20 December 2013

dan dia memilih



langit telah merah
bintang lebih tenang
dan kita memilih
untuk terjaga sekali lagi.

datang ia datang
menghuni menghurung dataran
menarilah angin utusan
mengalih tangis senyuman
jiwa pergi dan pulang.

salji telah tipis
malam lebih aman
dan kita memilih
untuk bercinta sekali lagi.

10 December 2013

nota radio

Untuk sesetengah ketakutan,

" I'm not afraid of the future that hasn't happened yet.
 What is future, after all? 
Isn't it just what the moments right now turns into?

 If I change now because of my future, 
what's the point of living in the present?"


_____________________________

Irbid sejuk. 5-6-7 celcius. Seronok.



18 November 2013

ophthal







Selesai Musim Panas

Sehelai cahaya yang gugur
adalah musafir jauh
terpilih ia di sini
berdepan manusia angkuh
menyusur insan seluruh.

Gugurnya daun cahaya
bersambut lembut awan
riang suara mergastua,
membangun sibuk kota
dan kilau tenang tasik.

Si musafir jauh
menikam subur dalam diam
meliputi jalan dengan terang.

Pernahkah kita bertanya
ke mana hilang cahaya semalam
ke taman rahsia ke saku masa
ke keduk malam ke dalam sukma?
Atau sebenarnya malar setia
pada semua jalur warna;
detik suka dan kenang duka?

Di tengah jalan hidup kau tunduk
menghimpun cahaya yang tercarik
pada sisa nyala kau membaca:
       Setiap mencecah bumi
       bukan hanya memecah sepi.
       Sesuatu hasil seni
       harus punya hasrat diri.


_____________________________________

Hanis jumpa exam ophthal hari Rabu, giliran saya pulak Khamis ni. 
Moga dia baik-baik sahaja. Hanis dan exam ophthal. =)

09 November 2013

Swiss, yang putih-gutatih

Sambungan entah dari mana. Menulis kembali melihat gambar lama.
__________________________

Cuma sehari di Paris, sampai awal pagi, sarapan dalam taman, melawat besi buruk Paris, jalan-jalan Champs Elysees, pusing Musee de Lourve ziarah Monalisa,  petang ke malam di Grand Mosque of Paris, mengagumi senibina ke-Andalusia-an di situ. Sayu mayu sikit baca mesej kawan. Kemudian ke airport, bersejuk-sejukan mencuri lena menanti flight esok pagi. Menumpang sayap kapal terbang, kami melepasi awan dari Paris ke Geneva.

Hasrat awal nak lawat CERN kat Geneva tu, permohonan e mail dah dapat perkenan, tapi berkhilaf pulak dengan rancangan. Khilaf macam mana pun saya dah lupa. Transport ke sana agak mahal kot. hah.



Rail transport memang utama. Setelah banyak kali berkira-kira untuk survive 4 hari 5 malam di sini, kami memilih untuk menginap di Interlaken, terletak di tengah-tengah Swiss, dengan harga lebih murah, dan berulang alik dengan tren ke tempat-tempat lain. Harga tiket student untuk 4 hari 4 malam ialah Swiss Franc 200, bersamaan kurang lebih 150 JD atau RM650.

Masuk train memang diam tercengang-cengang masing-masing tengok keindahan Swiss ni. Macam tengok slideshow pemandangan lawa tak henti-henti. Train pulak tegap dan selesa. Sandar, jamu mata dan badan, berehat dari kesibukan Paris.






Dari Geneva, kami melalui Lausanne sebelum tiba di Interlaken.

Masa ni Interlaken pun macam senyap sunyi je. Yelah sejuk kot kat luar. Kalau musim panas lagi ramailah pelancong datang. 

Sebahagian Dar Baraka. haha.




Di Bern. Terharu tengok pakcik-makcik ni. Tua-tua sama-sama keluar shopping sejuk-sejuk camni.

salju melebat, 
dan entah buat kali ke berapa ia
hangat rangup menyambut
 derap langkah kalian

perlahan
tapi teguh.

genggam erat itu
aku tertanya
hanya kerna beku salju
atau nyata cinta?








 Di Bern, kami melawat Old Town, Einstein Museum, Bear Park, Clock Tower, Prison Tower, dll.


Tasik Lucerne kalau tak silap. 








Ha, ni la jambatan Lucerne yang aku cakap hari tu. Klasik. Lawa.


Hari-hari seterusnya diisi dengan shopping, berehat, masuk muzium (juga untuk berehat, baca-baca, dan memanaskan badan) juga main salji. Saya pergi trip solo pusing Tasik Lucerne. Banyak gambar menarik masa tu, cuma dah tak terjejak bila nak cari balik.


depan hostel.

Grindelwald, port femes main salji.



Hari akhir kami ke Zurich, destinasi akhir di Swiss sebelum mengambil penerbangan ke London. Kami ke National Museum. Menarik. Diceritakan sejarah awal Swiss, kemajuannya, pendirian berkecualinya dalam konflik-konflik dunia, secrecy, mystery bank nya, dll. 'Dll' sebab dah tak ingat. haha.


Tentang hari ini yang sedang menjadi sejarah.

Budak-budak enam orang jumpa pensel warna. 

Random pic masa jalan-jalan. Suka.

Di Zurich hari tu, suhu mencecah 12 darjah celsius. Ne ga tive. Ada masa salji turun sepoi-sepoi bahasa, kadang garang entah bahasa apa. Sejuk dia memang tak boleh lupa. Kami cari masjid. Setelah mendapat bantuan beberapa pakcik tempatan (yang kadang betul kadang salah, kejap betul kejap salah) kami sampai akhirnya. Alhamdulillah.

 Lega, 'tak mati beku kita hari ni'. Masjid ni rupanya terletak dalam kawasan perumahan.

