Showing posts with label Umrah Ziarah. Show all posts
Showing posts with label Umrah Ziarah. Show all posts

07 October 2011

Tawaf

Sesudah Isya' kau berdiri di pinggir meninjau ke bawah dari tingkat tiga Masjidil Haram.

dari sini

dari sini


Manusia, ribuan manusia bertawaf mengelilingi Kaabah. Puluhan ribu. Entahkan ratusan.

Kau melihat seorang tua bongkok beruban dalam keramaian, berjalan seorang tanpa gangguan.
Kau melihat seorang perempuan menggendong anaknya yang terlentuk lena.
Kau melihat seorang lelaki melindungi adiknya/isterinya dari rempuhan.
Kau melihat kanak-kanak di tepian riang berkejaran.
Kau melihat manusia pemurah membahagi kurma masak dan kurma muda.
Kau melihat pakaian putih ihram, abaya hitam, seolah tiada perbezaan.
Kau melihat pejuang-pejuang hijau pekerja Masjidil Haram dengan tali merah itu, setia membersihkan.
Kau melihat burung layang-layang sesekali terbang, lewat lincah kemudian hilang.
Kau melihat ramai berhiba memegang kiswah Kaabah, seolah mungkin ini kali terakhirnya di sini.
Kau melihat Hajarul Aswad direbutkan, manusia bertolakan. Kau terfikir, apa ia rela dikucup sedemikian?
Kau melihat 'trafik', agak lengang di Rukun Yamani, sesak semula di 'garisan niat' Hajarul Aswad.

Tawaf, di sini satu-satunya di dunia.

Kau terfikir, dengan 'pusingan' inilah tercipta kehidupan. Kitaran dan tenaga luar biasa. Setiap di alam bergerak, berubah. Pertukaran siang malam. Pergantian bulan mentari.  Pusingan planet pada orbitnya. Pusingan usia manusia. Semuanya teratur. Diaturkan.
Sepertimana kita bermula, kita kan menemui akhirnya.

Dengan sepasang mata kau melihat, meminta hati benar memandang, merayu jiwa meneguhkan, bahawa di hadapanmu saat ini terbentang bukti agung;
'Alam dalam pelbagai ragamnya, beribadat kepada Tuhan.'

19 July 2010

Hudud.






Alhamdulillah, kami rata-rata mahasiswa tahun satu JUST berpeluang menunaikan umrah cuti semester lepas. Bertolak tengah hari. Sampai di sempadan hampir waktu maghrib. Waktu panjang semasa bas kami beratur untuk melepasi pemeriksaan ke Saudi,  saya isi antaranya, dengan menulis.
Tiada tajuk, ini hanya tulisan rambang.






Selamat tinggal,
Kulaung dari hati,
Buat mata yang mengerti.

Selamat tinggal,
Telah kau saksikan dalam perlumbaan ini,
esok bersungguh mengejar semalam,
Tanpa sedar,
hari ini yang kecundang.

Selamat tinggal,
Aku pergi bersama harapan,
Perpisahan  ini,
Memaknakan pertemuan nanti.



Pergi; atau sebenarnya pulang?
Hudud Jordan-Saudi
8: 35 malam,
23/6/2010.

___________________________________________________________________
Setelah 10 hari kurang lebih di Haramain, kami dengan berat hati pulang ke Jordan.



Semasa perjalanan, kerana telah 'terlalu penat tidur', saya cuba menghabiskan bacaan 'Risalah Untuk Kaum (Terima kasih Kamal bagi pinjam ). Syed Muhammad Naquib Al-Attas menulis,

" Sebab itu maka kita guna istilah pengalaman-yang terbentuk dari kata serta faham alam itu-dengan maksud pengilmuan; dan kita hanya akan dapat mengalami pengalaman bukan secara memesrakan diri dengan benda yang mensifatkan zahir alam, kerana yang demikian memang mustahil dapat dilakukan- tetapi secara memesrakan diri dengan ma'na.  Maka pengalaman itu tiada lain dari penyerapan ma'na dalam diri, dan oleh itu dia merupakan saluran utama bagi perolehan ilmu."


