Kita membacanya.
Kita cuba menilainya.
Kisah ujian-ujian para Nabi menjadi kisah-kisah yang dihidangkan kepada kita sejak kecil. Nabi Ibrahim 'sanggup' menyembelih anak setelah mendapat isyarat mimpi. Khidir membunuh budak, disaksikan Nabi Musa. Nabi Adam diturunkan dari syurga. Nabi Isa dituhankan manusia. Dan yang lebih dekat dengan kita, ujian demi ujian dalam perjuangan Nabi Muhamad shallallahu 'alaihi wa sallam dan para sahabat.
Ekstrim. Sangat ekstrim. Dalam hidup sehari-hari kita, tiada ujian sebesar ini, sedahsyat ini, sesuai mungkin dengan peran kita yang tak sebesar, sedahsyat mereka. Sesuai mungkin dengan darjat kita, tak setinggi mereka. Tidak, tentulah saya tidak menafikan penderitaan manusia yang sedang berlangsung di seluruh dunia; kebuluran, perang, wabak penyakit; cuma telahan saya kebanyakan kita, sekurangnya yang berpeluang membaca ini, hidup dengan agak selesa.
Dari kisah Nabi-nabi itu, hinggap pipit-pipit fikir pada ranting minda saya. Berwarna warni pula.
- Manusia dicipta memang bukan untuk menetap hanya di syurga. Ada yang sepertinya takkan 'kembali'.
- Takdir memang takkan mampu difahami sepenuhnya. Manusia perlu belajar menghargainya.
- Seingat kita, kita hadir dari 'tiada'. Namun selepas ini, kita akan 'ada','ada','ada'.
- Nabi-nabi dibangkitkan untuk membuat pembaikan. Adakah sebaliknya juga betul, bahawa ada manusia yang dibangkitkan untuk membuat kerosakan? Seperti kata-kata keramat yang kononya dilafaz Genghis Khan,
"I am the punishment of God...If you had not committed great sins, God would not have sent a punishment like me upon you."
- Saya, seperti manusia lainnya, berkemungkinan ke syurga. Juga berpeluang ke neraka. Tiada manusia akan suka-suka memilih neraka. Saya tidak punya pilihan untuk 'tiada'.
- Men are vincible and vulnerable. Mereka perlu begitu, tidak sepenuhnya merasa berkuasa. Sesiapa yang mahu melangkah memangkah Tuhan, dalam sejarah selalu dihukum.
- Saya terfikir, dalam diri manusia-manusia yang mencintai Tuhan dan merasa Tuhan mencintainya, terfikirkah atau terdetik bagaimana dalam hati mereka akan rasa kasihan dan sayang kepada manusia-manusia lain yang membenci Tuhan, dan merasa Tuhan membencinya. Saya tidak tahu kalau janji Nabi Ibrahim yang halim itu untuk mendoakan bapanya dapat dijadikan contoh di sini.
- Kita adalah 'sesuatu'. Bila melihat diri dalam cermin, atau menyentuh wajah sendiri, atau membuat auscultation mendengar degup jantung sendiri, terasa bahawa tangan, wajah, kulit, dan degup ini bukan 'aku'. Aku adalah 'sesuatu' yang lain. Yang sedang berada di sini. Aku menumpang. Lalu, adakah fikiran yang menyatakan ini kepadaku adalah aku?
-Telah banyak angkatan yang sudah-sudah. Ada kisah mereka yang harum dalam sejarah. Ada angkatan berbuat onar, menjemput laknat Tuhan. Saya berpeluang ke kawasan Mount Vesuvius, ke runtuhan Pompeii yang ditimpa lapisan demi lapisan gunung berapi itu. Saya ke Laut Mati, agak berkali-kali, tempat dikatakan Kaum Luth dibalikkan, yang atas menjadi bawah.
Di tempat-tempat ini, saya diminta Tuhan mendapatkan pengajaran. Tempat-tempat ini mencatat sejarah hitam. Tapi, mengapa ya, anehnya, di tempat-tempat ini saya merasakan satu ketenangan. Adakah kerana ia dibersihkan (dari manusia), dan makhluk lain tak mampu berbuat dosa?
___________________________________
Memang benar ada manusia yang membuat kerosakan dan menumpahkan darah. Benar juga ada manusia mulia yang mensucikan Tuhan, yang menyeru pada kebaikan. Keduanya telah dan akan ada sepanjang zaman. Tetapi beyond keduanya, ada yang kita semua tidak tahu. Rahsia yang dipegang Tuhan, Hanya.
Tidak lama berselang kemudian, pipit-pipit itu, satu demi satu akan hinggap semula. Akan kuapakan mereka semua?
2 comments:
sambutlah pipit-pipit fikir itu..raikan mereka
setelah bermuhasabah..mungkin perlu berusaha, berdoa, berharap
agar kehidupan kita dipimpinNya dan pengakhiran kita adalah sebaik-baik pengakhiran
memang sangat kerdil diri ini..sedangkan ujian-ujian para Nabi amat hebat..mengharapkan belas dariNya..semoga semangat perjuangan terus mengalir dan subur dalam jiwa
Aku menulis, maka aku ada.
:) makasih Haniff.
Post a Comment