Sampai masjid, solat, rehat. Dengar ceramah sikit. Sembang dengan pengurus masjid, Yusuf kalau tak silap nama dia, dari Somalia. Pergh, layanan dia memang cambest. Kami dijamu MAKAN. Ya Allah. Cuba bayangkan, setelah 'berjemur' kesejukan negatif 12 berjam-jam, kami dapat makan! 

Salami, roti, dengan 'sambal'. Saya rasa itu antara sesi makan paling nikmat sepanjang hidup. 

Gambar kenangan dalam masjid.



Geneva- Lausanne- Interlaken- Bern- Basel - Lucerne - Zurich


______________________________



Ni nak quote Sadis,

"
Yang menjadikan kembara itu satu kembara yang indah bukannya berapa banyak gambar yang ditangkap, atau berapa banyak gambar yang di-upload, juga bukan berapa banyak negara yang dituju dan bukan berapa banyak status FB yang ditulis. Tentu juga bukan berapa banyak entry yang di-publish.

Boleh jadi kembara seseorang dari rumah ke masjid Yarmouk itu lebih terisi dari kembara dari rumah ke Sepanyol. Maknakan kembali kembara anda, sebelum ianya menjadi kembara yang suka tetapi nihil belaka.

Niat, tujuan, objektif haruslah ada dan selari dengan syariat. Bahkan berjalan tanpa objektif hukumnya makhruh. Pegang kepada dahan yang kukuh agar kita tidak terhanyut sepanjang kembara. Selak kembali al-Quran, mesrai ayat-ayat-Nya, juga selami hadis-hadis Nabi agar kembara kita ini 'bersama Tuhan'.

Bahaya bermusafir bersendirian, bergeraklah dalam kumpulan dan lantik seorang ketua. Ucapkan selamat tinggal kepada yang lain, dan bayar segala hutang. Banyakkan juga berdoa sepanjang musafir, kerana ianya mustajab.

Semoga pulang kembara kali ini dengan jiwa yang lebih terisi.

Jauh berjalan ke tanah Eropah
Mata memandang hati mencari
Setiap langkah kurniaan Allah
Layakkah kita tidak hargai

                                                      "

____________________________________

Tengok gambar-gambar kembara lepas memang boleh buat senyum-sengih.

Selepas kembara Eropah Spain-Paris-Swiss-UK tempoh hari, saya rasa (decide, kononnya) nak bersara, nak settle down. Cukup-cukuplah tu. Nak kumpul duit sikit-sikit untuk masa depan.

Tapi, minggu lepas, Luqman tanya, 'ada tak buku Lonely Planet Europe, nak pinjam'. Setelah ditanya nak ke mana, Luqman melepaskan sederet jawapan.

Bila disebut Jerman, saya terbayang Berlin Wall. Bila disebut Amsterdam, saya terngiang-ngiang lagu Jacques Brel, Dans Le Port d'Amsterdam.

Haih.

Jadi...





03 November 2013

Untuk Ally


sigh ( and smile )
_______________________________


Kau risaukan bingungkan
'bagaimana sampai begitu perempuan berubah hati?'
Tanyakan dirimu sendiri
berapa kali hatimu berubah dalam satu hari?



01 November 2013

ada masa hidup macam sate,


Seratus sate hangat dalam talam
lima enam hangit dalam perjalanan.

Seratus jiwa sejuk lapar nak makan
lima enam bangkit tolong masakkan.


Okeh, untuk minggu depan, budak serumah  cadang nak jual sate.
Sempena isi masa lapaaaang, bermesra gelak tawa sambil mengambil tempahan.



__________________________________

...terasa seolah diperam dicucuk dipanggang dan dihidang.
tapi, hey, sekurangnya tak seperti arang, berpanas hilang ringan dan dilupakan.

kalau hidup kau macam sate pun sekarang, cubalah jadi sate yang terbaik.
kalau hidup kau macam arang pun sekarang, cubalah jadi arang yang terbaik.

terus dan terus lagi.

di depan masih ada jalan.
di depan tentu ada harapan.






20 October 2013

Saksi, Adha Kali Ini


buat kenangan



Satu PERMAI, satu perut, satu usus.
Tak sangka juga, sambutan korban kali ini memakan banyak korban.

Biasanya dulu di sekolah atas bukit, kalau ada keracunan makanan (selalu), dan jerebu, kami sambut dengan (agak) gembira. Sebab boleh cuti. Kadang sampai seminggu. Sakit perut satu hari diganti dengan makan enak seminggu di rumah. heh

Harap-harap ahli Permai tiada yang melarat sakitnya.

Sebagai orang yang (agak) selalu bergelumang dengan masakan dan biro persegaran, saya yakin orang yang paling terseksa, paling terkorban, dan paling pedih saat ini ialah si tukang masak dan pasukannya. Moga mereka tabah.








18 October 2013

hari ini, esok hari.


Tulisan ibunda saya.
 Entah bila beliau menulisnya, saya tidak tahu. 
Tapi ia ditulis dengan mesin taip, tentu-tentu-tentu sudah lama kan.




Simponi


Damai simponi membelah sayu,
Pungguk merindu rembulan,
Lembayung senja menunduk layu,
Ratapan dara merayu rawan.

Tiba-tiba guruh membelah
Bumi merekah
Lantas cahaya kelam.

Tinggallah si pungguk
Menghitung langkahan malam,
Dan rembulan tidak muncul lagi,
Terbanglah pungguk merindu menanti.

Tiba di suatu perhentian,
Pungguk sedar betapa agung.
Erti sebuah impian.



-Ainon Ahmad-

______________________________



dari rantings umairahshafei. 
saya suka lalu sukahati pula curi dan edit dari gandingan asal 'bapak-bonda' kepada 'mak-abah'.
Harap akak penulis tak marah banyak-banyak. hah




hari ini, kami berkata
"mama, kami selongkar album lama
dan temukan puisi mama di sana"

esok hari, mereka bercerita
"abah, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan abah di sana"




________________________________

seriuss laaa...

17 October 2013

sakura dan salji





Sakura dan salji 
ialah ia bunga saudara
gugur menyapa membawa cinta
penawar kata segala bara,
harum dan putih
manis dan bersih.

