21 October 2015

Surat II


Surat bertarikh 30 Disember 2011.

Menyelak diri sendiri.

Just because.




______________________________________________________

Assalamualaikum kak. Apa khabarnya? 

Pertamanya, maaf mengganggu. Sekali lagi.
Cuma, err, rasa nak ceritakan ini pada akak.


Sekarang mendekati final exams. 2hb, 7hb, dan 12hb. Sedang dalam fasa bertungkus lumus belajar. Atau sejujurnya hari ini, memberi cuti untuk diri, setelah exam semalam.

Fasa exam. Jadinya, waktu tidur saya pula disesuaikan. Seusai maghrib, selalunya, dalam jam 6.30 malam saya sudah lena. Bangun terjaga nanti dalam jam 1 pagi. Kemudian, study. Ya, musim sejuk ini, agak selesa juga begini.

Belakangan ini, saya sering sahaja mimpi. Mimpinya aneh-aneh pula. Mimpikan guru-guru. Mimpikan cerita-cerita panjang. Dan peliknya, mimpi-mimpi itu 'berisi'. Seolah ada hikmah yang sangat signifikan. Macam menonton movie. 'Saya' dalam mimpi selalunya tidak memainkan peran aktif, tapi baris-baris kata, raut muka, saya ingat dengan jelas sekali selepas terjaga dari lena.

Mula-mula seronok juga. Penat-penat belajar, mahu lena, tahu akan menonton.
Tapi, setelah lebih seminggu, gila apa aku ini? Adakah otak terlalu aktif sehingga membentuk imej-imej sedemikian. Tapi kenapa tiada satu pun things 'medical'?

Wondering what's going inside my mind? haha. gelak tapi, entahlah, macam risau juga.

Berkenaan exam. Entahlah. Terfikir juga, tiadakah penilaian yang lebih baik selain exam ini? Dari darjah satu, kita menghadapi exams. Pemberian biasiswa berdasarkan exam. Penilaian masyarakat, kadang-kadang, berdasarkan exam. Sepertinya tidak dapat dielakkan.

Bagaimana ya exams ini dari sudut ekonomi kak? Tertanya siapa sebenarnya yang untung, siapa yang rugi? Bolehkah sebuah negara dibina dengan produk-produk exams ini? Bagaimana Nabi kita, Muhammad yang gagah anggun itu, memberikan ujian kepada sahabat-sahabatnya? 

Bila sembang dengan kawan-kawan, ramai juga yang sebenarnya tidaklah berminat mengambil medik. Tapi ya, sekali lagi, kerana keputusan SPM 'terlalu baik', ibu bapa, guru-guru menyarankan mengambil medik. Kerana mereka 'mampu' untuk lulus temuduga, mampu mendapat 'biasiswa'. Seolah satu tragedi.

Saya tidaklah kurang yakin, bahawa kerjaya ini memang mulia. Kerana orang-orang terdahulu yang berada dalam bidang ini sebelum ini. Dedikasi mereka merintis jalan. Menemukan penawar. Menyediakan hidup untuk merawat.

Namun, terfikir, dapatkah 'kami' merawat sekiranya 'kami' sendiri terluka.

Mungkin sebenarnya saya masih gagal. Gagal untuk bersyukur. Saya diberi peluang berkelana ke tanah barakah ini, ya, juga kerana exam. Lalu terbuka pelbagai peluang untuk saya membaiki diri. Bukan, bukan saya menyesal, tapi..masih tertanya-tanya. 

Lain dari itu, saya amat merindukan bau daun jambu. Keduanya; jambu batu, dan jambu air. Juga bau daun pelam hadapan rumah. Segar sekali. Lagi-lagi setelah hujan.


Sekian sahaja rungutan pelajar medik yang hampir gila menjelang exam. haha.
Terima kasih kerana membaca, kerana benar itulah tujuan saya menulis ini. 

=)

Moga akak baik-baik sahaja.
Assalamualaikum.

No comments: