25 May 2025

Nama Pertama untuk Duka

 Assalamualaikum.

Rupanya saya masih ingat password blog ini, setelah cubaan ketiga. Nyaris.



Kredit foto: Adib Zulkifli


Saya berharap ada antara puisi dalam buku ini yang diterima Tuhan. 
Moga hayatnya nanti lebih panjang daripada saya.

Mungkin dalam entri akan datang saya akan menceritakan sedikit proses penulisan buku ini. Atau mungkin tidak. Haha

Alhamdulillah.





05 September 2020

Barakallah

 melihat kau tersenyum memaut lengan

seolah ada beban selesai

kau telah menemukan

pelangi dan teja

yang memberi warna

pada langit putih. 

menemukan angin lembah

menyelisik sayap nuri

buat membubung dan melayah. 


aku tak menjanjikan apa-apa

kau tak pernah menuntut

setelah teduh dari kemungkinan

senyum itu adalah kemenangan

hadiah dari tabah dan tenang

meneliti hidup, 

manisnya lembut menyentuh

ke hujung jantung. 







12 November 2019

11 October 2019

Cadangan Buat BAYAN LINNAS 216

Artikel BAYAN LINNAS, 
oleh  Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,




Cadangan Buat BAYAN LINNAS 216


Assalamualaikum warahmatullah saya ucapkan buat Dato’ Seri Dr Zulkifli.
Salam Jumaat yang berkah.

Pertamanya saya amat berbesar hati membaca bingkisan Bayan linnas yang terbaru berkenaan kesihatan mental. Keprihatinan Dato’ Seri Dr, menyantuni isu ini amat tinggi nilainya dalam mengurangkan stigma dalam kalangan masyarakat terhadap penyakit mental. 

Pendekatan pelbagai aspek; biologi (ubatan), psikologi, sosial, dan spiritual amat diperlukan oleh pengidap penyakit mental untuk kembali pulih dan mengambil tempat dalam masyarakat. 

Namun, saya mohon keizinan Dato’ Seri Dr Zulkifli untuk berkongsi serba sedikit cadangan saya untuk siri Bayan linnas kali ini. 

Saya merasakan adalah tidak tepat untuk mengaitkan terlalu dekat bisikan syaitan dan skizophrenia. Dalam tulisan, disebutkan,

“Jika keraguan dan pertikaian itu berpunca daripada lintasan-lintasan di dalam hati atau bisikan-bisikan syaitan yang datang mengganggu (atau dalam istilah saintifiknya skizofrenia), maka ia tidaklah membatalkan iman, selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang.”

Saya yang daif ini berpendapat, dalam konteks ini, maksud yang mungkin ingin disampaikan Dato Seri Dr adalah seperti begini,

“Jika keraguan dan pertikaian itu berpunca daripada lintasan-lintasan di dalam hati atau bisikan-bisikan syaitan yang datang mengganggu, atau berpunca  daripada delusi atau halusinasi oleh pengidap skizofrenia, maka ia tidaklah membatalkan iman, selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang.”

Kerisauan saya adalah, masyarakat secara tidak sengaja mensinonimkan bisikan syaitan sebagai skizofrenia. 

Dengan menyebut ini, saya tidak sepenuhnya menafikan bahawa bisikan syaitan mungkin boleh menyebabkan seseorang mendengar suara ghaib. Namun, tidak semua suara ghaib yang didengari adalah bisikan syaitan.

Banyak faktor mempengaruhi tercetusnya penyakit skizofrenia, daripada faktor genetik (seperti sejarah keluarga, umur ayah yang lanjut ketika anak dikandung, penyakit autoimmune) dan faktor persekitaran (penyalahgunaan dadah terutama ketika muda, stress dalam kehidupan dan sebagainya)

Namun menurut kajian juga, apabila imbasan kepala (MRI dan CT scan) dilakukan kepada pengidap skizofrenia, didapati bahawa mereka mengalami perubahan fizikal struktur otak. Contohnya pengurangan white matter-grey matter, pengurangan saiz temporal lobe, dan peningkatan saiz ventricle. 




Dalam hal ini, pengidap skizofrenia mempunyai sisi persamaan dengan pengidap nyanyuk (dementia) yang antara lain boleh disebabkan pengecutan cerebral, atau pasca pendarahan dalam kepala. Walaupun pengidap nyanyuk pada tahap tertentu ada yang mendengar suara ghaib, kita secara umumnya tidak menyebut bahawa penyakit nyanyuk disebabkan oleh bisikan syaitan. 

Dato Seri Dr yang amat saya segani,
Tujuan saya menulis ini kerana mengenangkan pengidap-pengidap skizofrenia yang tiba lewat ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ada yang berpuluh tahun menderita sebelum berjumpa doktor. 

