10 November 2012

Hujung II

Petang akhir dari seminggu yang rupanya boleh jadi begitu panjang dan bermakna, engkau mencuri masa selepas (hampir) selesai packing barang dibawa pulang untuk ke laut. (literally speaking. heh)

Ah, kali ini surut lagi. Engkau belum cukup arif untuk mengenal jadual laut, pasang surut pagi petangnya.Engkau juga jarang menunggu lama untuk mengetahui adakah laut baru sahaja surut, baru sahaja pasang, dan sebagainya.

Engkau menuju ke port kegemaran. Pokok kecil yang dihalang pertemuannya (dan dijamin kehidupannya) dengan laut hanya oleh batu pemecah ombak sepanjang 5 meter. Seperti biasa engkau duduk.

Pasir masih putih.
Tapak bangau masih segar, cuma pemiliknya tidak kelihatan.
Camar masih berterbangan.
Angin masin belum selesai bertiup.

Engkau mengambil ranting kayu, menconteng-conteng kata-kata di atas pasir.

Engkau menghela puas-puas udara masin bergaul lumpur yang khas itu.

Engkau merenung horizon laut, memerhatikan kapal-kapal yang kelihatan kecil nun di hujung.

Engkau duduk, termenung dan tersenyum.

Engkau perasan, di sebelah kiri, 'setongkol' nipah hanyut dibawa laut terdampar bersama lumpur-lumpur hampir di tebing. Mungkin sekali dari muara, bisikmu.

Fikiranmu selepasnya hanya tertumpu pada nipah itu.
Dan kau menggumam,

" Ia menyangka dirinya besar dan gagah.




Hanya sebelum ia menemukan yang lebih besar dan gagah."



Lalu ke negeri jauh itu, engkaupun berangkat pulang.





No comments: