Mak haritu minta tulis satu puisi tentang Gaza.
Ada program di sekolah Mak.
Dan sebagai 'pemuisi rasmi' sekolah sejak zaman hong wilaheng, mak diminta menulis satu sajak.
Mak pas pada saya.
Sebab tak tahu nak beri alasan apa untuk menolak, saya jawab, ya.
Tak fikir panjang pun.
Lagipun, menghadap nota OnG dan round di Badi'ah ni boleh tahan bosan juga.
Saya lena lepas subuh hari itu. Janji dengan mak nak beri tulisan penuh pagi tu.
Bangun-bangun matahari sudah tinggi. Kelas sudah assalamualaikum.
Ah, sudah.
Bangun mamai-mamai capai pen dan kertas.
Tulislah apa yang terlintas.
Orang pun tahu, tulis tanpa penuh rasa ni susah.
Tapi, sebab aku tak mahu tambah mungkir janji, selesaikan juga lah.
Siap saja, bungkus, hantar ke e mail hanis.
Lepas tu telefon mak, cakap dah hantar.
Serah pasrah jela hasilnya.
Hari program.
Cikgu Saba deklamasi/baca sajak ni.
Pertama kali buat beliau.
Mak kata semua orang sayu.
Ramai yang menangis.
Tentulah saya pun tahu bukanlah sebab tulisan saya.
Sebab intonasi cikgu.
Sebab Gaza adalah Gaza.
Sebab kita masih manusia.
Tapi sekurangnya saya rasa senang.
Seolah saya menyumbang sesuatu.
Dari jauh, ada tulisan menyampaikan, menyambung.
Saya memikirkan tulisan-tulisan saya, yang semalam dan akan datang.
Ke mana hala tujunya?
Oh, saya tetap akan memilih untuk menulis memuaskan diri sendiri.
Tapi, rupanya, ada kepuasan lain juga.
Yang akhirnya juga memuaskan diri.
Dan Gaza sendiri.
Sejauhmana Gaza berdiri dalam diri saya, seperti ia berdiri dalam tulisan saya?
Bagimana akan tercapai yang kedua tanpa yang pertama?
Entah, saya tidak tahu.
Ikhlas dan murnikah?
Gelak.
Siapa mampu menentukan itu?
Beberapa perkara betul tidak membentuk kebenaran, orang tahu itu.
Mungkin kerana itu manusia mencipta fantasi.
Mencipta yang 'tidak-betul' agar tidak terbeban dengan kebenaran.
Dengan fantasi manusia mampu berinteraksi dengan sekalian yang salah-salah,
untuk berkongsi apa yang ia faham tentang kebenaran.
Dan ia tak mahu dihakimi dengan neraca benar.
Ia hanya mahu menyampaikan.