Sakura dan salji
tidak hadir sekali
kerna angin yang menghantar indahnya
hanya mampu memilih satu,
satu sekali masa
untuk bergelar setia.

______________________

08 October 2013

Hujung dari 'Didikan Keutamaan', tulis Buya Hamka

Setelah diperhatikan kewajipan itu dengan saksama, nyatalah kian lama kian sukar - sukar tapi indah!- Sebab hidup manusia berbeza dengan hidup binatang. Hidup manusia dipergunakannya untuk sesudah matinya, yang akan disebut orang, sepeninggalnya, dan akan didapatinya sendiri di akhirat. Dia akan datang kepada Tuhan dengan berkata: "Sekianlah usahaku ya Tuhanku, lebihnya aku tidak kuasa... pulang timbangan kepada Engkau."

Itulah yang bernama hidup. Itulah yang bernama perjuangan. Bukan dengan semata-mata menyebut sahaja. Boleh kita ulang setiap hari bahawa kebaikan lebih baik daripada kejahatan, kejujuran lebih menang daripada kecurangan, bahawa pemaaf lebih bagus dari pemarah, lurus lebih mulia dari dusta. Boleh kita berkata begitu, dan semua orang, walau pencuri dan maling sekalipun, akan mengakui, memang begitu. Tetapi apakah semata-mata dengan mengulang-ulang itu sahaja akan ada faedahnya? Apakah ubahnya mendengarkan kata-kata yang demikian dengan mendengarkan Khutbah Jumaat karangan 50 tahun yang lalu, yang masih mendoakan Sultan Turki, padahal Kerajaan Turki telah bertukar menjadi Republik?

Keutamaan hanya diperolehi dengan berjuang, dengan mendidik dan belajar, tumbuh di hati yang suci dan menimbang, bukan dengan semata-mata diajar-ajar, dipaksa-paksa atau lantaran mendengar pidato-pidato sahaja.



________
fuh...padumadu.

07 October 2013

Ma La Ga












Begitu pelabuhan Malaga
begitu cinta kita menyaksikan
jiwa-jiwa singgah berdagang
rindu dan belayar pulang.

05 October 2013

Kepada Penulis Muda

Dari T Alias Taib,

'kepada penulis muda, saya ingin berpesan agar menyimpan pen dan kertas di tepi katil. Anda mungkin terjaga jam tiga pagi dan teringat akan kejadian menarik tiga petang siang tadi.'



04 October 2013

Rantai

Sadis mintak puisi Adha. Macam editor pun ada dah dia ni. Aku kutip-kutip belek-belek buku catatan lama, cuba cari kalau-kalau ada glimpse, contengan mana-mana yang boleh menimbulkan idea, menghimbau rasa. Tak jumpa, yang jumpa benda lain. Selalu macam tu. haha.

Err, guna 'saya' pulak lah. Di sini saya turunkan 6 'puisi bersiri' tulisan zaman antah berantah, zaman muda-muda yang saya jumpa semula tadi. Dalam buku catatan warna biru tahun dua.

Saya harap penulis-penulis yang terlibat tak marahhh lah ya. =)


Ni sikit komen 'anon' sebagai mukaddimah,

yang juga menarik, puisi ini boleh dikatakan yang akhir daripada beberapa puisi sebelumnya, ditulis berasingan, berantaian oleh tiga individu.

puisi akhir ini takkan terhasil tiba-tiba, pastinya takkan jika tanpa sokongan, bantuan puisi sebelumnya, lebih-lebih yang pertama. saya amat menghargai bagaimana penulis seterusnya cuba memahami puisi sebelum dan membalas dengan puisi baru. 

boleh jadi antaranya ada salah faham, kurang faham, lebih faham, atau buat-buat faham ketika masing-masing cuba memberikan makna. sepertinya begitulah hidup, tapi kita sentiasa perlu berani, kan?




No 1
kadang resah hati
sembunyi dalam diri
lantas keluar riang
litup ringan sebuah pura.

akhirnya digali sang setia
tanda akhir sebuah derita.



No 2
kadang indah mimpi
setia juga menanti
saat diri hilang
dalam bayang-bayang.

pada akhir cerita
ditemu jua
makna intan dan kaca.



No 3
kadang meniti pasti
mimpi menyembunyi diri
setelah berlalu taufan
terjawab sebuah persoalan

saat berderai kaca
intan berkilau setia.



No 4 (balas No 2)
cerita terakhir
hanya mimpi setia
kilauan memikau
rupanya bayang dusta

makna keduanya
kekal kusam
hilang.



No 5 (balas No3)
di sisi taufan persoalan
diri bertatih pasti
dalam deraian kaca
intan terselit luka.

menanti setia jauhari
dalam mimpi tersembunyi.




No 6
dalam litup sayu
"Usakkan tangismu.
Nanti akan ada menemukan
dan berkongsi dunia."

Pada 'nanti' kau terhenti
mimpi itu berjanji
janji itu bermimpi.

Namun hingga itu
kitalah jauhari
mengenal kaca
dan intan diri.



Ha, penulis-penulis atas ni, takde yang nak tambah no 7 ke??


______________________________

kerna

hati dan ketenangannya
bukanlah permainan bahasa.


_____________________________



Neuro minggu depan.
Pergh, cuak gak. (sambil cucuk-cucuk TMJ)







02 October 2013

hulu ke muara



Dari hulu, air tiada pilihan melainkan 
menjadi semakin keruh.
Tiba di muara, ia tahu
perjalanannya baru bermula.

30 September 2013

ENT

Assalamualaikum semua.

Cuti di Tanah Melayu dan Bumi Kenyalang baru-baru ini sangat best. Rasa nak tulis entri khusus tapi tak menyempat lah pulak. Cuti, cuti, cuti selama 6 minggu, kemudian pulang ke sini. Antara kelebihan kembali berurusan di tanah Arab ialah membuatkan kita sedar betapa bagusnya rakyat Malaysia. hah

Apa-apapun alhamdulillah semuanya baik. Minggu ini rotation Ear, Nose, and Throat (ENT). Terkial jugalah kena belajar semula selepas memaknakan cuti dengan rehat. Nasib baik bukan rotation major.

