12 December 2016

'Penganggur', ini ditulis lebih 9 bulan lepas. Sekian. =)



Membaca dan menulis menjadi lebih mudah begini, sebab saya tahu ia akan berakhir. Surat panggilan SPA sudah datang. Surat yang untuk sebahagiannya dinanti-nanti dan yang lainnya sebagai hukuman. 

Saya?

Saya begitu-begitu sahaja dalam menerima. Alhamdulillah. Dari satu segi, saya tahu akan hilang beberapa privilege. Contohnya, tidur selepas subuh hingga sepuluh pagi. Atau membaca novel hingga lewat malam. Atau menikmati masakan ibu setiap hari.

Tapi, pada masa yang sama, kedatangan surat ini bermakna saya sudah dapat menjawab pertanyaan jiran-jiran, saudara-mara, pakcik-pakcik surau dan kawan-kawan badminton tentang pekerjaan.

Soalan itu lazimnya bermula: Bila agaknya masuk kerja?,
kemudian maju menjadi: Belum masuk kerja lagi?, diiringi wajah simpati.
Perbualan itu selalunya ditutup, ‘Sabarlah. Adalah rezekinya tu.’
Saya hanya tersenyum.

Bukan apa, saya memahami kerisauan mereka. Refleksi pada zaman yang makin mencabar ini, graduan sukar mendapat pekerjaan. (Setiap zaman mencabar sebenarnya, dengan cara masing-masing.)

2016 diramal tahun tak menentu, ekonomi kuncup. Ditambah persilatan politik yang nampaknya tidak semakin bijak. Belum sampai kepada krisis, tapi semakin getir. Mungkin kerisauan itu berpanjang juga kepada anak-anak mereka, adakah juga disambut pengangguran selepas tamat belajar. Saya faham, saya rasa saya faham.

Lebih-lebih lagi, ini menandakan semangat ambil tahu masyarakat kampung. Ramai yang ditemui di depan bank, di pasar ikan, di sekolah, rata-ratanya mengenali ibu bapa saya, dan saya anaknya. Walaupun saya samar-samar atau kadang kala langsung tidak mengenali mereka.

Cuma ya, kadang menjengkelkan juga, apabila ditanya soalan yang sama, oleh orang yang sama setiap hari. Haha. Saya akan tersenyum, tetap tersenyum, tapi rasanya orang pun dapat membaca di hujung senyuman itu ada ketidakjujuran; senyum bermanis muka. Saya belum menguasai seni halus ‘berpura-pura’ atau sebenarnya seni menyesuaikan diri mengikut situasi.



Baik, apa yang saya lakukan dalam tempoh 7 bulan sebagai penganggur super sejati?
Jadi guru ganti. Subjek Sejarah dan Bahasa Melayu. (Mungkin kurang sejati di sini.)

Kembara 30 hari Asia Tenggara. Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam, Indonesia.
Membaca.
Teman nenek.
Main badminton.
Kerja-kerja rumah bila disuruh mak.
Jadi driver sepenuh masa, membawa keluarga ke mana-mana.

Bacaan Quran saya minimal. Buat seorang yang pernah bercita-cita menghafal Al Quran, tentu jumlah bacaan ini menjadi ejekan. Kecewa cikgu-cikgu saya. Teringat Salam, yang berkali-kali mengkhatamkan Quran dalam sebulan. Tiada kekuatan amal. Saya banyak berangan-angan.

Ya, itu sahaja. Sekarang saya mahu menulis.

Setelah enam tahun makan duit rakyat (biasiswa), saya selesa makan minum ditanggung mak abah. Biar sihat dan berkat. Oh, saya tahu diuntung makan duit rakyat. Saya mahu berkhidmat. Moga bersetujulah taufik Tuhan dengan hasrat ini.

Saya menikmati tempoh tujuh bulan pengangguran ini. Honeymoon. Terutamanya sekarang, bila saya sedar ia akan berakhir.

Saya terfikir, agaknya begitu hidup, dihargai bila tahu pengakhirannya, bila TAHU akan mati.
Saya terfikir, agaknya hidup lebih mudah kalau kita tahu bila mati. Contoh, ada paparan tarikh kematian di dahi masing-masing. Mungkin cara kematian terlalu mengganggu, jadi kita tinggalkannya sebagai misteri. 

Selain itu, jika tahu caranya, orang mungkin mencuba mengelak bertemu kematian atau datang ke tempat kejadian. Tapi, masa. Bukankah bagaimanapun masa akan tetap melanda kita? Tak terelakkan. Tak terhentikan.

