13 April 2015

Follow Up DM

Pagi ini aku menatap matahari, sekilas sahaja. Aku tahu tak mampu menentangnya. Aku tak pakai cermin mata hitam.

Jendela kubiar terbuka, biarlah matahari menghantar anak-anaknya ramai-ramai ke dalam, aku mahu bermesra dengan cahaya, cahaya bin matahari. Hairan juga aku, saban hari lahir sahaja cahaya ini, siapa ibunya begitu rajin? Atau siapa bapanya begitu gagah, berfikiran luas, dan takutkan kematian? Atau siapa yang layak dipasangkan dengan matahari, perempuan atau lelaki? Atau memang ia sendiri?

Di sisiku satu cahaya menumpang riba. Lama ia diam sahaja.

Kuelus rambutnya, diam. Kubelai pipinya, tetap diam.
Kusentuh bibirnya, ia berkerdip. Ada cahaya lain dalam matanya.
Aku merasa harus bertanya,

"Setelah perjalanan panjang ini, tidak rindukah kau pada matahari?"

Ia lalu menatapku dalam-dalam.
Aku berkerut tidak faham, tapi aku suka matanya. Bening.

"Ya, aku rindu. Tapi aku sudah menemuimu."

05 April 2015

Rantai dan Helai Hidup.



“Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepada-Nya kami kembali.”


Aku lahir setiap hari, lalu aku mati setiap hari. Aku hari ini hanyalah rantai dari aku-aku yang telah mati. Lu, lus lalu ga, gal telah lebih dulu dikenali aku-aku yang telah mati. Aku yang hidup hari ini hanya menyampaikan menyambungkan dan harapnya mempersaudarakan aku-aku yang telah mati dengan aku-aku yang bakal hidup. Terlahir aku hari ini terpikul dosa-dosa aku semalam, ternyaman oleh bayu bakti semalam, namun lebih dahsyat terkadang terbeban kenang-kenang amal yang sentiasa tidak mampu aku-aku sepanjang zaman memastikan.

Seluas alam dan sejemput rasa dalam dada ini selalu berbisik, dan kadang berteriak, Tuhan itu ADA. Mengetahui dan merasai Tuhan itu ada adalah sebesar-besar nikmat bagi aku sepanjang zaman. Tuhan selalu tersenyum dan membuka pintu. Tuhan menyulami hidup selalu dengan keindahan. Juga ada luka dan ujian. Tentunya dengan banyak persoalan.  

Persoalan tentang kebenaran dan kebatilan. Betul salah, mana yang menuntut siksa, mana yang menjemput bahagia.
Ramai manusia berjalan atas titian dan menyenangi sempadan. Ramai manusia melangsungkan hidupnya mengelak jawapan.

Namun pasti, tiada siapa ingin melepas kebenaran setelah mencicip lazatnya.


Cuma sebentar lagi, aku hari ini

 tetap akan mati.