Singgah di sini, saya pun tak mahu kalian pulang dengan tangan kosong, jadi saya panjangkan sedikit dari tulisan Ibnu Khaldun dalam Mukaddimah, terjemahan Pustaka Al-Kautsar;

"..Sementara kerajaan dan kekuasaan merupakan pasar dunia. Kepadanyalah ilmu-ilmu dan keahlian didatangkan, di dalamnya hikmah-hikmah yang hilang dicari, dan kepadanyalah kenderaan-kenderaan riwayat dan berita dikendalikan. Sesuatu yang laku di sana tentu laku di semua tempat.

Jika kerajaan menjauhkan diri dari sikap sewenang-wenang, kezaliman, kebodohan, sifat-sifat yang hina, dan menempuh jalan yang lurus, maka yang laku adalah emas yang murni dan perak yang bersih. Namun jika kerajaan bertindak secara pragmatis, berpihak kepada orang-orang yang dengki dan menjalinkan kerjasama dengan makelar-makelar kebatilan dan kesesatan, maka yang laku adalah barang yang buruk dan palsu."

Di zaman kita ini, mungkinlah fungsi kerajaan 'mengawal' pendidikan dan ilmu tidak seberat yang tergambar di atas. Sudah ada NGO-NGO. Dan yang terlihat lebih besar, ada internet. Orang (nampak secara zahirnya, sekurangnya) boleh lebih memilih.

Tapi cuba kita lihat dari sudut lain sedikit. Bagaimana kalau 'kerajaan' ini adalah kerajaan diri sendiri. Beraja hati dimenterikan fikiran. ....kepadanyalah ilmu-ilmu dan keahlian didatangkan, terhasilkah agaknya pada kita emas yang murni dan perak yang bersih?

Renung-renungkan, sama-sama kita fikirkan. =)

26 August 2013

lagu laga lagi

(Buat siapa-siapa yang sedikit merendam luka di musim kahwin ini. haha)

Alahai diri ternanti-nanti
darah berlari mengejar nadi
rindu menari di legar janji
janji diseri diatur duri.

Alahai diri ternanti-nanti
tuan dinanti berlalu pergi
kasih diberi bertemu tepi
derai gerimis di pantai hati.

Wahai diri dinanti diri
habis tangis melangkah lagi
ada remis adalah rezki
besar budi timbullah diri.



20 August 2013

Sepertinya Lewat


Datang pantun berbagai pantun,
susun merimbun tertib dan rukun;
pulang hamba menutur santun,
salah bertimbun mohon diampun.


Selamat pasca raya, selamat langsaikan puasa enam, selamat mendoakan kemenangan.

09 August 2013

Hujan Pertama

cuma sesekali kami berkelahi
seperti mawar dan durinya sendiri

31 July 2013

Dialog Sisi Adil-adilan



Setiap hari ada peristiwa. Terlalu banyak untuk kita lihat, untuk kita tahu, 
untuk kita hunjam ke dada sebagai perasaan, untuk kita tafsirkan darinya apa-apa pengajaran. 
Masih manusia hidup membersamai pilihan, 
pilihan untuk melihat, pilihan untuk mengetahui, pilihan untuk merasakan, pilihan untuk menafsirkan. 
Ini antara mengapa manusia perlu panduan, mengapa manusia perlu Tuhan.



" Setiap hari ada ikan disambar helang
ada singa membaham kijang
ada buaya menerkam kerbau.
Tak semua kejam harus dirisaukan
tak semua nyawa mesti diselamatkan,"
ujar sang kancil selepas dewasa.

Kata si pandir ditimpa usia,
" Semasa helang menyambar
singa menerkam dan buaya membaham
semut-semut terus tekun membina kota
anai-anai tetap bercita menongkat menara
lebah-lebah mulai mewah menempa emas."

Alam memenuhi kehendaknya
manusia melurusi impiannya.

Sebelum kita hadir
keadilan telah sedia
berjalan dan sempurna
setelah kita lahir
keadilan mengenal warna
tercabar dan bermakna.


24 July 2013

terima kasih

bulan penuh.




monyet pun ada cita-cita. =)

13 July 2013

dari puisi ke puisi

I
Pernah tidak kalian fikirkan hidup kita kadang terlompat-lompat?
Ada tiba-tiba lonjakan drastik dari titik ke titik, dan masa-keadaan seolahnya berlalu lebih pantas sekilas gamamnya kita, seperti saat yang dihadapi arus deras tika terhalang oleh batuan keras. Sesudahnya kita terlantar jauh dari tempat kita bermula.

Dalam lompatan itu, saat mana yang lebih kalian suka, saat naik ke atas atau saat jatuh ke bawah?
Ya, mungkin saya salah (tidak cukup) memberi pilihan. Saya tidak meletakkan sekali 'saat berada di puncak'. Baik, sekarang saya letakkan ketiga-tiganya, mana yang akan kalian pilih?
Ah, atau mungkin sekali lagi saya berasumsi salah, kerana dalam lompatan kita tak mesti jatuh. Mungkin ada antara kita mahu memilih hanya antara saat ke atas dan saat di puncak.

Hidup sesekali melompat beserta kejutan, selalunya berjalan pada waktu tenang, merangkak terpuruk waktu dikecilkan, bertongkat jingkit semasa cedera, sesekala berlari nekad mengejar, licik dikejar. Bagaimana adanya pun ia tetap sama, tetap menemani kita.

Semuanya dianggap sebahagian rencah perjalanan oleh manusia yang punya hala tuju. Langkah masing-masing diteruskan,cuma jangan sama sekali lupa, kita berkongsi bahtera.

