22 April 2013

Makna yang Berlaku



Hujan deras dan sungai jadi lebih berani
jalan becak buat langkah tambah berat
di bawah teduh, kami berbincang
tentang lemah-lemahnya lelaki perempuan.

yang salah harus dibetul
yang betul harus dirai
yang dirai, dengan ayam dan ikan!

di luar teduh
berkilau kuyup daun pisang,
keldai dan lembu kesejukan
alam resah dan gembira
pada masa sama.

Kami belajar,
dari sekecil perkara
berkah adalah
sesuatu yang bertambah.

lainnya, seperti
lekat lecak pada tapak
yang dikesat di bucu batu;
tinggallah sebagai tanda
perjalanan harus ringan.

Kami belajar,
sesuatu yang perlu
sesuatu yang berlalu
darinya ada makna yang ada
tetapi tidak berlaku.

_________________________

Mafraq-Irbid
hari-hari sekian





13 April 2013

'duduk-duduk merenung awan'


Menulis rupanya tak semudah yang pernah saya rasakan. Hidup dalam ketergesaan, menuju matlamat adalah hidup yang tidak menyisakan banyak ruang dan masa untuk bermewah dengan kenangan. Ambil pilih yang penting-penting buat pengajaran, selebihnya harus dilambai seperti setelah melepaskan wau cantik ke langit.

Tapi itulah. Buat saya misalnya, yang sudah terbiasa bergelumang kenangan, sukar sekali untuk unlearn, untuk unwind. Untuk move on selepas menentukan mana bekal dan mana beban.

Setelah (seolahnya merasa) berjaya, saya sedari hidup berbeza.
Ada cerah cahaya setelah langsir diselak, ada segar udara setelah tingkap dibuka.
Ada lorong-lorong masa dalam hidup sehari-hari baru ditemui, minta diisi.

Hidup memang indah, yang bertuah yang merasa, namun tidaklah tercipta hidup semata kerana keindahan. Sekurangnya tidak dengan 'keindahan' yang kita maknakan. Hidup adalah jalan juang. Jalan kesilapan.
Jalan jatuh dan bangun. Jalan keinginan. Jalan yang kita warisi dan akan kita wariskan.

II

Untuk menggerakkan zaman, hidup memerlukan keputusan-keputusan orang muda.
Terangkum dalamnya ke-betul-lan dan ke-salah-han.  Setelah ia dewasa, menjalani dunia dan menjadi tua, ia akan mengajar orang muda darihal silap-silapnya. Bukan ia terlalu lewat, cuma selalunya terlalu awal buat orang muda untuk faham.

Saya masih muda, begitu fikir saya. Di hadapan, dunia terbentang untuk cuba difahamkan.
Terbentang untuk menerima keputusan dan kesilapan-kesilapan.
Terbentang untuk mengajar membetulkan.

Saya akan melangkah. Saya tidak tahu sampai bila saya akan terus melangkah.
Dan pastinya, esok saya akan menolah ke belakang.
Saya tahu, saya tidak perlu pasti bagaimana pandangan itu nantinya;

penyesalan atau kelegaan.

03 April 2013

bukan untuk hari mengundi


Sahabat, ingin sekali aku tanyakan.
bagaimana ya, kau mengatasi ketakutan
kepada perkara yang tidak mungkin
diputar-semula-ke-belakang?

Membaca riakmu, aku tahu benar kau takut.
lalu, dari mana kau beroleh kekuatan untuk meneruskan?

Hidup adalah pilihan.
setelah kau dipilih
dan memilih untuk terus hidup
kau memilih untuk memilih.

Tatkala perkara yang tidak mungkin
diputar-semula-ke-belakang
menjadi perkara yang tidak mungkin
dihenti-jalannya-ke-depan;
Ketakutan adalah bekal
buat dikendong di belakang.
Hadapan kau suluh
dengan ilmu dan harapan!




_______________________

Again, April. Here you come.
Aku ingin membencimu dengan sederhana.
Aku ingin.