"Membilas hati dengan kenangan supaya dapat mudik ke dalam ketenangan, terkadang menjengkelkan. Ada kenangan yang berada pada tempat-tempat yang menyisakan garis bahagia masa lalu, namun, tidak kurang juga kenangan yang bergemuruh dengan pekik lirih.
Memekap kedua-duanya dalam hati, lalu cuba mengambil hikmah yang tidak rimbun tetapi tua dan tinggi, adalah perkara yang sering membuat hati saya terbatuk. Tidak mudah walaupun sudah didesak."
Baruddin Bekri, Hidup Penuh Cinta.
Sepertinya, pada bulan-bulan yang terakhir ini, banyak yang saya hadapi, banyak yang berlaku, banyak yang berlalu. Alhamdulillah, saya berpeluang mengerjakan umrah, beraya bersama keluarga di sana, bertungkus lumus menghadapi peperiksaan Gastrointestinal yang telah saya gagali sebelumnya, menemukan dua minggu klinikal, dan terlibat sedikit dengan sambutan pelajar baru tahun satu.
Dan di luar kebiasaan, saya tidak langsung (juga dengan makna serta merta) menuliskan pengalaman-pengalaman tersebut. Perkara ini secara umumnya terjadi kepada mana-mana penulis termungkin oleh pelbagai sebab, namun antara yang sering, kekurangan rasa berkongsi akibat kurang keyakinan diri. Dan ya, 'kurang keyakinan diri' boleh sahaja mengundang pelbagai tafsiran. Lalu, terpulang.
Saya sepertinya sudah melupai rasa ini. Rasa bebas menulis tanpa menyertakan fikiran, membiarkan hati atau entah apa-apa yang bersarang dan berkunjung dalam dada ini mengalirkan, malah terkadang menghamburkan wajahnya sendiri pada baris-baris dan lenggok-lenggok tulisan.
Ia menyedarkan saya sesuatu yang saya hilang. Dan dalam bahagian kesedaran itu, sebenarnya terlindung satu pengorbanan kecil; sebuah dunia yang saya lambaikan perpisahan sementara demi mendapatkan dunia yang lain.
Dunia penulisan dan pembacaan karya sastera.
Sehinggalah tiba hari yang saya nanti itu. Hari saya menerima empat buah buku pesanan yang langsing, banyaknya mencatatkan puisi-puisi. Saya uliti kulit ke kulit dengan debar dan senyum manis, berteman muka pertamanya dengan seulas manggis.
Dengannya saya menjenguk semula dunia yang saya tinggalkan. Terbiar nampaknya, bagaikan rumah yang ditinggal umrah pada pijar musim panas, setiap sudutnya meliar anak-anak lipas yang baru tertetas.
Setelah membaca semuka demi semuka, berdikit-dikit rasa itu kembali menyala. (dan saya usir lipas-lipasnya!)
Tatih Klinikal
Setelah minggu pertama berkeliaran di wad-wad hospital, kami pelajar-pelajar perubatan tahun empat sungguh merasakan cuti pagi Jumaat menjadi amat teramat nikmat. Tentulah kami belum biasa, setelah lebih selalu dimanjakan dengan waktu kuliah yang sedikit, kali ini perlu berdiri berjam-jam dan kemudian menghadiri kuliah berjam-jam. Tambah ujian, kuliah itu kami datangi setelah makan tengah hari, di atas kerusi merah yang empuknya melebihi kerusi kapal terbang.
Saya teringat dalam satu kelah sederhana, saya dihadiahkan soalan, kurang lebih,
"Kenapa kau pilih nak jadi doktor?"
Saya tergelak, dan menjawab spontan, " Entahlah. Aku pun masih bertanyakan soalan yang sama."
Namun saya seolah diberikan jawapan dalam satu sesi kuliah. Seperti yang sudah-sudah, banyak kuliah yang saya penuhi dengan lena-lena panjang. Namun dalam dua kuliah Dr Khaled Jadallah di hujung hari, saya tak tersangka memberi seratus sepuluh peratus perhatian.
Antara yang paling melekat, kata-kata yang dipetik daripada George Elliot,
'The best augury of a man's success in his profession is that he thinks it's the finest in the world.'
Keseluruhan kuliahnya membuat saya terasa dihidupkan, dan berbaloi tiga tahun yang saya lalui sepanjang pengajian.
Tabah yang Belum Kita Kenal
Antara yang paling melekat, kata-kata yang dipetik daripada George Elliot,
'The best augury of a man's success in his profession is that he thinks it's the finest in the world.'
Keseluruhan kuliahnya membuat saya terasa dihidupkan, dan berbaloi tiga tahun yang saya lalui sepanjang pengajian.
Tabah yang Belum Kita Kenal
Saya ingin berkongsi cerita tentang seorang pesakit Syria yang kami temui semasa round Surgery tempoh hari. Pesakit, lelaki, dalam awal 20-an 'terkena' tembakan di kedua belah kaki, dengan serpihan-serpihan peluru turut ditemui di kepala. Beliau menceritakan, kejadian itu berlaku ketika beliau berserta empat orang saudaranya berjalan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Isya'. Tentera Bashar tanpa menerima sebarang provokasi telah menembak rambang kawasan tersebut. Tiga orang saudaranya maut, dan beliau dan seorang lagi saudaranya dikejarkan ke hospital. Beliau mengatakan hanya mengingati beberapa detik selepas kajadian, merasai kesakitan yang amat sangat pada kedua belah kakinya dan kemudian jatuh pengsan.