Antara puncanya ialah, keluarga hanya percaya masalah berpunca daripada bisikan syaitan dan menyerahkan rawatan hanya kepada perawat tradisional. Pesakit datang kepada kami apabila keadaan sudah tidak terkawal, kemungkinan perubahan struktur otak yang sudah teruk akibat skizofrenia. Pesakit seperti ini tetap boleh dirawat di hospital, namun kemungkinan untuk kembali ke fungsi asal semakin tipis. 

Saya ingin menyatakan saya bukanlah rujukan autoriti dalam bidang psikiatri memandangkan baru setahun berkecimpung dalam bidang ini. Saya mencadangkan untuk merujuk Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom atau Dr Zul Azlin Razali, Pensyarah Kanan Psikiatri USIM untuk pertanyaan dan klarifikasi lanjut. Mereka mempunyai pengalaman luas dalam psikiatri, dan berjuang untuk mengharmonikan peranan Islam dalam psikiatri. 

Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Dato Seri Dr Zulkifli atas perhatian yang dicurahkan untuk isu ini. Moga Allah jua yang membalasnya sebaik ganjaran. Saya memohon ampun dan maaf atas keterlanjuran kata, dan bahasa yang tidak molek diungkap. 

Saya secara peribadi ingin sekali mengambil kesempatan memohon Dato Seri Dr mendoakan agar Allah mengampuni dosa-dosa saya dan merahmati keluarga saya, menumbuhkan dalam hati kami kecintaan kepada ulama dan orang soleh, dan agar Allah memberikan kesembuhan kepada pesakit-pesakit kami. 

Assalamualaikum warahmatullah.


Haniff Zikri


07 September 2019

2019, angka yang dulu pernah jauh

Debar semasa mula menaip 'sign in blogger'. Saya tak tahu masihkah saya mengingati email, dan kata laluan blog ini. Setelah 2 tahun.

Rupanya masih. Alhamdulillah, setelah 2 cubaan.

Apa khabar?
Kenangan-kenangan.
Harapan.

Selamat ulang tahun, blogku sayang. 10 tahun kita membesar bersama, belajar mendewasa, membaca sisi-sisi luka, menemukan cinta tanpa sengaja.

berdepan kelip lampu dari seberang
kau mimpiku, dulu dan sekarang.

Bismillah. Saya mahu bermula semula.
Atau sekurangnya, begitu yang terasa malam ini.



29 December 2017

Kopi jam satu pagi

Esok oncall. Hari ini cuti. Terdengar bunyi titisan air dari bilik mandi, saya tidak menutup pili dengan ketat. Lambat-lambat, saya bangun dari katil dan menutupnya. Tiada lagi terdengar, ia harus menunggu untuk menitis lagi. Puas.

Saya kembali ke katil. Oh, sekarang jam satu pagi, saya masih berjaga. Mengantuk sipi-sipi. Sambil menunggu perlawanan Chong Wei vs Shon Wan Ho dimuat naik ke Youtube. Sambil cuba-cuba study.

Di luar kamar, hidup menitis lagi tidak berhenti. Ada pesakit-pesakit datang ke hospital, mengadukan luka, patah-patah, sakit kepala, sesak dada, jalan terbuka, cirit birit, muntah loya, dan anak yang menangis. Yang sakit mencari penawar, yang sunyi mencari telinga mendengar. Yang malas mencari MC.

Saya menghirup kopi. Radix. Rasa biasa. Yang saya suka, baunya. Deria bau misteri. Setiap hirupan kopi membawa aroma sekali ke rongga, membuat saya terkenang bau yang sama ketika mengulangkaji di Jordan. Malam-malam mengaji Patologi, Organic Chemistry, Gastrointestinal System. Malam-malam akhir tahun enam prngajian. Malam panjang musim sejuk, dengan selimut tebal yang hangat. Satu bau yang menangkap seluruh memori lalu menghidangkannya kepada saya untuk dicicip. Malam ini akan menjadi mangsanya.

Oh ya, saya sudah berkahwin. Tidak sangka. Tuhan mengenalkan saya seorang perempuan baik, cantik, dan mempersona. Sederhana. Saya memilihnya, dan diterima. Ya, cinta kami masih muda. Masih pucuk segar yang belum dicabar. Saya mohon Tuhan terus memberikan cahaya, dan teduhan kasih sayangNya.

Saya mencintai malam sebegini.
Bayu dari tingkap mengelus langsir.
Saya dan malam terus berbagi secawan kopi.

17/12/2017

30 August 2017

Nama

Mengapa kita memberi nama kepada sesuatu?
Untuk mengiktirafnya wujud?
Untuk mengelaskan, membezakan.

Apakah nama kita yang sebenarnya?
Adakah Tuhan mengenal kita dengan nama?
Atau no siri? Bar code?

Nama menentukan darjat.
Darjat menentukan nama.

Nama apa mahu kita tinggalkan untuk dunia?
Tanggalkan?

Adakah kita akan mengetahui nama sebenar kita di akhirat nanti?

Haha.
Mengapa saya bertanya.

Entah