Gambar rembat twitter
Ada sesuatu yang mengingatkan saya tentang Sinai minggu ini.
Saya ke Mesir solo, sejurus selepas tamat peperiksaan Internal Medicine tahun empat. Kebetulan Khamim mengikuti kursus bahasa di sana, saya fikir ini peluang baik bertemu adik-adik.
Entah hari ke berapa, kami ke Sinai. Sebelum subuh kami memulakan pendakian. Musim sejuk. Angin, debu padang pasir, bintang gemerlapan menjadi teman.
Setelah beberapa pit stop dan secawan teh hangat, kami tiba di puncak.
Pendaki-pendaki lain sudah ramai tiba. Saya kebetulan bertemu dengan sekumpulan rakyat Malaysia, dari Sabah. Keningau kalau tak silap. Kristian. Berbual serba sedikit. Macam biasa, jumpa 'orang kita' di 'tempat orang' akan buat kita bangga dan rasa sama tak semena-mena.
Maklum juga, Sinai adalah 'persinggahan agama' buat yang percaya kisah Nabi Musa. Ada gereja dan surau di puncak, bersebelahan.
Ada empat momen yang saya takkan lupa,
1. Dengar koir orang beberapa remaja Kristian spontan. Tentang kebangkitan, pengorbanan, ketuhanan Jesus. Lunak, harmoni, merdu nyanyian mereka. Saya tergamam sebab tak tau nak suka ke nak tak suka. Nak marah atau merasa indah. Antara persaudaraan manusia dan kebenaran agama.
2. Dengar orang Indonesia yang cakap perfectly Bahasa Melayu pegang tangan sama-sama, doa sampai sama-sama berderai air mata. Isi doa? Kepada Jesus untuk kesejahteraan Indonesia. Sekali lagi saya tak tau nak react. Saya sangat hargai ketulusan tu, pada masa yang sama saya tak boleh bayang dan tak rela anak cucu kemudian berdoa demikian. Maksud saya, orang Melayu Malaysia tapi Kristian.
Tentulah, bangsa tak mengikat agama. Bahkan ramai kawan Arab saya Kristian. Bukan isu. Cuma.
Teringat doa Nabi Ibrahim.
3. Lepas nampak benda-benda celaru tu, kami sembahyang Subuh berjemaah. Suhu super sejuk. Ada yang tayamum. Yang ambil wudhu jadi imam. Masa ni dapat tenang balik. Seolah dapat hargai betul-betul Islam yang kita 'dapat'. Padahal sangat mudah kalau kita nak lahir di mana-mana, dan 'terpaksa' mencari Islam dari kosong. Sekarang saya diberi Allah peluang berdiri menghadap Dia. Dalam indah-indah perasaan manusia yang saya lihat tadi, tetaplah ini yang paling indah.
4. Ramai-ramai sama-sama tunggu dan sambut matahari terbit. Semua teriak, 'aaaa, aaa, it's there, it's there, it's thereeee!!' Pastu semua orang tepuk. Cantik betul matahari naik masa tu. Paling cantik pernah saya saksikan seumur hidup.
Tuhan bersumpah dengan Turisiinin dalam Quran.
Manusia adalah istimewa.
Manusia boleh jadi paling hina.
Kecuali.
4 comments:
Terima kasih.
Kalau kamu tulis ini sejurus selepas pulang pasti lebih panjang :)
ramadan kareem (:
Kecuali
Kecuali
Post a Comment