Membaca Hikayat Hang Tuah (walaupun tak habis. haha) membuatkan saya menghargai pendirian Hang Tuah.
Kalau dari sudut sastera, saya suka petikan kata-kata Latiff Mohidin dalam bukunya, Catatan, bertajuk 'Antagonis dan Protagonis',
" Watak Hang Tuah dan Hang Jebat itu tidak sama dengan watak wayang kulit sri Rama dan Rawana. Watak epik Ramayana itu watak hitam-putih; watak yang lahir daripada dua nilai, dua sifat, dan dua dunia yang bertentangan sama sekali; watak yang sudah diterima oleh masyarakat sebagai watak baik dan watak buruk. Yang satu bersifat ganas, sementara yang satu lagi bersifat lembut.
Watak Hang Tuah dan Hang Jebat ialah dua watak adik-beradik, watak kembar, watak pahlawan sehinggalah seorang difitnah, manakala yang seorang lagi bangun menuntut bela. Yang seorang amat patuh lagi setia, sementara yang seorang pula ingkar dan menderhaka; watak yang bukan 100% hitam-putih, tetapi berwarna kelabu dengan ratio atau nisbah 40:60, bergantung kepada fahaman simbol dan keadaan psikologi semasa. Sebentar, Hang Tuah adalah hero dan wira kita; sebentar lagi, Hang Jebat pula. Ahli sejarah dan ahli sains politik terus berbelah bahagi. Begitu jualah halnya dengan pemikiran/minda kita.
(Mungkin inilah dua watak idaman seorang Shakespeare!) "
Hang Tuah dan Hang Jebat keduanya ialah man of principle.
Seperti Jebat, Tuah tidak takut kepada Sultan.
Sayang Tuah pada sahabat juga tidak kurang dari sayangnya Jebat.
Tetapi mereka dihadapkan dengan satu konflik. Raja zalim dan kelompok pembesar hasad dengki yang jika dibiar berterusan akan menyebabkan kejatuhan empayar Melaka ketika itu. Sudahnya, mereka tampil dengan pilihan pendirian berbeza. Mereka sama sekali tidak bertindak atas kepentingan sendiri.
Tuah memilih
Jebat memilih
Sejarah terus mengadili.
Dalam situasi dilema sepanjang zaman;
adakah kita perlukan seorang Hang Tuah atau seorang Hang Jebat?
atau hanya kita tidak perlukan Sultan Mahmud? Atau Patih Kerma Wijaya?
Mungkin sekali adalah silap untuk kita mengambil pendekatan simplistik sedemikian.