Membaca dan menulis menjadi lebih mudah begini, sebab saya
tahu ia akan berakhir. Surat panggilan SPA sudah datang. Surat yang untuk
sebahagiannya dinanti-nanti dan yang lainnya sebagai hukuman.
Saya?
Saya begitu-begitu sahaja dalam menerima. Alhamdulillah.
Dari satu segi, saya tahu akan hilang beberapa privilege. Contohnya, tidur
selepas subuh hingga sepuluh pagi. Atau membaca novel hingga lewat malam. Atau
menikmati masakan ibu setiap hari.
Tapi, pada masa yang sama, kedatangan surat ini bermakna
saya sudah dapat menjawab pertanyaan jiran-jiran, saudara-mara, pakcik-pakcik
surau dan kawan-kawan badminton tentang pekerjaan.
Soalan itu lazimnya bermula: Bila agaknya masuk kerja?,
kemudian maju menjadi: Belum masuk kerja lagi?, diiringi
wajah simpati.
Perbualan itu selalunya ditutup, ‘Sabarlah. Adalah rezekinya
tu.’
Saya hanya tersenyum.
Bukan apa, saya memahami kerisauan mereka. Refleksi pada
zaman yang makin mencabar ini, graduan sukar mendapat pekerjaan. (Setiap zaman
mencabar sebenarnya, dengan cara masing-masing.)
2016 diramal tahun tak menentu, ekonomi kuncup. Ditambah
persilatan politik yang nampaknya tidak semakin bijak. Belum sampai kepada
krisis, tapi semakin getir. Mungkin kerisauan itu berpanjang juga kepada
anak-anak mereka, adakah juga disambut pengangguran selepas tamat belajar. Saya
faham, saya rasa saya faham.
Lebih-lebih lagi, ini menandakan semangat ambil tahu
masyarakat kampung. Ramai yang ditemui di depan bank, di pasar ikan, di
sekolah, rata-ratanya mengenali ibu bapa saya, dan saya anaknya. Walaupun saya
samar-samar atau kadang kala langsung tidak mengenali mereka.
Cuma ya, kadang menjengkelkan juga, apabila ditanya soalan
yang sama, oleh orang yang sama setiap hari. Haha. Saya akan tersenyum, tetap
tersenyum, tapi rasanya orang pun dapat membaca di hujung senyuman itu ada
ketidakjujuran; senyum bermanis muka. Saya belum menguasai seni halus
‘berpura-pura’ atau sebenarnya seni menyesuaikan diri mengikut situasi.
Baik, apa yang saya lakukan dalam tempoh 7 bulan sebagai
penganggur super sejati?
Jadi guru ganti. Subjek Sejarah dan Bahasa Melayu. (Mungkin
kurang sejati di sini.)
Kembara 30 hari Asia Tenggara. Thailand, Kemboja, Laos,
Vietnam, Indonesia.
Membaca.
Teman nenek.
Main badminton.
Kerja-kerja rumah bila disuruh mak.
Jadi driver sepenuh masa, membawa keluarga ke mana-mana.
Bacaan Quran saya minimal. Buat seorang yang pernah
bercita-cita menghafal Al Quran, tentu jumlah bacaan ini menjadi ejekan. Kecewa
cikgu-cikgu saya. Teringat Salam, yang berkali-kali mengkhatamkan Quran dalam
sebulan. Tiada kekuatan amal. Saya banyak berangan-angan.
Ya, itu sahaja. Sekarang saya mahu menulis.
Setelah enam tahun makan duit rakyat (biasiswa), saya selesa
makan minum ditanggung mak abah. Biar sihat dan berkat. Oh, saya tahu diuntung
makan duit rakyat. Saya mahu berkhidmat. Moga bersetujulah taufik Tuhan dengan
hasrat ini.
Saya menikmati tempoh tujuh bulan pengangguran ini.
Honeymoon. Terutamanya sekarang, bila saya sedar ia akan berakhir.
Saya terfikir, agaknya begitu hidup, dihargai bila tahu
pengakhirannya, bila TAHU akan mati.
Saya terfikir, agaknya hidup lebih mudah kalau kita tahu
bila mati. Contoh, ada paparan tarikh kematian di dahi masing-masing. Mungkin
cara kematian terlalu mengganggu, jadi kita tinggalkannya sebagai misteri.
Selain itu, jika tahu caranya, orang mungkin mencuba mengelak bertemu kematian
atau datang ke tempat kejadian. Tapi, masa. Bukankah bagaimanapun masa akan
tetap melanda kita? Tak terelakkan. Tak terhentikan.
Kebaikannya, kita boleh lebih bersedia merancang akhir hidup
sendiri. Juga, kita akan lebih berlembut dengan orang yang bakal mati, walaupun
mereka kelihatannya sihat-sihat sahaja. Saat menjelangnya, kita boleh
menyiapkan semua urusan, hutang, dan warisan. Tinggal bertenang dan tunggu maut
menyelesaikan. Mungkin manusia boleh lebih berbahagia.
Baik, bayangkan pula begini. Kita sekeluarga menjamu selera
di meja makan. Ada nenek atuk, ibu ayah, anak-anak, dan cucu-cucu. Lengkap
empat generasi. Boleh jadi mengerikan juga melihat paparan maut di dahi cucu
jauh lebih awal dari atuk. Seolah hidup (dan mati) tidak adil.
Idea maut tidak diketahui ialah: Maut tak berbau, boleh
menerpa bila-bila masa. Lalu kita perlu bersedia bila-bila masa. Bahawa hidup
bukan milik kita, ia dikurnia. Saya teringat ayat pertama dan kedua Surah Al
Mulk. Hidup dan mati. Ayyukum ahsanu ‘amala. Aduh.
Saya pun tidak tahu bagaimana boleh terlajak sampai ke sini.
Mula bekerja sebagai garis penamat pengangguran.
Maut sebagai garis penamat kehidupan.
Moga penamat ini membuka dunia baru yang lebih baik. Aamin.
No comments:
Post a Comment