12 December 2016

'Penganggur', ini ditulis lebih 9 bulan lepas. Sekian. =)



Membaca dan menulis menjadi lebih mudah begini, sebab saya tahu ia akan berakhir. Surat panggilan SPA sudah datang. Surat yang untuk sebahagiannya dinanti-nanti dan yang lainnya sebagai hukuman. 

Saya?

Saya begitu-begitu sahaja dalam menerima. Alhamdulillah. Dari satu segi, saya tahu akan hilang beberapa privilege. Contohnya, tidur selepas subuh hingga sepuluh pagi. Atau membaca novel hingga lewat malam. Atau menikmati masakan ibu setiap hari.

Tapi, pada masa yang sama, kedatangan surat ini bermakna saya sudah dapat menjawab pertanyaan jiran-jiran, saudara-mara, pakcik-pakcik surau dan kawan-kawan badminton tentang pekerjaan.

Soalan itu lazimnya bermula: Bila agaknya masuk kerja?,
kemudian maju menjadi: Belum masuk kerja lagi?, diiringi wajah simpati.
Perbualan itu selalunya ditutup, ‘Sabarlah. Adalah rezekinya tu.’
Saya hanya tersenyum.

Bukan apa, saya memahami kerisauan mereka. Refleksi pada zaman yang makin mencabar ini, graduan sukar mendapat pekerjaan. (Setiap zaman mencabar sebenarnya, dengan cara masing-masing.)

2016 diramal tahun tak menentu, ekonomi kuncup. Ditambah persilatan politik yang nampaknya tidak semakin bijak. Belum sampai kepada krisis, tapi semakin getir. Mungkin kerisauan itu berpanjang juga kepada anak-anak mereka, adakah juga disambut pengangguran selepas tamat belajar. Saya faham, saya rasa saya faham.

Lebih-lebih lagi, ini menandakan semangat ambil tahu masyarakat kampung. Ramai yang ditemui di depan bank, di pasar ikan, di sekolah, rata-ratanya mengenali ibu bapa saya, dan saya anaknya. Walaupun saya samar-samar atau kadang kala langsung tidak mengenali mereka.

Cuma ya, kadang menjengkelkan juga, apabila ditanya soalan yang sama, oleh orang yang sama setiap hari. Haha. Saya akan tersenyum, tetap tersenyum, tapi rasanya orang pun dapat membaca di hujung senyuman itu ada ketidakjujuran; senyum bermanis muka. Saya belum menguasai seni halus ‘berpura-pura’ atau sebenarnya seni menyesuaikan diri mengikut situasi.



Baik, apa yang saya lakukan dalam tempoh 7 bulan sebagai penganggur super sejati?
Jadi guru ganti. Subjek Sejarah dan Bahasa Melayu. (Mungkin kurang sejati di sini.)

Kembara 30 hari Asia Tenggara. Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam, Indonesia.
Membaca.
Teman nenek.
Main badminton.
Kerja-kerja rumah bila disuruh mak.
Jadi driver sepenuh masa, membawa keluarga ke mana-mana.

Bacaan Quran saya minimal. Buat seorang yang pernah bercita-cita menghafal Al Quran, tentu jumlah bacaan ini menjadi ejekan. Kecewa cikgu-cikgu saya. Teringat Salam, yang berkali-kali mengkhatamkan Quran dalam sebulan. Tiada kekuatan amal. Saya banyak berangan-angan.

Ya, itu sahaja. Sekarang saya mahu menulis.

Setelah enam tahun makan duit rakyat (biasiswa), saya selesa makan minum ditanggung mak abah. Biar sihat dan berkat. Oh, saya tahu diuntung makan duit rakyat. Saya mahu berkhidmat. Moga bersetujulah taufik Tuhan dengan hasrat ini.

Saya menikmati tempoh tujuh bulan pengangguran ini. Honeymoon. Terutamanya sekarang, bila saya sedar ia akan berakhir.

Saya terfikir, agaknya begitu hidup, dihargai bila tahu pengakhirannya, bila TAHU akan mati.
Saya terfikir, agaknya hidup lebih mudah kalau kita tahu bila mati. Contoh, ada paparan tarikh kematian di dahi masing-masing. Mungkin cara kematian terlalu mengganggu, jadi kita tinggalkannya sebagai misteri. 

Selain itu, jika tahu caranya, orang mungkin mencuba mengelak bertemu kematian atau datang ke tempat kejadian. Tapi, masa. Bukankah bagaimanapun masa akan tetap melanda kita? Tak terelakkan. Tak terhentikan.

Kebaikannya, kita boleh lebih bersedia merancang akhir hidup sendiri. Juga, kita akan lebih berlembut dengan orang yang bakal mati, walaupun mereka kelihatannya sihat-sihat sahaja. Saat menjelangnya, kita boleh menyiapkan semua urusan, hutang, dan warisan. Tinggal bertenang dan tunggu maut menyelesaikan. Mungkin manusia boleh lebih berbahagia.

Baik, bayangkan pula begini. Kita sekeluarga menjamu selera di meja makan. Ada nenek atuk, ibu ayah, anak-anak, dan cucu-cucu. Lengkap empat generasi. Boleh jadi mengerikan juga melihat paparan maut di dahi cucu jauh lebih awal dari atuk. Seolah hidup (dan mati) tidak adil.

Idea maut tidak diketahui ialah: Maut tak berbau, boleh menerpa bila-bila masa. Lalu kita perlu bersedia bila-bila masa. Bahawa hidup bukan milik kita, ia dikurnia. Saya teringat ayat pertama dan kedua Surah Al Mulk. Hidup dan mati. Ayyukum ahsanu ‘amala. Aduh.

Saya pun tidak tahu bagaimana boleh terlajak sampai ke sini.
Mula bekerja sebagai garis penamat pengangguran.
Maut sebagai garis penamat kehidupan.
Moga penamat ini membuka dunia baru yang lebih baik. Aamin.