Sudahlah dengan kata-kata yang saya sendiri tidak tahu akan ke mana.



II

Metafora dalam puisi.

Kata kawan saya yang bernama, (di sini saya ulas sebebasnya) metafora adalah kelebihan bahasa kita. Senjata untuk mengisi puisi. Bertatih, berlatih untuk menuangkan makna.

Betullah, fikir saya. Saya jadi mudah setuju, lagi-lagi semenjak baru-baru ini, saya mudah kagum padanya. Cuma seperti senjata-senjata lain, ia boleh menyerang sesiapa, termasuk yang menghunus.

Ketakutan saya pada metafora ialah ia boleh tiba-tiba menjadi besar, terlalu besar hingga menjadi sesuatu yang tak terbayangkan, liar tak terkalahkan oleh penulisnya sendiri. Lagi-lagi penulis seperti saya yang mentah, hijau, muda. Penulis tidak mengenal apa yang ia tuliskan. Pembaca meramal hasrat penulis. Keduanya silap, dan dipermainkan.

Sejujurnya, ia boleh berlaku pada mana-mana gaya bahasa. Sengaja atau tidak. Tragis atau tidak. Terubat atau tidak. Tapi ketakutan saya yang selalu; inilah.


III

Kata orang, paling mudah menulis ialah dengan membaca. Sama juga dengan puisi.
Dengan erti kata lain, meniru (sedar atau tidak) dan beradaptasi. Err, berevolusi? dan membina identiti sendiri.

Membaca penulis-penulis besar, mula-mula terdetik kagum, lama-lama menyimpan sayang.

Membaca Tuk Samad, selalu terharu dengan lirik lirih-lirih manis puisinya.
Membaca Tuk Sapardi buat saya senyum terhuyung-hayang, seperti pertama jatuh cinta.
Membaca Tuk Latiff M, saya bermula tertanya-tanya lalu menikmati indah berhenti darinya.
Membaca bonda Zurinah, tersiat dengan kejam-belasnya kenyataan-kenyataan biasa.

Kadang sebelum membaca puisi, menatap namanya sahaja sudah buat saya cuba bersedia dengan mood-mode tertentu, menjangka apa yang bakal dihidangkan kali ini.

Kata-kata yang dipilih tiada yang terbazir, semua yang perlu ada, semua perlu ada, cukup rasa, tak kurang tak lebih.

Membaca penulis-penulis besar, mula-mula terdetik kagum, lama-lama menyimpan sayang. Antaranya menaruh hasrat untuk belajar dan kalau terus ditulis tulus, dalam segala pinggir dan naif, untuk suatu tika, entah suatu zaman, jadi sebilang dengan mereka.



IV

Dari puisi ke puisi, seperti dari hidup ke hidup, juga kadang terlompat-lompat.
Tidak semena-mena.

Inspirasi.

Atau begitulah yang saya fikir terjadi ketika saya membaca Puisi Tuk A Samad Said, dalam kumpulan Rindu Ibu bernama...

Daun Peta

Pada suatu senja
selepas gerimis
tak sangka terpijak
aku daun basah;
cepat ku terpikat
lingkaran uratnya
yang menyimpan carik
sungguh istimewa.
Ia mengingatkan
seserabut peta
lingkar jalan raya
sayup dari udara.
Dari imbasannya
daun-daun basah
jelas bercerita:
Khazanah semesta
ada yang kutahu,
ada yang rahsia.


...sangat-sangat suka sampai saya tiba-tiba terus menulis...

Bulan Nelayan

Di pinggir soifi 
talam langit meraikan
sepotong tembikai susu
dari ranum kebun Tuhan;
tertitis manisnya
pada bijian bintang
bertebar terang.

Nun Nusantara
seorang nelayan bahasa
kecur jiwa menatap
malam nian
indah di rantauan.
sedang pukat dan kailnya,
koyak dan karat hikmah
perahu dan pendayungnya,
terbeting di ujung muara
tak terdaya ia
meluncur lautan makna.

Namun tetap ia memandang
garis ufuk langit dan lautan
tiada dapat memisahkan
murah dan luas rahmat Tuhan.



_________________________________________

klise gila 'nelayan bahasa', takpelah, sempena makan bawal dan tembikai dalam talam malam ni! haha

12 July 2013

awal Ramadhan

bulan sepotong syumam
manis dan terang.

28 June 2013

buku catat




bulan tidak mendebur kata
pada baginya, nyata segala dari cahaya.


Mungkin inilah masalahnya bila banyak buku catatan. Terlalu banyak beban.

Saya antara yang suka membeli buku catatan baru tiapkali bertukar modul pelajaran. Surgery satu buku, Internal satu buku, Pediatrics satu buku. Selalu saya lebih suka buku-buku kecil ringan. Saya guna terutamanya nota-nota pelajaran, di samping nota-nota hidup. Atau sebenarnya sebaliknya.

Tabiat ini dah bermula sejak tahun satu. Kalau saya jalan-jalan ke mana-mana pun, saya selalu teringat untuk beli beberapa buku. Kadang awalnya berniat untuk dihadiahkan pada sesiapa sebagai kenang-kenangan, namun kadang-kadang ia berakhir dengan saya sendiri mengambilnya sebagai buku catatan.

Semuanya istimewa. Kadang saya terfikir, bila dibandingkan dengan teman-teman lain lagi-lagi arab-arab spesis skorer, saya ni malas yang amat dalam belajar. Tapi bila saya terjumpa nota-nota lama dalam buku buku catatan, saya terfikir semula, "eh, peliknya, aku ni taklah malas sangat. Kalau tak macam mana nota-nota ini boleh ada?" Rasa macam..err, semangat semula.

Memang penting buku-buku ini bagi orang seperti saya, yang terkadang tulisan mendahului fikiran. Membeleknya adalah membelek kehidupan. Bukan hanya helai-helai kenangan, atau titip-titip nostalgia, tapi saya selalu merasakan kelangsungan yang benar-benar berterusan. Lebih sedikit dari diari, sebab ia bukan catatan hari ke hari, ia adalah coret rambang hidup ke hidup.