Kebaikannya, kita boleh lebih bersedia merancang akhir hidup sendiri. Juga, kita akan lebih berlembut dengan orang yang bakal mati, walaupun mereka kelihatannya sihat-sihat sahaja. Saat menjelangnya, kita boleh menyiapkan semua urusan, hutang, dan warisan. Tinggal bertenang dan tunggu maut menyelesaikan. Mungkin manusia boleh lebih berbahagia.

Baik, bayangkan pula begini. Kita sekeluarga menjamu selera di meja makan. Ada nenek atuk, ibu ayah, anak-anak, dan cucu-cucu. Lengkap empat generasi. Boleh jadi mengerikan juga melihat paparan maut di dahi cucu jauh lebih awal dari atuk. Seolah hidup (dan mati) tidak adil.

Idea maut tidak diketahui ialah: Maut tak berbau, boleh menerpa bila-bila masa. Lalu kita perlu bersedia bila-bila masa. Bahawa hidup bukan milik kita, ia dikurnia. Saya teringat ayat pertama dan kedua Surah Al Mulk. Hidup dan mati. Ayyukum ahsanu ‘amala. Aduh.

Saya pun tidak tahu bagaimana boleh terlajak sampai ke sini.
Mula bekerja sebagai garis penamat pengangguran.
Maut sebagai garis penamat kehidupan.
Moga penamat ini membuka dunia baru yang lebih baik. Aamin.










08 July 2016

Perempuan menyebelahi cinta
Cinta tak selalu menyebelahi perempuan.

05 June 2016

Sinai


                     Gambar rembat twitter

Ada sesuatu yang mengingatkan saya tentang Sinai minggu ini.

Saya ke Mesir solo, sejurus selepas tamat peperiksaan Internal Medicine tahun empat. Kebetulan Khamim mengikuti kursus bahasa di sana, saya fikir ini peluang baik bertemu adik-adik.

Entah hari ke berapa, kami ke Sinai. Sebelum subuh kami memulakan pendakian. Musim sejuk. Angin, debu padang pasir, bintang gemerlapan menjadi teman.

Setelah beberapa pit stop dan secawan teh hangat, kami tiba di puncak.

Pendaki-pendaki lain sudah ramai tiba. Saya kebetulan bertemu dengan sekumpulan rakyat Malaysia, dari Sabah. Keningau kalau tak silap. Kristian. Berbual serba sedikit. Macam biasa, jumpa 'orang kita' di 'tempat orang' akan buat kita bangga dan rasa sama tak semena-mena.

Maklum juga, Sinai adalah 'persinggahan agama' buat yang percaya kisah Nabi Musa. Ada gereja dan surau di puncak, bersebelahan.

Ada empat momen yang saya takkan lupa,

1. Dengar koir orang beberapa remaja Kristian spontan. Tentang kebangkitan, pengorbanan, ketuhanan Jesus. Lunak, harmoni, merdu nyanyian mereka. Saya tergamam sebab tak tau nak suka ke nak tak suka. Nak marah atau merasa indah. Antara persaudaraan manusia dan kebenaran agama.

2. Dengar orang Indonesia yang cakap perfectly Bahasa Melayu pegang tangan sama-sama, doa sampai sama-sama berderai air mata. Isi doa? Kepada Jesus untuk kesejahteraan Indonesia. Sekali lagi saya tak tau nak react. Saya sangat hargai ketulusan tu, pada masa yang sama saya tak boleh bayang dan tak rela anak cucu kemudian berdoa demikian. Maksud saya, orang Melayu Malaysia tapi Kristian.

Tentulah, bangsa tak mengikat agama. Bahkan ramai kawan Arab saya Kristian. Bukan isu. Cuma.

Teringat doa Nabi Ibrahim.

3. Lepas nampak benda-benda celaru tu, kami sembahyang Subuh berjemaah. Suhu super sejuk. Ada yang tayamum. Yang ambil wudhu jadi imam. Masa ni dapat tenang balik. Seolah dapat hargai betul-betul Islam yang kita 'dapat'. Padahal sangat mudah kalau kita nak lahir di mana-mana, dan 'terpaksa' mencari Islam dari kosong. Sekarang saya diberi Allah peluang berdiri menghadap Dia. Dalam indah-indah perasaan manusia yang saya lihat tadi, tetaplah ini yang paling indah.

