18 August 2011

Esok



"sebelum ini bulan mengiring perjalanan pergi.

hari ini dan seterusnya, ia menyambut perjalanan pulang.

bulan, tak segankah ia satu dunia merenung?"


_________________________________


Setahun rupanya berlalu.
Masa melainkan titik-titik ingatan.



Esok kita exam.
Esok kita grad.
Esok kita kahwin.
Esok kita punya anak.
Esok kita bercucu.

Esok.
adalah saat selepas hari ini.

Esok.
Belum pasti.
Belum terjadi.

Entah apa pekerjaan esok kita.
Entah di bumi mana esok mengebumikan kita.







17 August 2011

Perjalanan II


Sejauh ini perjalanan
moga yang tersisa
bukan rindu dusta.

16 August 2011

Tentang Memberi dan Menerima

Assalamualaikum.

Saya ingin menyampaikan dua kisah. Random. Mungkin berlaku pada anda. Setiap hari dalam hidup kita, tentu ada, setidaknya 'keajaiban-keajaiban kecil'. Masa berlalu. Terkadang hanya setelah mendapat satu pengalaman baru, baru kita tahu bagaimana 'membaca' keajaiban kecil semalam. Hikmahnya.

Baiklah. Kisah ini, andalah sebagai wataknya.

Kisah Satu


Engkau seluk kocek, ah, kosong. Tiada wang berbaki. Engkau buka dompet. Hampa. Sudah lewat ke kuliah, perjalanan ke universiti memakan masa sekurangnya tiga puluh minit dengan bas. Cemas sedikit.

Engkau tarik laci meja studi yang jarang digunakan itu. Oh, ada wang sepuluh euro baki kembara Eropah yang lepas. Harapan. Memang kau mengenakan sedikit catuan wang minggu ini terhadap diri sendiri. Wang masih berbaki di bank, tapi sudah terlalu deras alirannya bulan ini. Engkau nekad, bertahan dengan sepuluh euro ini, akan kau tukarkan petang nanti kepada dinar Jordan di pengurup wang. Engkau kutip syiling dalam 'tabung', 90 qursy, cukup-cukup untuk tambang pergi pulang universiti.

Sepulangnya ke rumah petang itu, engkau ambil wang sepuluh euro dalam laci, bersiap ke pengurup wang. Azan Asar sudah berkumandang. Tidak mengapa, sempat sahaja, fikirmu, memandangkan jarak masjid tidak jauh dari pengurup wang. Sampai di sana, kau menghulur duit itu, dikembalikan sepuluh JD tepat. Alhamdulillah.

Musim panas, mentari di waktu Asar selalu sahaja lebih garang membahang dari waktu Zohor. Tekak kering. Kau sudah membayangkan usai solat kau akan membeli aiskrim kegemaran.

Solat.

Selepas solat, kau melangkah keluar mahu pulang. Di pintu masjid, seseorang menegur.

'Assalamualaikum.'

Kau menjawab salam. Oh, sahabat yang tidaklah kau kenal rapat, tapi kau tahu dia terpercaya.

Terlihat berat dia mahu bersuara, tapi laju-laju dia bertanya,
" Nak pinjam sepuluh boleh tak? Ada hal, nak guna lah.'

Dia yang kau kenal tak mungkin sampai bertanya langsung sebegitu tanpa keperluan mendesak.
"Eh, ada ada"

Kau seluk kocek kiri, memang itulah satu-satunya sekeping sepuluh, kau pindahkan pada tangan kanan, dan dengan senyuman, wang itu berpindah ke tangan kanan sahabat itu.

"Nanti akan dibayar semula.Terima kasih banyak.'
' Ok je. Bila-bila. Rilek-rilek la', kau menjawab.

Dia berlalu. Kau terpinga. Sedemikian pantas.
Dalam perjalanan pulang, kau senyum-senyum sendirian. Betapa hari kau yang ini, diatur Tuhan untuk membantunya.
1. Jarang pula tiada duit.
2. Yang ada berbaki tepat-tepat 10. Dari 10 euro ditukar tepat 10 JD.
3. Kalau dia minta 20, 30, mungkin kau terpaksa ke bank 'cucuk' duit. Kad ATM tak bawa.
4. Kalau dia minta 5, tentu kau terpaksa memecah dahulu membeli apa-apa.
5. Oh, bertemu di masjid. Selalunya bukan kau rajin pun ke masjid waktu Asar terik-terik begini.

Kau balik tanpa duit, tekak tetap kering, tanpa aiskrim..tapi..

..terbitlah sayu manis bahagia dalam hati engkau. Kau bersyukur, diberi pelung untuk 'memberi', sedang kau tahu sekali dalam 'pemberian' itu, kaulah yang paling banyak menerima.



______________________________________________

Kisah Dua


Ini hari kelima kau berada di Masjidilharam. Semalam sudah mengerjakan umrah, hari ini mahu 'rehat' sahaja, putusmu. Tilawah Al Quran. Setelah beberapa lama, bilal iqamat untuk solat Zohor.