Lalu, kadang dalam buku-buku itu saya tuliskan puisi. Puisi yang benar-benar jujur, terlalu jujur hingga saya malu sendiri. Lalu dengan perangai anak kecil, saya sengaja lupakan letak buku itu, atau kadang saya sorokkan. Ya, kerana malu. dengan tulisan sendiri.

Sudahnya seperti hari ini, bila tiba-tiba berasa rindu dengannya yang tertulis. Sebab, tanyalah mana-mana penulis, tentu yang paling jujur itulah yang paling disayang. Cuba mencari, tak jumpa lalu sesal sendiri. Sampai saya cuba percaya bahawa belum masanya saya jumpa semula. Namun inilah rangkap akhir dari puisi malu-sorok-rindu-hilang itu;

bulan tidak mendebur kata
pada baginya, nyata segala dari cahaya.

20 May 2013

Buat Kota Lama Edinburgh



cinta akan cinta
tika sedia menerima

cinta telah cinta
saat ia bersetia

cinta tetap cinta
dan benar tetap benar.

hahaha.



Hujung kembara, saya dah pancit, kawan-kawan masih penuh semangat. Atas rengekan Basyir, kami setuju untuk ke rumah hantu ni. Masing-masing angkat jari tanda puas hati, saya pun tersenyum, gembira.

?

haha

18 May 2013

strangeland




Bertahun-tahun sebelum ini, kita membina identiti.
Begitu kita dikenal orang, sekian begini kita mengenal diri sendiri.
Kalau diibaratkan tuangan lembaga, identiti yang kita bina tentulah berubah dari masa ke masa.
Ada yang dikurang, ada yang ditambah. Ada baru yang terukir, ada corak lama yang dilelas lapang semula.

Bagaimana kalau pada suatu pagi (kalau kita jenis bangun pagi lah), kita terjaga dari lena dan merasakan,
"What a strange life I just had."
Something attached that now feel so distant.

Saat setelah bertahun-tahun, kita katakan,
"Lembaga itu bukan aku yang punya."

Hah. I just listened to a beautifully strange song, and things happened in my head.
I end up writing this, now you happen to read it.

Learn, unlearn, relearn.
Walau bagaimana kita mahu, saat ini kita sudah tidak mampu untuk bermula dari kosong. Dari tiada. Kita telah ada. Dan ke'ada'an kita telah membina beberapa perkara, sekurangnya. Lalu, entah dari mana, aku jadi tertanya-tanya, tak semua orang diberi masa yang sama untuk menyiapkan lembaganya. Markah akan tetap diberi. Ia tetap adil, tanpa perlu level playing field. Tapi mungkin jua, lama masa hanya akan lebih merosakkan. When you unlearn the right things, mengganti dengan corak baru yang membinasa.

Masih, apa perkara yang betul, apa yang salah?

"yang hidup dengan rasa
aneh adalah kita
mencipta jawapan
tanpa soalan"


I just listened to a beautifully strange song, and things happened in my head.

Blame my pre exam syndrome please. I'm trying to(o). =)



03 May 2013

Tentang Hal-hal Maklum

Saingan sangat sengit, dan kita menanti dengan debar di dada. Akhirnya keputusan pilihanraya dimumkan. Alhamdulillah, seperti semua sedia maklum, Pakatan Rakyat telah berjaya secara rasmi membentuk kerajaan setelah memenangi sekian kerusi Parlimen di seluruh negara.

Yang diperjuang telah dicapai, hari ini rakyat Malaysia berhak bergembira. Dalam pada itu kita tahu, ini hela nafas pertama, tanda perjalanan baru bermula.

Buat Perdana Menteri baru dan pakatannya, seperti semua sedia maklum, Putrajaya bukan singgahsana takhta untuk bermegah berbangga, tetapi lambang amanah berat daripada rakyat. Rakyat mengingati dan akan menuntut manis dari hasrat dan janji kalian. Moga Allah mengurniakan kesihatan, ilham, berkat dan muafakat kepada kalian buat memerintah negara.

Buat Perdana Menteri lama dan barisannya, tahniah kerana masih memerintah beberapa buah negeri. Seperti semua sedia maklum, rakyat Malaysia umumnya pemaaf dan mudah lupa. Tawarkan khidmat lebih baik kepada rakyat. Bantulah kami mengawasi kerajaan baru, tegur marah kalau salah, diamlah kalau mereka betul. Hadirlah dengan lebih gagah dan matang untuk pilihan raya akan datang.

Seperti semua sedia maklum, 'kebodohan dan keberanian' anak muda banyak berjasa dalam menghantar kepada kemenangan kali ini. Dari sudut kecil, anak muda juga harus bertanggungjawab atas pilihan. Tuntutlah ilmu. Tuntutlah kepakaran. Tuntutlah wibawa. Semoga 'anak tua' dapat memberi tunjuk ajar kepada kita, sedikit sebanyak tentang 'bijaksana dan bahagia'. Sama-sama kita wariskan tanah air yang lebih baik buat generasi yang bakal tiba.

Di sini bukan syurga untuk segalanya bersih, indah, dan mulia. Di sini dunia, dan kita manusia-manusia tetap mesti berusaha agar segalanya lebih bersih, lebih indah, dan lebih mulia.

Hingga itu, selamat buat Malaysia.


_______________________________

Moga-moga 48 jam lagi, catatan ini bukan lagi dalam mimpi. Aamin.

Ini kalilah!

22 April 2013

Makna yang Berlaku



Hujan deras dan sungai jadi lebih berani
jalan becak buat langkah tambah berat
di bawah teduh, kami berbincang
tentang lemah-lemahnya lelaki perempuan.

yang salah harus dibetul
yang betul harus dirai
yang dirai, dengan ayam dan ikan!

di luar teduh
berkilau kuyup daun pisang,
keldai dan lembu kesejukan
alam resah dan gembira
pada masa sama.