4. Ramai-ramai sama-sama tunggu dan sambut matahari terbit. Semua teriak, 'aaaa, aaa, it's there, it's there, it's thereeee!!' Pastu semua orang tepuk. Cantik betul matahari naik masa tu. Paling cantik pernah saya saksikan seumur hidup.


Tuhan bersumpah dengan Turisiinin dalam Quran. 

Manusia adalah istimewa.
Manusia boleh jadi paling hina. 
Kecuali.



11 May 2016

Min

Penyair kecewa menulis sajak kecewa.
Aku pasti mereka belum mengenalmu, Min.

Kau bukan suatu lagenda bayu membelai daunan gugur, atau cahaya lembut menghangat secawan kopi. Kau adalah suatu keyakinan di depan raksasa hidup.

Sesuatu yang tahu mengapa muara dicipta, mengapa hujan turun sebagai titis, mengapa pelangi berjalur tujuh, mengapa senja berwarna jingga.

Jua tahu mengapa tumbuh derita.

Sesuatu yang meneduh dendam dan mendampingi rahsia. Sesuatu yang mendengar impian manusia dan tidak tertawa.

Penyair kecewa terus menulis sajak kecewa. Aku pasti mereka belum mengenalmu, Min.

Atau sebenarnya telah. Lalu berpisah.


31 March 2016

Syria



Asalnya teringat Kak Nur dan permintaannya untuk saya menceritakan tentang Syria.
( Oh, siapa akak pun saya tak tahu. haha. Takpe, orang Perak. Baik-baik semua )
Sebenarnya, juga tidak tahu mahu mula bagaimana.

Pertama saya ke Syria ketika dalam perjalanan ke Turki. Merentas seluruh Syria menaiki bas. Singgah hanya berhenti rehat. Terlalu singkat. Tak sempat bertemu sudah berpisah. Ketika itu, imej Syria hanyalah pemandu teksinya yang serabut.

Pertemuan kedua dengan Syria lebih manis. Bersama Ahli Gen 5 dan bakal Gen 6 Akademi Tahfiz Az-Zikr. Ustaz Amir sebagai pemandu pelancong. Sangat bersetuju dengan Salam, kembara kami kali ini lebih 'berisi', 'bermakna', 'berjiwa'.

Faktor utama saya kira adanya Ustaz Amir, Ustaz Raouf. Perjalanan kami lebih terpimpin.



Err, detail kembara ni sambung kemudian la. Kali ni nak tunjuk gambar je.






Lagenda puteri dan kala jengking.

Kisahnya saya pun saya tak berapa ingat, sebab lebih terkenang lawak Keri ( seperti biasa, tanpa sengaja),
"Haaa..tu mimbar dia!"

=)

Taklah lupa semua, tapi mahu simpan untuk entri lain. hah.


Diakatakan teknologi kincir air pertama dunia menghasilkan tenaga.
Keri! kan dah cakap, angkat kaki kiri. Ish!

Seronok pula gambar ni. 
Masjid Ali Kabir.
Pandang kanan semua!






---------------------

Tahun 2010. Gambar pun tak habis upload. Kak Nur dah dapat anak alhamdulillah. 

Dan Syria. Tanah Redup Cinta itu.
Syria. 

Apa yang ingin Tuhan tanam padamu?
Moga nanti kau menuainya.

Emak Ingin Naik Haji



Filem ini sangat menyentuh. Pertama kali melihat sendiri bakat Reza.


"Seolah hajinya sudah berkali-kali"

Buku-buku yang saya (masih) ingat saya suka

Ada buku diingat kerana kerana watak utamanya, kerana kesannya dalam hidup kita, kerana kemampuan menggambarkan, atau membina suatu dimensi baru perasaan dan pemikiran, atau ketepatannya hadir saat kita memerlukan.

Saya sebagai orang sentimental, hopeless romantic Hos kata, sering mengingati sesuatu buku dengan keadaan ketika membacanya. Kadang saya masih ingat bau buku tersebut, cuaca hari itu; tiupan bayu, dingin hujan, dan terik mentari. Juga posisi saya membaca, tangisan atau senyuman pada hari itu. Dan tak jarang, saya mengingati sekaligus semuanya.

Bak kata Jesse dalam Before Sunset,
"He knows he's not remembering these things, he's there, he's there in both moments simultaneously, just like for an instant all his lives is just folding into itself and it's obvious that time is a lie."


Memberikan pengalaman yang sentiasa hidup.


