17 October 2014

gugus dari surat lama

Bagaimana mungkin air mata tidak mengalir di hadapan maqam Nabi kita itu. Sedang tahu Nabi tahu kita hadir di situ. Malu, terharu, kasih. Hiba sekali saat berpisah meninggalkan bandar Nabi itu. Entah bila dapat bertemu lagi. Akankah Nabi memalingkan wajahnya dari saya atau memandang penuh rindu di padang mahsyar nanti...

Berbicara mengenai sahabat, saya rasa, kita akan serasi dengan mereka yang punya minat dan pemikiran dan yang agak-agak sama dengan kita. Dan pastinya Allah swt yang menyatukan hati-hati kalian, kalau paksinya Allah swt, insyaAllah Allah swt akan menyatukan. 

Tentang sahabat, menemukan seorang pun bagi saya seperti menemukan permata yang amat berharga. Sahabat mungkin memandang dari kejauhan saat kita senang,  namun sahabat takkan melepas membiarkan waktu kita susah. 

Cuma, saya juga terfikir untuk refleksi diri. Tentang pilihan dari 'kebebasan'. Teringat juga berjumpa lelaki sebegini. Dia menegur saya dan kami berbual selepas waktu Asar di Masjidilharam. Dia menyebutkan betapa bahawa di padang mahsyar nanti antara golongan yang mendapat naungan arash Allah ialah mereka yang  bertemu dan berpisah hanya kerana-Nya. Atau sudahkah saya ceritakan? Pelupa amat saya ini.

Tapi, jujurnya ada juga kisah sedih yang saya rasakan di sana. Malam 27, dan Syeikh Sudays membaca doa panjang semasa witir setelah tarawikh. Serasa seolah Masjidilharam basah dengan tangisan. Usai berdoa panjang, jemaah beredar pulang. Bersesak-sesak keluar. Dan saya tergamam mendengar ada yang bergaduh memaki hamun bertolakan semasa keluar. Terhiris hati saya. Tak tahu bagaimana mahu memandang, menafsir apa yang saya lihat itu.

Bintang. Cahaya. Saya pula, kagum dan puzzled dengan cahaya. Sering rasanya mahu memeluk cahaya. Sering memikir-mikir apa bezanya cahaya pagi menyambut hari dan cahaya senja yang membuka pintu untuk malam. Rasanya lain. Asyik. Terfikir jua ke mana perginya 'cahaya semalam' yang telah jutaan tahun menerangi dunia. 'Cahaya esok' yang entah bagaimana tibanya. Juga adakah kita masih sebahagian dari cahaya esok.




II


Benar sekali! X membuatkan saya berfikir perkara yang tidak pernah sama sekali saya fikirkan selama ini. Kemana cahaya 'semalam' pergi? Aduh. Membias ke mana? Atau terus lansung menuju ke tempat lain? Sedangkan kita tahu bahawa cahaya bergerak dengan kelajuan yang amat-amat pantas. Tapi saya pernah dengar, bahawa doa kita jua berjalan lebih pantas lagi menuju ke Arasy (atau ke mana jua, entah saya kurang pasti). SubhanAllah. Maha Suci Allah.

Bagi saya, saya lebih senang dengan rona-rona petang. Ada satu petang (yang lebih hampir ke maghrib), kami ke Kubah Hijau Maqam Nabi untuk menziarahi Habibullah. Satu perasaan yang tidak dapat saya gambar kan, dengan cuaca yang amat dingin, mentari merah yang kelelahan, orang ramai yang berteleku membaca doa dan salam pada baginda, sekali lagi, empangan air mata ini pecah. 

InsyALLAH, insyaAllah baginda akan mengenali kita.



__________________________

Dari draf lama. Entah mana hujung pangkal.

Tahun-tahun telah sudah, tapi aku masih tertanya-tanya pada cahaya.


6 comments:

Anonymous said...

Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(24:35)

zikri said...

Darjah lima dulu Cikgu Alimah akan meminta kami ramai-ramai baca ayat ni sebelum mula kelas.

Tagline beliau, 'kalau tak percaya, cubalah!'

Cikgu mengajar Bahasa Melayu dan Sains, jadi selalu lah kami mengulang ayat ini. Seronok. Kadang malas-malas, biarkan je ayat bergumam di bibir.

Sekarang bila ingat balik zaman kecik-kecik, banyak sebenarnya rutin mak bapak dan cikgu ajar yang sangat baik, boleh mengubah hidup bila dimaknakan.

Moga tak lewat untuk itu.

Saefullah said...

eh mana pergi latest post? i really liked it haha

tepianmuara said...

gila sempat baca. haha. nantilah lepas exam, ter tekan tadi.

Anonymous said...

Kadang datang sini bukannya faham pun apa yang ditulis. Cuma setiap kali datang mesti tengah kusut dengan dunia sendiri.

Blog ni dah macam persinggahan tuk leraikan kekusutan pula. Mungkin sebab tak faham tu lah yang suka datang sini.

Sebab jadi sedar, bukan semua pun orang faham kita.

Haha.

tepianmuara said...

Terima kasih sudi singgah dan meninggalkan buah tangan ni.

Yup2, bukan semua orang faham kita, sedang kita pun kadang tak faham diri sendiri.

Harap sudi jugak singgah walau bukan tengah kusut. Haha