24 January 2017

Orang Muda ke Sejarah

Membaca novel kecil Bukan Legasi Lalang membuatkan saya mengagumi semangat perjuangan Hang Jebat.
Membaca Hikayat Hang Tuah (walaupun tak habis. haha) membuatkan saya menghargai pendirian Hang Tuah.


Kalau dari sudut sastera, saya suka petikan kata-kata Latiff Mohidin dalam bukunya, Catatan, bertajuk 'Antagonis dan Protagonis',

" Watak Hang Tuah dan Hang Jebat itu tidak sama dengan watak wayang kulit sri Rama dan Rawana. Watak epik Ramayana itu watak hitam-putih; watak yang lahir daripada dua nilai, dua sifat, dan dua dunia yang bertentangan sama sekali; watak yang sudah diterima oleh masyarakat sebagai watak baik dan watak buruk. Yang satu bersifat ganas, sementara yang satu lagi bersifat lembut.

Watak Hang Tuah dan Hang Jebat ialah dua watak adik-beradik, watak kembar, watak pahlawan sehinggalah seorang difitnah, manakala yang seorang lagi bangun menuntut bela. Yang seorang amat patuh lagi setia, sementara yang seorang pula ingkar dan menderhaka; watak yang bukan 100%  hitam-putih, tetapi berwarna kelabu dengan ratio atau nisbah 40:60, bergantung kepada fahaman simbol dan keadaan psikologi semasa. Sebentar, Hang Tuah adalah hero dan wira kita; sebentar lagi, Hang Jebat pula. Ahli sejarah dan ahli sains politik terus berbelah bahagi. Begitu jualah halnya dengan pemikiran/minda kita.
(Mungkin inilah dua watak idaman seorang Shakespeare!) "

Hang Tuah dan Hang Jebat keduanya ialah man of principle.

Seperti Jebat, Tuah tidak takut kepada Sultan.
Sayang Tuah pada sahabat juga tidak kurang dari sayangnya Jebat.

Tetapi mereka dihadapkan dengan satu konflik. Raja zalim dan kelompok pembesar hasad dengki yang jika dibiar berterusan akan menyebabkan kejatuhan empayar Melaka ketika itu. Sudahnya, mereka tampil dengan pilihan pendirian berbeza. Mereka sama sekali tidak bertindak atas kepentingan sendiri.

Tuah memilih
Jebat memilih


Sejarah terus mengadili.

Dalam situasi dilema sepanjang zaman;
adakah kita perlukan seorang Hang Tuah atau seorang Hang Jebat?
atau hanya kita tidak perlukan Sultan Mahmud? Atau Patih Kerma Wijaya?

Mungkin sekali adalah silap untuk kita mengambil pendekatan simplistik sedemikian.

Potret

Sederhana saja, kuberitakan
apa yang terasa senja itu.
Senyummu, senyum yang bisa
menaklukkan jiwa, terbit antara
laut yang menyimpan gelora
dan pantai yang selalu menerima.

Sepasang buai berteduh
di pohon rendang. Dan kau sendiri tahu
setiap buai adalah mesin masa
menghantar pulang;
kita kecil tanpa dendam.
menjemput angan;
kita dewasa tanpa sesalan.

Kau tak mahu berpaling
mata kita diam dalam rahsia.

3.00 pagi
19/1/2017

12 December 2016

'Penganggur', ini ditulis lebih 9 bulan lepas. Sekian. =)



Membaca dan menulis menjadi lebih mudah begini, sebab saya tahu ia akan berakhir. Surat panggilan SPA sudah datang. Surat yang untuk sebahagiannya dinanti-nanti dan yang lainnya sebagai hukuman. 

Saya?

Saya begitu-begitu sahaja dalam menerima. Alhamdulillah. Dari satu segi, saya tahu akan hilang beberapa privilege. Contohnya, tidur selepas subuh hingga sepuluh pagi. Atau membaca novel hingga lewat malam. Atau menikmati masakan ibu setiap hari.