Kami belajar,
dari sekecil perkara
berkah adalah
sesuatu yang bertambah.

lainnya, seperti
lekat lecak pada tapak
yang dikesat di bucu batu;
tinggallah sebagai tanda
perjalanan harus ringan.

Kami belajar,
sesuatu yang perlu
sesuatu yang berlalu
darinya ada makna yang ada
tetapi tidak berlaku.

_________________________

Mafraq-Irbid
hari-hari sekian





13 April 2013

'duduk-duduk merenung awan'


Menulis rupanya tak semudah yang pernah saya rasakan. Hidup dalam ketergesaan, menuju matlamat adalah hidup yang tidak menyisakan banyak ruang dan masa untuk bermewah dengan kenangan. Ambil pilih yang penting-penting buat pengajaran, selebihnya harus dilambai seperti setelah melepaskan wau cantik ke langit.

Tapi itulah. Buat saya misalnya, yang sudah terbiasa bergelumang kenangan, sukar sekali untuk unlearn, untuk unwind. Untuk move on selepas menentukan mana bekal dan mana beban.

Setelah (seolahnya merasa) berjaya, saya sedari hidup berbeza.
Ada cerah cahaya setelah langsir diselak, ada segar udara setelah tingkap dibuka.
Ada lorong-lorong masa dalam hidup sehari-hari baru ditemui, minta diisi.

Hidup memang indah, yang bertuah yang merasa, namun tidaklah tercipta hidup semata kerana keindahan. Sekurangnya tidak dengan 'keindahan' yang kita maknakan. Hidup adalah jalan juang. Jalan kesilapan.
Jalan jatuh dan bangun. Jalan keinginan. Jalan yang kita warisi dan akan kita wariskan.

II

Untuk menggerakkan zaman, hidup memerlukan keputusan-keputusan orang muda.
Terangkum dalamnya ke-betul-lan dan ke-salah-han.  Setelah ia dewasa, menjalani dunia dan menjadi tua, ia akan mengajar orang muda darihal silap-silapnya. Bukan ia terlalu lewat, cuma selalunya terlalu awal buat orang muda untuk faham.

Saya masih muda, begitu fikir saya. Di hadapan, dunia terbentang untuk cuba difahamkan.
Terbentang untuk menerima keputusan dan kesilapan-kesilapan.
Terbentang untuk mengajar membetulkan.

Saya akan melangkah. Saya tidak tahu sampai bila saya akan terus melangkah.
Dan pastinya, esok saya akan menolah ke belakang.
Saya tahu, saya tidak perlu pasti bagaimana pandangan itu nantinya;

penyesalan atau kelegaan.

03 April 2013

bukan untuk hari mengundi


Sahabat, ingin sekali aku tanyakan.
bagaimana ya, kau mengatasi ketakutan
kepada perkara yang tidak mungkin
diputar-semula-ke-belakang?

Membaca riakmu, aku tahu benar kau takut.
lalu, dari mana kau beroleh kekuatan untuk meneruskan?

Hidup adalah pilihan.
setelah kau dipilih
dan memilih untuk terus hidup
kau memilih untuk memilih.

Tatkala perkara yang tidak mungkin
diputar-semula-ke-belakang
menjadi perkara yang tidak mungkin
dihenti-jalannya-ke-depan;
Ketakutan adalah bekal
buat dikendong di belakang.
Hadapan kau suluh
dengan ilmu dan harapan!




_______________________

Again, April. Here you come.
Aku ingin membencimu dengan sederhana.
Aku ingin.


17 March 2013

Musim Pediatrics




Ncik Messy punya. Line feveret saya, yang diulang-ulang, 'setelah beberapa waktu yang berlalu ini'. 


__________________________________



Take care, moga musim bunga ini membawakan sesuatu yang paling ajaib sekali.


Senyum terima kasih.

11 March 2013

reflect

 Sinai




Don't blame yourself.
Sometimes, the reflection makes the reflected less beautiful.

20 February 2013

yang kecil-kecil





mereka yang menjemput hari
dan menghantarnya pergi
diam-diam pun tahu
senja selalu tersenyum
sedang dhuha selalu tertawa.

tinggal ia hanya tertanya
yang tersenyum yang tertawa
mana antara lebih bahagia.

mentari yang dijemput hari
bulan yang dihantar pergi
telah terang-terang mengerti
kita membanding perkara tiada
kita membeza perkara serupa.

11 February 2013

NSAID

and he said,

"sometimes you are defined by the things
you should be, but which you are not."

30 January 2013

carrier



Mungkin kita orangnya bisa berbahasa
memperindah segala
Moga kita orangnya tak pernah lupa
berbahasa tak mesti berbudi
dan Moga kita orangnya sentiasa berusaha
menyuci nurani dan akal diri.

2009






27 January 2013

koyokoyo iyo, koyokoyo orak





'Working hard is important, but there's something that matters even more;
believing in yourself.

Think of it this way.

Every great wizard in history has started out as nothing more than what we are now
... students.

If they can do it, why not us?'

Harry Potter & the Order of the Phoenix.



______________________________


I miss travelling actually. Like it has been set in my biological clock to travel this time around in a year, at the end of January. and yes, reading Lonely Planet is a whole lot easier than Kumar&Clark. Watching Harry Potter beat them both. Way to go. =)

20 January 2013

Beza



hidup kita berbeza
agar tempat itu terisi semua

17 January 2013

Dari Seberang Eilat

lafazmu, di sisi ombak tenang
'menulis tentang perempuan paling senang,
kau hanya perlu satu luka yang dalam.'

lanjutmu, tika mula bayu mendesah
'menulis tentang Tuhan paling susah,
kau amat perlu tidak punya apapun.'

dalam rindu yang hampir
Rumaisha tertawa kecil
'Kau
pernahkah
ada jawapan?'

Ia paling tahu
aku lebih mencintai puisi
aku lebih mencintai diri.


