Setiap hari ada peristiwa. Terlalu banyak untuk kita lihat, untuk kita tahu,
untuk kita hunjam ke dada sebagai perasaan, untuk kita tafsirkan darinya apa-apa pengajaran.
Masih manusia hidup membersamai pilihan,
pilihan untuk melihat, pilihan untuk mengetahui, pilihan untuk merasakan, pilihan untuk menafsirkan.
Ini antara mengapa manusia perlu panduan, mengapa manusia perlu Tuhan.
" Setiap hari ada ikan disambar helang
ada singa membaham kijang
ada buaya menerkam kerbau.
Tak semua kejam harus dirisaukan
tak semua nyawa mesti diselamatkan,"
ujar sang kancil selepas dewasa.
Kata si pandir ditimpa usia,
" Semasa helang menyambar
singa menerkam dan buaya membaham
semut-semut terus tekun membina kota
anai-anai tetap bercita menongkat menara
lebah-lebah mulai mewah menempa emas."
Alam memenuhi kehendaknya
manusia melurusi impiannya.
Sebelum kita hadir
keadilan telah sedia
berjalan dan sempurna
setelah kita lahir
keadilan mengenal warna
tercabar dan bermakna.
4 comments:
Semacam ada tak kena. Alam aturannya,memang ada yang harus dibiarkan - tapi jika manusia?
Apa ada nyawa yang tak harus diselamatkan?
Apa semua bisa sahaja melihat dan membiarkan?
rangkap tu sebenarnya memang tak bercakap tentang manusia. cuma (kalau boleh) nak menunjukkan perbezaan pandangan 'seseorang' setelah menempuh usia. Macam kononnya kancil yang menyelamatkan banyak haiwan, menjadi raja dengan 'bijaksana'nya, hingga harimau pun makan ulam.
aku membayangkan suatu ketika kancil mendapat 'bijaksana' kedua. yang tertindas tetap perlu dibela, tapi mungkin dengan cara lain. Bukan sama rata dan menghukum semua 'pemangsa'.
alam manusia tentulah lebih rumit. 'keadilan' yang kita pandang, yang termampu kita amalkan sukar sekali untuk mutlak. yang sanggup berusaha untuk itu telahpun terpuji.
juga, 'keadilan' buat manusia samasekali tidak selesai semua di dunia. ada syurga dan neraka, hari seadil-adilnya, dengan Pengadil Maha Perkasa Maha Bijaksana.
Em share post ni kat fb, boleh ke? Harap boleh.
sila-sila. takde masalah
Post a Comment