Jemaah bangkit menyusun saf. Di kananmu ada ruang kosong. Seorang pakcik mengisi ruang. Oh, baju melayu. Makanya tentu orang melayu.

Solat.

Usai solat kau menegur pakcik itu.. Tanyakan nama, asal, sudah berapa hari di masjidilharam, hari berbaki, dan lain-lain. Semasa bersembang, kau perasan terkadang pakcik itu membuang pandang, atau tidak melihat kau penuh. Kau terasa canggung. Dia pun tahu agaknya, lalu menjelaskan,

"Pak cik tak boleh la tengok muka kau. Macam anak pakcik."
Kau gamam. Lama sunyi merai.
" Dia meninggal lama dulu. Kalau dia masih hidup, mesti dia baya-baya kau. Dia meninggal umur 18 tahun."
Nadanya sebak. Kali ini dia memandang kau penuh. Kaulihat ada air mata bergenang.
Kalian bersembang lagi beberapa lama.
"Moga arwah baik-baik sahaja."
"Itulah. Pakcik selalu mendoakan. Pakcik rindu dengan dia. Arwah anak yang baik."

Dia tidak boleh lama, ada urusan. Saat mahu berpisah, tiba-tiba beliau menyelitkan beberapa keping not US dolar ke poket jubah kau,
"Pakcik takde apa-apa nak beri. Ambillah ni. Belajar rajin-rajin." katanya seraya menepuk mesra bahu kau.

Kau menolak juga, tapi beliau bersungguh. Terima kasih kau ucap. Beliau bergerak keluar. Kau mengekornya dengan pandangan mata. Kaulihat beliau berdiri mengangkat tangan berdoa menghadap Kaabah. Lama. Kau meneka, tentu dia berdoa untuk kesejahteraan anaknya. Melihatnya, kau dalam diam yang dalam turut memanjatkan doa, moga anaknya aman di syurga. Kau berdoa juga, agar kalian dapat bertemu mesra, saling menjadi tetamu, bersama ayahnya.

Kau turut sebak. Takut juga, ajal manusia tidak menurut umur. Namun..

...terbitlah sayu manis bahagia dalam hati engkau.  Kau bersyukur, diberi pelung untuk 'menerima', sedang kau tahu sekali dalam 'penerimaan' itu, kau yang lebih banyak 'memberi'.

Bukan kau yang meminta, punya wajah seiras sedemikian rupa. Begitulah, Tuhan punya cara tak terkira mengubat lara manusia.

___________________________________________

Ada seseorang pernah mengadukan pada saya.
" Aku rasa hidup aku ni tak bagi kesan pada orang. Aku takut."

Saya diam berfikir.

Mustahil begitu. Kita tentu memberi kesan. Ya, baik atau buruk. Kadang dengan cara yang tak tersangka. Dengan cara yang 'tak ditunjukkan' pada kita. Dengan... ajaib.

Betapa susunan hidup kita sentiasa punya keterkaitan dengan orang lain. Kehadiran kita sahaja ke dunia membuah senyum ibu bapa, mungkin jadi anak murid 'paling menguji' guru-guru, saat ini 'dipersiapkan' menjadi seorang suami, 'dipersiapkan' menjadi ayah. Mungkin Allah ingin mempersiapkan hidup kita untuk nanti menjadi sebab hidayah seorang manusia. Memeriahkan rahmat kasih sayang Tuhan atas muka dunia.

Saya rasa sangat indah, seperti dalam dua kisah di atas, kita diperlihatkan bahawa mungkin Allah menyediakan kita sebagai jawapan sebuah doa hamba-Nya. Allah. Terharu. Tanpa sedar, tanpa niat pun.

Mungkin Tuhan mahu menyindir, menegur halus agar kita sentiasa menyediakan diri membantu sesiapa. Menegur halus bahawa di tangan-Nya lah segala kebaikan. Agar kita tidak lupa berdoa dalam berusaha,
" Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan menyembah-Mu dengan sebaiknya"

Bahagia dalam memberi. Bahagia juga dalam menerima.

__________________________________________

Sampai satu masa, sesama kita, antara pemberi dan penerima, kaburlah garisnya.

Kerana semua kita adalah penerima, faqir, sedang Tuhan adalah Pemberi yang sebenarnya!



11 August 2011

Bulan dan Bintang


Lama sudah
bulan dan sekalian bintang

mengenal-Mu


Lama sudah
bulan dan sekalian bintang

menyaksikan manusia
menempuh jalannya.






I know You are here.
Somewhere close enough to hear.

SubhanAllah.





Ada kenangan indah dengan surah ini.
Ulanglah berkali-kali.
Dengarlah berkali-kali.
Rasakanlah dalam dada.

'Hati itu melihat dan merenung
mungkin lebih tajam dari mata kasar.