_________________

Laut Merah,
17 Jan 13

07 January 2013

Mungkin Nanti




Satu hari yang agak tenang, masa tengah bersenang-lenang di hadapan laptop, dengan tilam dan hirom tebal, timbul mesej dalam kotak kecil dari facebook, adik saya bertanya. Sebenarnya, bersangkutan dengan perbualan kami sebelum itu, tentang kerisauan-kerisauannya. 

Adakah manusia suka 'bermain' dgn takdir?

Macam mana sepatutnya manusia meraikan tindakan dan usaha, tapi masih dipandu Quran Sunnah?
Kita tak nak menganggap kemunduran akal (contohnya) adalah berkisarkan takdir. Tidak. Allah takkan ubah nasib selagimana manusia tak ubah kan.
Kenapa perlu terlalu pesimis pada takdir?
Lagi satu, tentang musibah, maghfirah, ujian.
Kalau manusia tetap tak berubah dari situ, bukankah mereka orang-orang yang statik,
menunggu takdir sampai katanya.
Sila jawab ya!

________________________________

Takut sebenarnya mendengar soalan seperti ini, apatah lagi diminta menjawab. Mula-mula macam nak jawab 'tak tahu' je. Senang, cerita tamat. Tapi tak sanggup lah pula, sebab yang bertanya adik sendiri. Dengan harapan meleraikan kerisauan dan kekusutannya, saya pun balaslah kurang lebih. Harapnya tak salah banyak sangat. Saya edit lah sikit-sikit sebelum letak kat sini.


Seimbang nis. Qada dan qadar ni memang kurang dibincangkan rasanya. Sebab ada beberapa ‘pertikaian’ ulama’. Ia melibatkan soalan-soalan, adakalanya melibatkan soalan yang salah, soalan yang memang sepatutnya tidak dijawab.
Ada ulama menyebut ( macam biasa, HAMKA lah mention ni ) terlalu berfikir tentang qada qadar ni macam tenung matahari. Makin lama makin kabur. (zaman tu xde spek mata hitam kot)
Dalam quran ada ayat 'Allah berkuasa atas tiap sesuatu', dan ada ayat ‘ Sesungguhnya Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum....’. Yang pasti kita tak boleh amik hanya salah satu ayat tu. Kena lihat serentak, cuba fahamkan hikmah. Dunia bukan kita seorang. Namun setiap seorang ada bahagiannya masing-masing. Perkiraan kita tak sama dengan perkiraan Tuhan.

Ayat pertama adalah untuk orang yang ‘telah berjaya’. Lahir dalam keluarga baik-baik, belajar baik-baik, kerja baik-baik. Untuk dia, sebagai peringatan semua ‘baik-baik’ yang dia dapat adalah dari Tuhan. Tuhan yang beri, Tuhan boleh ambil semula bila-bila masa.
Ayat kedua untuk orang yang ‘sedang gagal’. Peringatan untuknya untuk terus berusaha, dengan jaminan Tuhan akan membantu setelah itu. 
Kenapa perlu terlalu pesimis pada takdir?
Lagi satu, tentang musibah, maghfirah, ujian.

Memang ada ulama bagi takrifan tertentu untuk tiap satu ni, tapi bagi abang, semuanya tergantung pada cara memandang. Dan mungkin ( sebut ‘mungkin’ sebab abang pun tak yakin abang betul faham), cara pandang tu disebabkan oleh iman. Keyakinan dan iqtikad. Kefahaman tentang sunnatullah dan syariatullah.
Nak bezakan adakah masalah kali ini adalah tanda Allah murka atau tanda Allah sayang, tentunya kembali kepada sejauhmana sangka baik kita pada Tuhan kan.

Tapi kalau dilihat ‘objektif’ (baca: secular), corak cara memandang tu sangat bergantung dengan peng-alam-an. Cara dia dibesarkan semasa kecil, peristiwa yang berlaku sepanjang ia hidup.

Lalu, mungkin dia perlukan satu ‘peristiwa lain’ yang boleh mengubah cara pandang dia. Bukan sekadar cakap-cakap orang.

Antara yang menarik dalam skil dakwah Rasullullah ialah betapa baginda membanyakkan pujian berbanding kritikan. Kita duduk tanah Arab ni rasanya memang boleh bayangkan rasanya betapa sengalnya Arab yang sengal tu, takkan masa Rasulullah takde macam ni. Dalam sirah, sahabat semuanya macam ‘manis-manis’ je. Mungkin antara kesan tarbiyah utama Rasulullah ialah ‘membuatkan mereka percaya mereka layak berbuat baik’. Trust. 
Sebab rata-rata manusia akan ‘grow’ with trust. Mungkin ada yang grow against trust, membuktikan sesuatu pada orang lain, tapi selalunya dia akan sakit. Dalam

Tentang macam mana nak raikan usaha dan tindakan, abang rasa memang ada beza antara kita yang beriman dan belum beriman. Pertama memang perlu pulangkan pujian pada Tuhan. Alhamdulillah.
Kedua, menambah yakin kita pada sunnatullah yang memang how the world is governed. Kita tahu we have to be fiercely hardworking untuk capai apa yang mahu kita capai. Mungkin ada orang yang 'specially talented', tanpa payah-payah usaha pun dia boleh dapat apa yang dia dapat, tapi abang rasa dalam kes ni shame on him la, sedangkan dia boleh dapat lebih baik lagi.

Sebenarnya orang yang benar-benar faham framework aqidah ni sepatutnya,sepatutnya berusaha lebih, lebih berbanding orang yang tidak. Kalau tidak, maknanya dia belum betul faham. Lalu timbullah kritikan ‘percaya pada takdir melemahkan usaha, melemahkan umat Islam.' Padahal sangat-sangat terbalik. 

______________________________________________


Kalau salah silap betulkan ya. Atau kalau ada jawapan lain. Trimas. =)
Mungkin nanti, bila saya membaca semula yang tertulis di atas ini, saya akan punya jawapan lain. Atau.

Tata!