Tapi, pada masa yang sama, kedatangan surat ini bermakna saya sudah dapat menjawab pertanyaan jiran-jiran, saudara-mara, pakcik-pakcik surau dan kawan-kawan badminton tentang pekerjaan.

Soalan itu lazimnya bermula: Bila agaknya masuk kerja?,
kemudian maju menjadi: Belum masuk kerja lagi?, diiringi wajah simpati.
Perbualan itu selalunya ditutup, ‘Sabarlah. Adalah rezekinya tu.’
Saya hanya tersenyum.

Bukan apa, saya memahami kerisauan mereka. Refleksi pada zaman yang makin mencabar ini, graduan sukar mendapat pekerjaan. (Setiap zaman mencabar sebenarnya, dengan cara masing-masing.)

2016 diramal tahun tak menentu, ekonomi kuncup. Ditambah persilatan politik yang nampaknya tidak semakin bijak. Belum sampai kepada krisis, tapi semakin getir. Mungkin kerisauan itu berpanjang juga kepada anak-anak mereka, adakah juga disambut pengangguran selepas tamat belajar. Saya faham, saya rasa saya faham.

Lebih-lebih lagi, ini menandakan semangat ambil tahu masyarakat kampung. Ramai yang ditemui di depan bank, di pasar ikan, di sekolah, rata-ratanya mengenali ibu bapa saya, dan saya anaknya. Walaupun saya samar-samar atau kadang kala langsung tidak mengenali mereka.

Cuma ya, kadang menjengkelkan juga, apabila ditanya soalan yang sama, oleh orang yang sama setiap hari. Haha. Saya akan tersenyum, tetap tersenyum, tapi rasanya orang pun dapat membaca di hujung senyuman itu ada ketidakjujuran; senyum bermanis muka. Saya belum menguasai seni halus ‘berpura-pura’ atau sebenarnya seni menyesuaikan diri mengikut situasi.



Baik, apa yang saya lakukan dalam tempoh 7 bulan sebagai penganggur super sejati?
Jadi guru ganti. Subjek Sejarah dan Bahasa Melayu. (Mungkin kurang sejati di sini.)

Kembara 30 hari Asia Tenggara. Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam, Indonesia.
Membaca.
Teman nenek.
Main badminton.
Kerja-kerja rumah bila disuruh mak.
Jadi driver sepenuh masa, membawa keluarga ke mana-mana.

Bacaan Quran saya minimal. Buat seorang yang pernah bercita-cita menghafal Al Quran, tentu jumlah bacaan ini menjadi ejekan. Kecewa cikgu-cikgu saya. Teringat Salam, yang berkali-kali mengkhatamkan Quran dalam sebulan. Tiada kekuatan amal. Saya banyak berangan-angan.

Ya, itu sahaja. Sekarang saya mahu menulis.

Setelah enam tahun makan duit rakyat (biasiswa), saya selesa makan minum ditanggung mak abah. Biar sihat dan berkat. Oh, saya tahu diuntung makan duit rakyat. Saya mahu berkhidmat. Moga bersetujulah taufik Tuhan dengan hasrat ini.

Saya menikmati tempoh tujuh bulan pengangguran ini. Honeymoon. Terutamanya sekarang, bila saya sedar ia akan berakhir.

Saya terfikir, agaknya begitu hidup, dihargai bila tahu pengakhirannya, bila TAHU akan mati.
Saya terfikir, agaknya hidup lebih mudah kalau kita tahu bila mati. Contoh, ada paparan tarikh kematian di dahi masing-masing. Mungkin cara kematian terlalu mengganggu, jadi kita tinggalkannya sebagai misteri. 

Selain itu, jika tahu caranya, orang mungkin mencuba mengelak bertemu kematian atau datang ke tempat kejadian. Tapi, masa. Bukankah bagaimanapun masa akan tetap melanda kita? Tak terelakkan. Tak terhentikan.