Kerana Tuhan berkata
Hati itu boleh
buta
 ketika mata sedang melihat.'
-Cikgu-

10 August 2011

Seniman Jalanan

Sepanjang kembara, kami menemui ramai seniman jalanan.
Tanpa mengharapkan  banyak balasan, mereka menghiburkan.


Bes kan?  Modal cuma gelas dan air sudah sedemikian merdunya.
( Tapi cam sengal je kan budak dua orang tu. haha )






Namanya John Brown. Kami menemuinya semasa pulang dari melawat Calahora Tower di hujung Puente Romano. Petang terang, tetapi cahayanya hangat mesra. Terkhayal mendengar dia menyanyikan lagu. Teman kembara yang lain meneruskan perjalanan pulang ke hotel. Saya menahan Sadis meneman.

Dia warga Amerika, melawat teman wanitanya yang mengajar Bahasa Inggeris di sini.
Usai lagu pertama, saya minta dia menyanyikan lagu kedua. 
Begitu pilihannya, lagu Illegal Smile oleh John Prine.

Lagunya diiring arus Quadalquivir.'
We had a definitely 'legal smile'.




Di Rome. Semasa berpusing-pusing dalam perjalanan ke Colosseum.













Ini di Rome juga. 

Banyak 'seniman jalanan' yang kami saksikan sepanjang kembara. Yang saya letakkan hari ini, dari seni bunyi. Ada lagi yang melukis, yang jadi patung, main belon, yang jadi badut, macam-macamlah.

Biasanya meletakkan topi atau apa-apa bekas kecil bagi orang yang lalu lalang meletakkan wang, sebagai tanda penghargaan. Mereka berterima kasih pada yang memberikan, walau sekecil syiling dengan angguk senyum. Mungkin tidak banyak mana hasil yang mereka dapat setiap hari, tapi saya yakin mereka merasa bahagia turut 'melukiskan' senyum di bibir ramai orang.

Dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, ada dituliskan,
"kerana kekayaan yang sangat dicita-citakan oleh ahli seni bukan kekayaan wang, 
tetapi kekayaan bahagia, kekayaan alam yang tercurah ke dalam kalbunya."


Dalam Pelajaran Agama Islam pula, 
" Apalah ertinya mata kita yang sekarang;
yang tidak bercahaya kalau tidak lebih dahulu ada cahaya jiwa.

Apalah ertinya telinga kita yang sekarang;
yang tidak mengerti keindahan bunyi kalau getaran jiwa tidak nyaring."

Buya Hamka memperihalkan tentang syurga. Betapa di sini, terhadnya pancaindera kita. Mata, telinga kita tentulah tidak mampu membayangkan nikmatnya syurga. Tidak pernah mata melihatnya, tidak pernah telinga mendengarnya.Tetapi, Allah, dengan Rahman-Nya, memberikan kehalusan rasa, kebesaran jiwa pada tiap manusia. Buat merasakan, mengecap keindahan. 


Satu lagi, bonus.
The most beloved man alive in Irbid!!
Yang ini bukanlah 'seniman jalanan', ini imam kesayangan. =)
Video sempena maulidurrasul tempoh hari.




Selamat bertarawikh bersama Syeikh Makmun.





09 August 2011

Muhasabah



" Kita bangun awal. Solat Subuh.
Baca Quran. Baguslah dah.
Tapi kawan tidur kat sebelah, kita tak kejutkan."

"Kita selalu fikirkan bila buat kerja untuk dapat upah,
tapi kita tak fikir perasaan orang yang bagi upah tu."

"Kita selalu fikirkan pahala,
kita tak fikirkan redha Tuhan
yang bagi pahala tu."

Tazkirah dari Calok.
Calon ( bakal ) suami mithali MEP9.
Umm Qays
ROJAKS 2011







04 August 2011

Satu Percakapan Singkat

(dengan teman seniman)

Temanku,
tentang cinta kita pada hidup
mungkin tak banyak perbezaan
tentang cinta kita pada puisi
itupun tak ada perbezaan
tetapi kau lelaki
dan aku perempuan
di situlah letaknya perbezaan

Seorang lelaki
Membebaskan diri untuk membataskan pilihan
Seorang perempuan
membataskan pilihan untuk membebaskan diri


Zurinah Hassan
______________________________________


Puisi tulisan Zurinah Hassan selalu menggamamkan.
Oh, saudara dari utara, saya guna short cut, ambil ini sebagai kesimpulannya boleh?


______________________________________

Satu Percakapan Singkat ( juga )



Jumpa seorang senior, meminta pesan.


"Nikmatilah Ramadhan."


" Tahun lepas berapa kali khatam? Sekarang juzuk berapa? Sahur tak pagi tadi? "


" Cubalah tingkatkan. Boleh buat lebih. Baca dengan tafsir ke...Sahur jangan tak bangun.
Ni aku cakap untuk diri aku sendiri gak"




Terima kasih.
Sebuah pesan tak mesti panjang.
Sebuah pesan tak mesti manis.


Namun hari ini, saya kira, tiada yang lebih manis dari ini.