Seperti yang disebutkan Syed Naquib, pemahaman istilah adalah sangat penting dalam menayangkan pandangan Islam. Bahasa Arab, khususnya, diumpamakan seperti sebuah pohon, yang dari akar kata yang satu akan ada dahan dan ranting yang banyak.

Kemudian saya menulis.


Dan kini,
kusedari,
Tiadalah sebenarnya,
Pengalaman mengajar,
lalu darinya kita mengambil iktibar.

Bahkan,
Seluruh peng-alam-an itulah iktibar,
menyuguh makna dalam diri,
tahu tujuan hakiki.

Pengalaman tidak mesti
dengan panjangnya kehidupan.

Tapi pada upayanya akal,
Sucinya nurani,
Luhurnya pancaindera,
Membongkar makna,
Tiap yang terzahir.

Pengalaman tidak mesti
dengan jauhnya perjalanan.

Tapi hampirnya,
Rahmat dan pimpinan Ilahi.



Hudud Saudi-Jordan,
3:30 petang,
3/7/2010.






________________________________________________________

1.   Hudud atau sempadan, bagi saya, adalah sesuatu yang menarik untuk diperkatakan. Batasan. Garis lukis bayangan atas bumi yang ditetapkan pihak berkuasa. Sering pula berlaku pertikaian apabila melibatkan kepentingan tertentu. Contoh hampir, pemilikan Pulau Batu Putih yang akan mempengaruhi persempadanan Malaysia-Singapura. Dan isu penyerahan blok perairan yang kaya petroleum kepada Brunei yang 'dihangatkan' baru-baru ini.

2.   Sesuatu kawasan, oleh itu, juga sering diertikan dengan sempadannya. Gah suatu empayar dikaitkan dengan luasnya jajahan takluknya. Dari itu, kita juga tahu, Maha Gah tentulah Allah, pemilik alam nan tak terbatas.

4. Kita dicabar melepasi sempadan kemampuan diri dalam menjadi lebih baik. Sempadan kebaikan semalam kita tambahluaskan hari ini.

5.  Selalu pula kita dengar,
"Yang baik jadikan teladan,
Yang buruk jadikan sempadan"


4.  Bagaimana pula dengan batas-batas hukum Allah? Tetapkah aman di dalamnya atau bergerak melampauinya? Soalan untuk diri saya, pertamanya.
________________________________________

Nota1. Gambar adalah hiasan. Diambil sepanjang perjalanan lain sebenarnya.

Nota2.Ha, hari ni, dapat satu peringatan, yang tentunya dari pengalaman.
"Janganlah banyak mengeluh, banyaklah membina"
                                                                  -pesan 'orang lama' Irbid-

Nota3. Curi-curi update. Esok exam. Mohon doanya ya.

30 June 2010

Ber'jebat'

Hari yang sama.
Rencana-Nya,
ada ujian buat mereka.

Seorang, dalam gelak-gelak ceria,

"Tak pernah la aku marah sampai macam tu.
Aku rasa aku dah gagal ujian tu.
Jadi bila aku angkat kepala, tengok beg tu hilang,
aku terus senyum.
Alhamdulillah."


Seorang lagi, dalam segan-segan,

" Alhamdulillah.
Aku dapat buat semua yang aku nak buat selama ni.
Tawaf. Cium hajarul aswad. Doa kat Multazam.
Semua Allah bagi malam ni"


Sungguh.
Ber'jebat' aku punya sahabat seperti kalian,
Insan yang merasa manisnya iman dalam ujian.
Kehilangan itu, kadang-kadang, jadi pemberi yang terbaik.

Alangkah!


_______________________________________________

Dalam sibuk-sibuk kita membeli jubah,
Sebagai cenderamatahati buat famili.
Untuk yang menempah dari jauh.
Kita tidak lupa, kan.

Taqwa itu pakaian terbaik.
=)

( Ingatan buat diri sebenarnya )