26 February 2014

sri aman

Senja dan Kata-kata Biasa

Awan membentuk berat-memberat
batik langit larat-melarat
dalam hati berakar berurat
alamat kerat sudah tersurat.

Siapa bertanya siapa meminta
siapa menduga siapa meronta.

Teja menjadi teja
setelah senja muram cahaya
raja menjadi raja
setelah rakyat memadam murka
perkara menjadi perkara
setelah tiada dendam terima.

Yang binasa biar binasa
yang tumbuh biar melata.


Sri Aman,
September 2013


----------------------------

Sri Aman ni kata Pakde Marais, asal namanya Simanggang.
Diberi nama baru sebab kat sinilah komunis menyerah kalah.

Penat saya google nak cari kesahihan, nak tahu tarikh tepat, dan kronologi peristiwa, tak bertemu sudahnya.

Selam punya selam, jumpa kata-kata,
"Menang tulis sejarah, kalah tulis puisi."

Haha dalam hati.

Selalunya dalam satu puisi, akan ada satu frasa atau rangkai kata yang dirasakan istimewa buat penulis. Dan selalu juga, seluruh puisi terbit awalnya daripada kata-kata tersebut. Untuk yang ini, saya pada mulanya menemui kata 'batik langit', semasa melalui lebuh raya dalam perjalanan ke Kuching.

Sebelah kiri banjaran gunung, dan awan bersemayam di atasnya, batasnya jelas diukir cahaya. Hampir sepanjang jalan, sepanjang petang. Seumur hidup itulah awan paling cantik.

Seumur hidup itulah, tuan.

22 February 2014

Jalan Lurus

           Dalam kembara Eropah yang lepas, kami paling lama menetap di Amsterdam, ibu negara Belanda. Empat malam empat hari kalau tidak silap. Amsterdam, kota yang likat. Selama berabad-abad samudra menghantarnya kepada dunia, dan kami hadir hanya sebagai tetamu.

Malam pertama di sana, hujan. Luqman (dengan comelnya) terpaksa membeli baju hujan 2 euro.
Kami jalan-jalan di jalan yang terkenal itulah. Emosi berbaur. Emosi paling berbaur.

Haha. Dah tak tau nak tulis apa, tapi macam tu lah.


________________________________________



Jalan Lurus

Ke penjuru mana lagi kau harus sembunyi?
kabut dengan dusta adalah dirimu, bukan dunia
seru sebalik bayu memanggil namamu, lunaskan!
kata-kata adalah topeng dan wajahmu, lunaskan!

Di atas bulan sedang separuh penuh
mengapa tak relakan saja jiwamu lepas
meneguk cahaya puas-puas. Tak luakpun dunia
menanggung derhaka itu, tak luakpun jiwamu
memohon ampun yang baru.

Sudah. Jalan dan terus jalan.
Nanti kita sama-sama lihat hasilnya
di hujung dunia. Nanti kita sama-sama lihat,
siapa Tuhan sebenarnya.
Dunia memang tempat mencari jalan
mencintai-Nya sebelumnya.

Sudah. Jalan dan terus jalan.
Tuhan tidak zalim.
Tuhan tidak pernah zalim.
Tinggal kita untuk meminta.

_________________________________


18 February 2014

Keluarga Gerilya



Antara ni'mat paling ni'mat ialah menemui buku-buku bacaan mak abah dulukala, yang telah digariscontengnotakan. Dengan pensel, dakwat merah dan biru. Kertas-kertasnya beransur kusam kuning, dalam jalannya mengenal waktu.

Membacanya, menambah garis-conteng-nota yang sedia ada.
Membayang menyerahkannya satu hari nanti buat anak sendiri,
" Nah, untukmu anakku. Keluargamu keluarga membaca."

semesta manusia bertanya



Bagaimana sampai begini luasnya semesta
ruang-ruang diisi keajaiban, kosong-kosong diisi kejadian
kami manusia lahir tiba-tiba terdampar dalam kekaguman.
Bumi membawa tubuhnya; kami tak punya pilihan
bersama setia menjinjing bulan, memandang mentari dalam kitaran.

Gelap terang terbit terbenam, sorak siang saksi malam
bertumpuk tanya semakin dalam, perihal Tuhan rahsia alam.
Siapa apa dan dari mana, siapa mana dan dari apa
mana apa dan dari siapa, lintas hanya atau benar ada.
Jaga lena suka derita, sekerdip tiba sekerdip sirna
celik kami di mana nanti, celik nanti di mana kami?

Semesta menari dalam tarinya
Semesta tertawa dalam tawanya
Semesta sujud dalam sujudnya
Pujian segala buat Tuhannya
hanya Tuhannya.

Tuhannya mencipta manusia
dan memberinya tanya.


Petang-petang Obs Gyne
16. 2. 2014