Kebaikannya, kita boleh lebih bersedia merancang akhir hidup sendiri. Juga, kita akan lebih berlembut dengan orang yang bakal mati, walaupun mereka kelihatannya sihat-sihat sahaja. Saat menjelangnya, kita boleh menyiapkan semua urusan, hutang, dan warisan. Tinggal bertenang dan tunggu maut menyelesaikan. Mungkin manusia boleh lebih berbahagia.

Baik, bayangkan pula begini. Kita sekeluarga menjamu selera di meja makan. Ada nenek atuk, ibu ayah, anak-anak, dan cucu-cucu. Lengkap empat generasi. Boleh jadi mengerikan juga melihat paparan maut di dahi cucu jauh lebih awal dari atuk. Seolah hidup (dan mati) tidak adil.

Idea maut tidak diketahui ialah: Maut tak berbau, boleh menerpa bila-bila masa. Lalu kita perlu bersedia bila-bila masa. Bahawa hidup bukan milik kita, ia dikurnia. Saya teringat ayat pertama dan kedua Surah Al Mulk. Hidup dan mati. Ayyukum ahsanu ‘amala. Aduh.

Saya pun tidak tahu bagaimana boleh terlajak sampai ke sini.
Mula bekerja sebagai garis penamat pengangguran.
Maut sebagai garis penamat kehidupan.
Moga penamat ini membuka dunia baru yang lebih baik. Aamin.










08 July 2016

Perempuan menyebelahi cinta
Cinta tak selalu menyebelahi perempuan.

05 June 2016

Sinai


                     Gambar rembat twitter

Ada sesuatu yang mengingatkan saya tentang Sinai minggu ini.

Saya ke Mesir solo, sejurus selepas tamat peperiksaan Internal Medicine tahun empat. Kebetulan Khamim mengikuti kursus bahasa di sana, saya fikir ini peluang baik bertemu adik-adik.

Entah hari ke berapa, kami ke Sinai. Sebelum subuh kami memulakan pendakian. Musim sejuk. Angin, debu padang pasir, bintang gemerlapan menjadi teman.

Setelah beberapa pit stop dan secawan teh hangat, kami tiba di puncak.

Pendaki-pendaki lain sudah ramai tiba. Saya kebetulan bertemu dengan sekumpulan rakyat Malaysia, dari Sabah. Keningau kalau tak silap. Kristian. Berbual serba sedikit. Macam biasa, jumpa 'orang kita' di 'tempat orang' akan buat kita bangga dan rasa sama tak semena-mena.

Maklum juga, Sinai adalah 'persinggahan agama' buat yang percaya kisah Nabi Musa. Ada gereja dan surau di puncak, bersebelahan.

Ada empat momen yang saya takkan lupa,

1. Dengar koir orang beberapa remaja Kristian spontan. Tentang kebangkitan, pengorbanan, ketuhanan Jesus. Lunak, harmoni, merdu nyanyian mereka. Saya tergamam sebab tak tau nak suka ke nak tak suka. Nak marah atau merasa indah. Antara persaudaraan manusia dan kebenaran agama.

2. Dengar orang Indonesia yang cakap perfectly Bahasa Melayu pegang tangan sama-sama, doa sampai sama-sama berderai air mata. Isi doa? Kepada Jesus untuk kesejahteraan Indonesia. Sekali lagi saya tak tau nak react. Saya sangat hargai ketulusan tu, pada masa yang sama saya tak boleh bayang dan tak rela anak cucu kemudian berdoa demikian. Maksud saya, orang Melayu Malaysia tapi Kristian.

Tentulah, bangsa tak mengikat agama. Bahkan ramai kawan Arab saya Kristian. Bukan isu. Cuma.

Teringat doa Nabi Ibrahim.