1. Pandangan Hidup Muslim, HAMKA
Buku yang saya pinjam-tapi-tak-pernah-pulang dari rak buku Rumah Pakde Dori, semasa melawat beberapa tahun lalu. Sudah kusam, cetakan tahun 70-an. Saya membawanya semasa kembara pertama ke Eropah, ke Spain dan Itali.

2. Kenang-kenangan Hidup, HAMKA
Beli di Kinokuniya. Akhirnya beri sebagai hadiah kepada orang yang saya tabik hormat dan sayang.

3. Ingin Jadi Nasrallah, Faisal Tehrani
Beli dekat dengan Stesen Klang. Buku ini menghantar saya ke Turki, ke Amsterdam, ke Berlin, ke Vienna. Oh silap, saya ke Vienna untuk Before Sunrise.

4. Tunggu Teduh Dulu, Faisal Tehrani
"selangkah ribut/ malam sunyi/ engkau tak pernah ada"

5. Bagaikan Puteri, Ramlee Awang Murshid

6. Kite Runner, Khaled Hoseini
Never had I thought a book could hurt this much. Part hujung-hujung tu baca setelah tutup pintu, sambil meringkuk menangis tumbuk dada. Real pain. Gila. Entah kenapa. Mungkin ada predisposing factors yang saya lupa (atau tak mahu beritahu. haha). Buku tentang persahabatan, tentang redemption, tentang memori kanak-kanak yang menghantui, tentang kejujuran, tentang dosa yang besar dan berpanjangan akibatnya.

7. A Thousand Splendid Suns, Khaled Hoseini

8. Mukaddimah, Ibnu Khaldun

9. Panrita, Arenawati
Tingkatan satu. Tema macam agak berat ketika itu.

10. Hikayat Faridah Hanum, Syed Syeikh Al Hadi

11. Rindu Bau Pohon Tin, Hasrizal Abdul Jamil
Ke Jordan. Macam mana entah bau pohon tin tu. Bau yang paling teringat tentulah pokok-pokok sekeliling Dewan Kindi. Mungkin satu hari nanti, sambil mengenang Jordan, saya boleh menulis buku Rindu Bau Pohon X (masukkan nama)

12. Kuda Terbang Reza, Halimah Badioze Zaman, Azman Shah Daud
Buku semasa darjah satu. Pertandingan melukis ilustrasi buku. Saya warnakan sayap kuda itu dengan warna merah.

13. Catatan, Latiff Mohidin
Kepada Penulis Muda. Boleh ditebak dari mana-mana.

14. Harry Potter series, J.K Rowling
Zaman awal remaja.

15. Twilight series, Stephenie Meyer
Zaman awal remaja yang lewat sedikit. An established team Teacher Iqma.

16. Risalah Buat Kaum Muslimin, Syed Naquib Al-Attas
Tahun dua. Perjalanan umrah.

17. Wira Tunggal, Wan Yat Leung & Tang Chi Fai
Wunan, Harimau Kumbang, Paichow, Tornado, Tenko, Pencari Langit, Sang Asura, Jerung Gergasi, Maharaja Sagia, Topeng Perak, Dewa Parang. Ada watak yang kecundang awal,

18. Keluarga Gerilya, Pramoedya Ananta Toer
Aman anakku! Merdeka!

19. Pesan-Pesan Terbesar Al Quran, Fazlur Rahman

20. Tuan Ibarat Songket Berkilau, T Alias Taib
Membacanya di Spaoh, Betong, Sarawak.



Saya baru hidup 23 tahun. Meski sesetengah kata 'sudah 23 tahun', sudah matang, boleh membuat keputusan, dan boleh dipertanggungjawabkan. Saya tetap mengatakan saya masih budak yang kebetulan berumur 23 tahun. Saya tentu mahu membesar, 'matang, membuat keputusan, dan dipertanggungjawabkan', cuma..I prefer my own pace.

Escape.

Bagi saya membaca buku adalah pengalaman peribadi. Mungkin kemudian kita akan bersembang, berkongsi tentangnya dengan orang lain dan menemukan kegembiraan baru. Tapi proses membaca buku, awal hingga akhir, (setidaknya bagi saya) adalah proses yang dialami sendiri-sendiri. Berbeza dengan menonton filem contohnya, yang lebih enak ditonton bersama kawan-kawan; lebih lagi dalam ruang tamu yang gelap, dan ruang yang sempit, seperti biasanya kami di Rumah Mindef.

Setiap buku ada ceritanya, setiap buku ada sejarahnya.
Saya mahu menjadi sebahagian daripadanya.

