14 May 2015

Sudah Semalam

Sudah semalam, tapi seperti hari ini. seperti sedang berlaku, seperti sekarang. Aku pernah dan telah melihat sahabat-sahabat baikku semua diuji. Masing-masing dengan ujian cukup berat, suatu yang aku tidak rasa aku sanggup. Syukur aku belum, tapi ini langsung buat aku tertanya, bagaimana akan aku diuji? Mampukah aku hadapi? Adakah setelah reda ribut, aku menjadi insan yang lebih baik? Atau ribut akan sekali membawa pergi semangat hidup?

Bak kata Aan, 'mereka tidak tahu jatuh cinta dan mencintai adalah dua penderitaan berbeza.'
Aku selalu jatuh hati, aku tidak pernah tahu mencintai. Mengapa mahu menoreh lengan sendiri, melihat darahnya, lalu merawatnya semula?

Lalu apa setelah cinta?

Semakin dewasa, kita tahu cinta ada macam-macam warna. Macam-macam ragam. Ada cinta yang tambah asing semakin ia didekati. Cinta tak lagi semudah cinta sekolah rendah, sekilas tak perlu dipertanggungjawabkan. Segi-segi lain turut menuntut cinta. Cinta dan masa. Akhirnya, semampunya, mahu mereguk seluruh diri kita.

Lalu apa setelah cinta?

Sebelum, semasa, atau setelah cinta, ada lorong-lorong hidup memanggil untuk dijalani . Tentulah kita tidak mahu mati begini saja, dalam peluang yang sekali ini. Kita mahu hidup bermakna. Sekurangnya agar dunia ada kenangan baik untuk kita, bahwa kita pernah hadir, pernah entah bagaimana berjasa, pernah memberi warna.

Jauh mana, banyak mana, dengan tangan mana lagi kau mampu memberi?
Bagaimana kau membeban kesalahan dan meneruskan hidup?
Bagaimana kau memaafkan dan meluaskan hari depan dengan harapan?
Bagaimana kau tak lagi merasa kehilangan dan tersenyum dengan indah di tangan?

Kau takkan tahu sebelum merasakan. Kau dan aku takkan faham sebelum faham. Ada Tuhan, sebenarnya ada Tuhan yang memegang cerita. Segala yang rancak, segala hening, semua dituliskan. Dengan tangan kita sendiri. Dengan pena kita. Dengan darah kita sendiri.

Mampukah kita tersenyum dan menerima Tuhan?
Akankah Tuhan tersenyum dan menerima kita?




17/4/2015
Bangun pagi terpinga-pinga.


3 comments:

Anonymous said...

Tentang Tuhan

Pada pagi hari Tuhan tidak pernah seperti terkejut dan bersabda, "Hari baru lagi !", ia senantiasa berkeliling merawat segenap ciptaan-Nya dengan sangat cermat dan hati-hati tanpa memperhitungkan hari.
Ia, seperti yang pernah kau katakan, tidak seperti kita sama sekali

Tuhan, merawat segala yang kita kenal dan juga yang tidak kita kenal dan juga yang tidak akan pernah kita kenal

______________________________________________________

وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُسِرُّونَ وَمَا تُعْلِنُون

zikri said...

Ya Latiff.

Sapardi. Patutlah terasa sungguh saya mencintai jiwa dari kata-kata ini.

Saudara mengingatkan saya dengan Ayat yang selalu buat saya gamam; Qaf, 16.

Terima kasih.

Anonymous said...

Semakin sedar, ribut macam mana pun boleh je keluar. Sebab Tuhan kan ada.

Patutlah kecewa macam mana pun dengan hidup, dengan manusia tetap mengangkat takbir, menghadap Tuhan. Sebab Tuhan ada merawat.

Hah ujian, hidup, indah.

Terima kasih :)