Ketika ditanya, adakah keluarga dan isterinya berada di sini, beliau menjawab tidak, kemudian melanjutkan beliau tidak akan di sini lama, selepas sembuh, beliau mahu segera pulang ke Syria.
" Mesti ada orang lelaki (rijal) di sana, siapa lagi yang akan mempertahankan tanah air, ibu, isteri, dan anak-anak kami."
Dia yang cedera parah kedua kakinya, penuh bersemangat berucap begitu, tanpa sebarang tanda trauma, dan kadang-kadang mengukir senyum dalam perbualan kami. Kagum terharu, berjejal malu rasanya.
Yang Tak Terucapkan
Ada seorang teman yang saya sayang pernah mengkhabarkan setulus jujur, justeru menjemput muhasabah yang dalam, saat saya mohon padanya, 'tolong senaraikan kelemahan aku.'
Antara sekalian yang menyentak, ini yang paling terasa,
'Ego untuk tunjuk kasih sayang pada yang sepatutnya. Kadang-kadang tunjuk kasih sayang pada yang bukan tempatnya.'
Dan saya dengan ego juga mungkin, telah memadam, enggan menampilkan beberapa kata akhir daripada ayatnya.
'Yang sepatutnya' pada fikiran saya tentulah ibu ayah, adik-adik, dan keluarga. Manakala yang dia maksudkan pada saya yang benar dia kenal dengan kalimah 'bukan tempatnya', tentunya...yang itu-itulah.
Lantas mengingatkan saya pada satu tulisan yang pernah saya terima,
"Tidak pernah membayangkan warna-warna yang telah, sedang dan akan dicalit untuk tatapan adik-adik. But as it goes, the elder has to set the level for the siblings to hold on to and to follow, if possible to pass or be better than while they're growing up through the same phase. It's not easy. Simple is an understatement. Because in coloring - we didn't use words, we use action. Act is what people see and believe. And InshaAllah, if it's good, it will become an example. InshaAllah. I think what makes us keep going is hope. Harapan. Kedua ibu ayah. Adik-adik. Keluarga. Dan sesiapa sahaja yang dalam sela-sela ingatannya berdoa untuk kita."
Benar seperti kata kawan saya itu, saya jarang menzahirkan sayang buat adik-adik. Saya juga takut mereka mengharapkan saya menjadi contoh bagi mereka. Tidak mampu rasanya. Namun dari hati yang jauh dan dalam, saya juga mengharap apa-apa yang saya 'capai' menjadi inspirasi untuk mereka menggapai yang lebih baik, seribu kali lebih baik. Sungguh, saya dapat merasakan cemburu aneh yang manis bila melihat satu-satu adik melebihi saya dalam pelbagai cara, dan mengelakkan 'teladan-teladan' buruk saya.
Namun apa yang menyakitkan, kalau-kalau, kalau-kalau, apa yang dicapai adik beradik di atas menjadi beban dan tuntutan kepada yang di bawah. Dibandingkan adalah benar, sekali lagi, menyakitkan. Setiap kita mahu berdiri, terbaik buat diri sendiri.
Mungkin sebelumnya tak tercerita, engkau dapat meneka, betapa yang terhidang manis oleh ibu adalah sejujurnya harapan. Harapan yang ditatang doa yang tak putus-putus. Lalu buat adik-adik, marilah kita usahakan yang terbaik, dan moga kalian juga nanti sampai bila-bila akan sudi mengingatkan abang kembali tentang ini.
Beginilah cuma yang dapat saya hadirkan, isyarat sederhana dari berlapis-lapis cinta.
Ke Kelas Esok
Saya melaburkan masa yang agak panjang mengalirkan tulisan ini. Lalu, sekarang, seperti sepatutnya, saya harus berkalih menelaah buku, errmm, perubatan. Alam klinikal tentunya menjanjikan sesuatu yang menarik, terangkum dalam jenis-jenis exam yang belum kami temukan, tengkingan doktor yang belum kami temukan, dan pesakit-pesakit dan peluang-peluang belajar yang belum kami temukan.
"Buah pertama dari dusun yang terbaik pun biasanya agak buruk, tapi semua pohon harus belajar berbunga dan berbuah yang termanis, dan semuanya ini memerlukan tahap-tahapnya dan waktu yang meregang usia."
Muhammad Haji Salleh, Sehelai Surat Saujana.
Doakan kami dapat belajar dari kesilapan-kesalahan untuk menjadi doktor, dan insan yang lebih baik.
________________________________________________
Oh ya, antara utama ini tertulis, demi sebuah ucapan terima kasih, untuk seulas manggis dan seisinya semua.
5 comments:
peh.
nak pinjam buku manggis.
Puas.
Ah, mahu kata apa lagi?
Bingkisan doa kukirimkan, moga kau temukan sejahtera.
'Kenapa kau pilih nak jadi doktor?'
Ehem, soalan daripada siapa?
sebenarnye akak da lama tunggu Anip update blog dengan cite2 klinikal heheh. :D selamat masuk ke alam klinikal (!) -where the world gets wilder-. hoho. & malangnye, akak pun cam takde jawapan untuk soalan 'kenapa kau nak jadi doktor?' tu. adeh. ape2 pun, selamat la untuk kite sume...
hazen,
sila2.
selamat mengejar peluang.
Syazwan,
Trimas. the same goes for you.=)
Raihana,
ceh!
ehem jugak.
Kak Ross,
grad dululah baru carik jawapan. hah. Klinikal memang lagi menarik lah, setakat ni belum jumpa lagi other side of it.
selamat banyak-banyak untuk akak jugak!
Post a Comment