25 March 2012

Inilah Saatnya


Saya menemukan 'hikmah' ini dalam petikan surat Cak Nur kepada puterinya,

"Kerana itu, inilah saatnya kamu menetapkan kearifan,

lebih baik mandi keringat saat latihan
daripada mandi darah saat pertempuran.

Lebih baik bersusah payah saat persiapan
daripada menerima derita nestapa saat perjalanan."



23 March 2012

Rajawali

I
Sebuah sangkar besi
tidak bias merubah seekor rajawali
menjadi seekor burung nuri.

-WS Rendra-


II
dari 'those were the days..'
kepada
we are, we are, youth of the nation!


III
oh, tanpa perlu menjadi raja mana-mana wali, 
kita cuma perlu menjadi raja diri sendiri.


21 March 2012

Buatmu Sakura


menghidu warna dan lagu
merasakan rindu
indera yang hilang

tak semua kemanisan adalah manis.

Memandang Pejuang

-Monumento nazionale a Vittorio Emanuele II Rome, merayau mencari pintu masuk Colesseum-


Sering sahaja saya kagum, pada pejuang-pejuang. Ada yang masyhur namanya disebut orang. Sejarahnya dibaca diambil iktibar. Ada yang menjadi tulang belakang tanpa dikenal. Sejarahnya lembaran tersimpan.

Gelanggang mereka berbeza. Setengahnya pejuang kemerdekaan, setengahnya pendiri bangsa, setengahnya 'pembaharu' agama. Atau mungkin hanya kita yang melabel berbeza. Dia seorang boleh jadi semua. Satu persamaan biasa; keras mahunya, teguh langkahnya ke muka. 


Sepanjang perjalanan hidup singkat ini, saya melihat juga kelibat 'bakal-bakal pejuang'.
Satu malam, entah bagaimana, saya bermimpi dengan imej yang cukup jelas sekali, seorang yang saya kagumi, mengatakan,

'Orang selalu lihat tegang urat di leher aku ini tanda ketabahan, gagahnya aku menghadapi hidup, tapi orang tidak tahu, ia menanggung tangisan, letih, sengsara yang aku pendamkan.'

Tersentak saya terjaga. Berpeluh.

Rupanya di sebalik tirai, kadang terhidang sebuah duka.
(Saya antara orang yang percaya, mimpi yang ntahapaapa pun sebenarnya, sekurangnya adaapaapa)

Kagum jangan sampai berlepas diri.
Sentiasa ada bantuan yang boleh kita hulurkan. Satu senyuman bisa meringankan beban, meski mungkin jauh dari menyelesaikan. Satu pertanyaan kecil dengan niat benar untuk membantu mungkin benar akan membantu.

___________________________________

( Catatan di atas ini telah saya tulis hampir setahun lalu, tidak lama setelah pulang dari Kembara Spain Itali. Namun saya tidak dapat menyambung.. sehinggalah hari ini)

Dulu terfikir juga, tapi akhirnya baru saya berputus asa untuk meragui bahawa,
'lebihan beban mereka sebenarnya adalah tanggungjawab kita'

itu sahaja nak tambah. Ulanglah seratus kali ayat di atas, kemudian tidurlah malam ini dengan lena.

hah.

19 March 2012

saudara saudagar

Disebut oleh Buya HAMKA, dalam satu bukunya, (saya ulas) bahawa bijak sekali nenek moyang kita memilihkan perkataan,

su maksudnya seribu
dagar maksudnya tipu.

su-dagar, hari ini disebut 'saudagar' asalnya membawa maksud seribu tipu.
Saudagar dilambangkan orang yang bijak berhelah berjual beli.

sekali lagi.

su maksudnya seribu
dara maksudnya cinta

su-dara, hari ini disebut 'saudara' asalnya membawa maksud seribu cinta.
Saudara dilambangkan orang yang sungguh-sungguh disayangi.


wah, indah bukan?

saya terfikir, entah apa-apa lagi rahsia yang tersembunyi disebalik perkataan yang kita gunakan sehari-hari.
di sebalik pantun-pantun lama, tentunya ada pesan-pesan istimewa nenek moyang kita.

setuju saudara?

17 March 2012

Memasak dan Menulis

Saya ingin sekali menulis. Sungguh. Tapi setiap kali saya menekan-menekan papan kekunci ini, setiap itu seolah ada yang hilang. Banyak entri yang tak dapat disudahkan, sudahnya saya simpan dalam draft.

Mungkin kerana mengenangkan peperiksaan. hah. I'm not in good position. Tapi, selalunya, bila risau-risau bersedia untuk peperiksaan, saya akan lebih banyak menulis. Atau saya sudah berubah. Tapi, sepatutnya menurut logik, dengan itu (kurang menulis), saya akan lebih banyak study. Tak juga. hehe.

