hari esok saya. Adakah masih dikurnia nikmat Islam? 


Dan paling dominan dalam gabungan rasa itu ialah sebuah persoalan, tentang harga hidayah.

Betapa Rahman-Nya Tuhan, diberikannya 'rasa keindahan' itu pada setiap manusia.
Setiap manusia secara fitrahnya mencintai kebaikan, membenci kejahatan.
Setiap manusia secara fitrahnya ada rasa bertuhan, kerana dia lemah keseorangan, kerana dia takkan mampu menentukan setiap keputusan, kerana dia sedar dia dikurniakan. Dikurniakan.

Namun, telah kita lihat pelbagai jalan telah ditempuh manusia menuju Tuhan.
Ada yang sampai.
Ada yang tersesat. Terpesong di tengah jalan.
Ada yang putus asa tak mahu meneruskan perjalanan.

Kembara saya seterusnya memikirkan persoalan ini.
"Sebutir pasir sebuah pantai. Batu bata dari sebuah kota."
Manusia.

Berapa sebenarnya harga sebuah hidayah? 
Saya tidak tahu.
Saya tidak tahu.

Cuma saya tahu, setiap Qada dan Qadar tentulah diatur Allah dengan hikmah kebijaksanaan yang sempurna dari segala cacat cela. Dan ada daerah yang tidak akan mampu dijejaki manusia.

Maka, percaya. Percaya.
Dan Syukur. SYUKUR.


Kalian dengarkan ini ya. Saya tuliskan bahagian yang paling terkesan buat saya.

" Syukur ya Allah aku tidak dijadikan jadi binatang.
Syukur ya Allah aku tidak dijadikan manusia sia-sia.
Syukur ya Allah, aku terjadi dalam keadaan seperti ini, sehingga aku tahu yang hak, tahu yang batil, tahu yang buruk, tahu yang baik, tahu dari mana asal perjalanan ini, dan tahu pula ke mana tujuan perjalanan ini.

Syukur kepada Allah kerana kita tahu, kita datang ke dunia cuma sekali, sepintas, sekejap mata jika dibandingkan dengan umurnya dunia. Taruklah orang berumur 100 tahun yang paling panjang, tapi apalah ertinya 100 tahun dengan umur dunia yang sudah miliyar tahun?
Dan apabila kita mati pun, dunia pun akan tinggal sepeninggal kita entah berapa juta tahun lagi, ndak tahulah.

Sepintas masa kita lalu ke dunia ini.

Kita bersyukur karena kita diberi ingat, yang sepintas zaman, yang sekejap mata itu, harus kita isi sehingga setelah badan kita hancur di dalam bumi, kita masih hidup."




Alhamdulillah.


Terima kasih Tuhan memilihkan Islam untuk kami.
Terima kasih Tuhan memberikan jiwa kepada kami merasakan keindahan,
sehingga terasa benar Engkau dekat dengan kami; bahawa Engkau memerhati; Engkau mengawasi; Engkau mengganjari; Engkau membalasi.
Terasa benar Engkau mengaturkan hidup kami. 

Hidup ini,
mohon Ya Tuhan,
Kami Kau hantarkan, walau ke mana; dalam keimanan.
Kami Kau jemput, walau di mana; dalam keimanan.

Amin.



Alhamdulillah.