3. Lepas nampak benda-benda celaru tu, kami sembahyang Subuh berjemaah. Suhu super sejuk. Ada yang tayamum. Yang ambil wudhu jadi imam. Masa ni dapat tenang balik. Seolah dapat hargai betul-betul Islam yang kita 'dapat'. Padahal sangat mudah kalau kita nak lahir di mana-mana, dan 'terpaksa' mencari Islam dari kosong. Sekarang saya diberi Allah peluang berdiri menghadap Dia. Dalam indah-indah perasaan manusia yang saya lihat tadi, tetaplah ini yang paling indah.

4. Ramai-ramai sama-sama tunggu dan sambut matahari terbit. Semua teriak, 'aaaa, aaa, it's there, it's there, it's thereeee!!' Pastu semua orang tepuk. Cantik betul matahari naik masa tu. Paling cantik pernah saya saksikan seumur hidup.


Tuhan bersumpah dengan Turisiinin dalam Quran. 

Manusia adalah istimewa.
Manusia boleh jadi paling hina. 
Kecuali.



11 May 2016

Min

Penyair kecewa menulis sajak kecewa.
Aku pasti mereka belum mengenalmu, Min.

Kau bukan suatu lagenda bayu membelai daunan gugur, atau cahaya lembut menghangat secawan kopi. Kau adalah suatu keyakinan di depan raksasa hidup.

Sesuatu yang tahu mengapa muara dicipta, mengapa hujan turun sebagai titis, mengapa pelangi berjalur tujuh, mengapa senja berwarna jingga.

Jua tahu mengapa tumbuh derita.

Sesuatu yang meneduh dendam dan mendampingi rahsia. Sesuatu yang mendengar impian manusia dan tidak tertawa.

Penyair kecewa terus menulis sajak kecewa. Aku pasti mereka belum mengenalmu, Min.

Atau sebenarnya telah. Lalu berpisah.


31 March 2016

Syria



Asalnya teringat Kak Nur dan permintaannya untuk saya menceritakan tentang Syria.
( Oh, siapa akak pun saya tak tahu. haha. Takpe, orang Perak. Baik-baik semua )
Sebenarnya, juga tidak tahu mahu mula bagaimana.

Pertama saya ke Syria ketika dalam perjalanan ke Turki. Merentas seluruh Syria menaiki bas. Singgah hanya berhenti rehat. Terlalu singkat. Tak sempat bertemu sudah berpisah. Ketika itu, imej Syria hanyalah pemandu teksinya yang serabut.

Pertemuan kedua dengan Syria lebih manis. Bersama Ahli Gen 5 dan bakal Gen 6 Akademi Tahfiz Az-Zikr. Ustaz Amir sebagai pemandu pelancong. Sangat bersetuju dengan Salam, kembara kami kali ini lebih 'berisi', 'bermakna', 'berjiwa'.

Faktor utama saya kira adanya Ustaz Amir, Ustaz Raouf. Perjalanan kami lebih terpimpin.



Err, detail kembara ni sambung kemudian la. Kali ni nak tunjuk gambar je.






Lagenda puteri dan kala jengking.

Kisahnya saya pun saya tak berapa ingat, sebab lebih terkenang lawak Keri ( seperti biasa, tanpa sengaja),
"Haaa..tu mimbar dia!"

=)

Taklah lupa semua, tapi mahu simpan untuk entri lain. hah.


Diakatakan teknologi kincir air pertama dunia menghasilkan tenaga.
Keri! kan dah cakap, angkat kaki kiri. Ish!

Seronok pula gambar ni. 
Masjid Ali Kabir.
Pandang kanan semua!






---------------------

Tahun 2010. Gambar pun tak habis upload. Kak Nur dah dapat anak alhamdulillah. 

Dan Syria. Tanah Redup Cinta itu.
Syria. 

Apa yang ingin Tuhan tanam padamu?
Moga nanti kau menuainya.