Perubahan musim mungkin. Oh, saya sayangkan winter. Teruja memang dengan kuntum-kuntum bunga, tapi...

Selalu kalau sedang 'gila' begini, saya akan ke dapur memasak. Oh, sem ini dan sem lepas memang sudah kurang memasak, sebab selalu membeli juadah melayu masakan ibu dari Warung Usom. Lalu kelmarin sepulang dari jamiah, tiba-tiba saya memutuskan untuk masak rendang. Lengkuas, kerisik, daun kunyit, dan daun limau purut, semua bahan-bahan yang dihantar mak dari tanah air.

Saya juga tak tahu mengapa memasak ni bes. Sedangkan tidaklah melibatkan aktiviti fizikal berat-berat, yang dikaitkan dengan release stress, kecualilah kalau memasak untuk ratus-ratus orang. Teringat sejarah mula-mula memasak. Satu, kerana tercabar dengan seorang rakan yang 'berupaya' memasak untuk seisi keluarga. Masa tu tingkatan empat. Tercabar sebab di sekolah dia kelihatan otai, kasar, dan sangat kelelakian. Oh ya, dia perempuan.

Kedua, sebab tercabar juga. Kali ni Hanis. Kami bila pulang bercuti dari sekolah atas bukit, selalu membahagikan kerja-kerja rumah. Dia basuh baju, saya kena sidai, contoh. Memang saya liat. Tahunya menonton televisyen, bermain PS2, atau membaca surat khabar, dan novel. Antara perjanjian tak rasmi kami, kalau dia memasak juadah tengah hari, saya perlu menyapu ruang tamu atas, bawah hadapan, dan dapur. Mula-mula oklah. Lama-lama saya rasa berat sebelah, sebab saya fikir, senang betul kerja memasak. haha. Lalu saya mencuba, tak ada masalah pun sebenarnya. Hanis yang lama 'beruntung' buat kerja sikit, dan rehat lepas tu. Cis.

( Kenapa saya cerita ni tak pasal-pasal? ish)

Paling seronok tentang memasak ada dua juga. Pertama, semasa mencampak bahan-bahan. Saya jarang menyukat bahan, biasa ikut sedap rasa je. Masa ni saya selalu memikirkan interaksi antara bahan yang sedia ada dalam kuali, dan bahan yang baru dimasukkan. Entah. Kerana saya percaya mereka berjiwa, tentu mereka sama-sama berusaha memberikan yang terbaik, saling membantu membuahkan rasa memenuhi kehendak tukang masak. Sebab itu, bila tukang masak sedang 'keruh', sukar masakannya akan baik. Sebab itu, masakan ibu sentiasa paling sedap, paling lazat, paling buat kita teringat-ingat.

Kedua, semasa melihat orang makan masakan kita sampai licin. Saya rasa, tentang ini, sama sahaja kepada semua yang masak. Kita memberi, tapi kita tahu sebenarnya, kitalah yang lebih banyak menerima.

Oh, nak sebut apa lagi ya?

Hmm, saya terfikir baru ini, semasa membaca tulisan HAMKA, bahawa dia juga setelah bertahun-tahun, 'pulang' membaca tulisannya sendiri, mencari manfaat dari tulisannya sendiri, lalu rugilah jika saya tidak. Pada saya, setiap penulis paling kenal jiwa di sebalik penulisannya. Itu terlebih penting pada saya. Mungkin sekali ada pembaca 'berpengalaman' dan halus yang dapat menangkap jiwa di sebalik baris ayat dan binaan kata, tapi mungkin juga dalam banyak betulnya, dia tersilap. Tidak penulis. Saya yakin, dia kenal tulisannya, walau mungkin dia tidak tahu dari ceruk jiwa mana ia mula terhasil. err, keliru ke?

Lalu, saya telusuri tulisan-tulisan saya. Ada yang di dalam blog, dan yang lebih banyak dalam buku-buku conteng, dalam e mail-e mail yang saya kirimkan. Dan saya rasa ingin berkongsi tulisan yang saya kirimkan kepada seorang yang amat saya hormati, dalam entri seterusnya. Nanti. InsyaAllah.

Fuhh.

Mungkin sebenarnya benar, memasak dan menulis, adalah sama. Rencah, bahan utamanya, adalah jiwa.
Buat sayang-sayang sekalian, selamat memasak, dan selamat menulis!

16 March 2012

vertigo

Camera Obscura, Edinburgh



ada masa-masa dalam hidup
kita perlu pejamkan mata
dan terus melangkah.