Then, sure I miss you. Miss our 'language battles', your words, my silence. Then again, I'm certain I couldn't give nothing more.

-------------------
Ok, memang tulisan ni belum habis. Macam mana entah ada perenggan asing di hujung tu saya tak tahu. Sekarang dah tiba-tiba di ambang 25. Ada beberapa buku baru yang sudah sepatutnya menyertai senarai ini.

To bobooks ahead. Cheers.







Ucapan Tariq Ramadan yang aku salin

People are saying that it is easier to be a muslim in a muslim majority country.
it could be that you are listening to the call of prayers but deep down when we speak about spirituality, something which is the essense of life, it's not easy.
in our contemporary life spiritual faithfulness is very difficult, it's a challange.

Mawar dan Sporotrichosis

Setelah Tiga Minggu Tahun Tiga


akhir tahun satu


Hope




'Mariam jo, I dare, I dare allow myself the hope that, after you read this, you will be more charitable to me than I ever was to you. That you might find it in your heart to come and see your father. That you will knock on my door one more time and give me the chance to open it this time, to welcome you, to take you in my arms, my daughter, as I should have all those years ago. It is a hope as weak as my heart. This I know. But I will be waiting. I will be listening for your knock. I will be hoping.'






Menangis teruk mengerekot dulu baca ini. Aku masih ingat bau kertasnya.

Catatan Umrah 2012

Malam tadi malam 27. Masjidilharam penuh, sangat-sangat penuh. Aku dan kawan tadi malam parking tingkat atas sekali, selalunya ada kosong, kali ni penuh. Sekarang kami tunggu waktu dhuha di tingkat bawah sekali, lepak baring-baring, baca-baca Quran, sembang-sembang dengan orang kanan kiri.

Tiba-tiba bising. Kecoh jemaah kejar-kejar jerit-jerit.

Setelah kami selidik, rupa-rupanya Presiden Mesir baru, Morsi tengah buat sai'e. Berbondong abang-abang pakcik-pakcik Mesir bergerak ke tempat kejadian.

Hidup Morsi! Hidup Morsi!

Hingar bingar. Morsi sesekali mengangkat tangan membalas sopan sorakan. Tapi nampak tak selesa. Yelah, tengah buat ibadah saei masa tu.

Harapan. Rakyat menuangkan harapan kepadanya hingga titis terakhir. Mesir yang lebih baik. Mesir yang sejuk kaki menapak, sejuk bahu memikul.

Morsi, mudah-mudahan kau berhasil.

Nak repost je boleh tak?

Sebenarnya

"Bukankah lebih baik kita kekal begini
mengapa kau ingin lebih berani?"

Mungkin kerana kau cantik, dan kau baik.
Mungkin aku kehabisan pilihan dan kau tunggal belum memberi jawapan.
Mungkin kerana aku suka bagaimana senyum lincahmu menghangat ketenangan,
bagaimana pipimu merah diusik rindu, bagaimana marahmu mengundang cemas dadaku.
Mungkin kerana aku tak lagi mahu mencuri pandang bucu matamu,
melihat keindahan terjaga dan merasa bersalah untuk itu. Mungkin kerana
bintang-bintang yang kita namakan malam itu dengan nama yang cuma
kita tahu, terlalu sering meneriakkan kata-kata yang aku sembunyikan darimu.
Mungkin ini balasku setelah diam tika kau tanyakan antara bayu dan hujan,
antara kelip-kelip dan bulan, antara laut dan awan; bahawa aku memilihmu
lebih dari semua pilihan.
Mungkin aku hanya ingin tahu,

"Kita sudahpun begini,
mengapa kau tak ingin lebih berani?"

Morning report Surgery
14 September 2014

-------------------------------------------------

Rasanya masa ni morning report dengan Dr Rami Yagan. Rasanya lah. Sebab suasana kuliah tu scary. Naim duduk sebelah.

Dah nak masuk kerja, aku kena bersedia untuk Rami Yagan-Rami Yagan yang lain. Niat nak belajar. Tiup-tiup sikit.

03 February 2016

Subuh Jordan

Seorang senior yang saya suka namanya meminta saya menulis suasana Subuh di Irbid. Rasanya ketika itu saya di tahun dua. Katanya, mahu gunakan untuk modal menulis. Mungkin kerana saya lambat hantar atau gambaran saya terlalu peribadi maka tidak sesuai, akhirnya tulisan ini tidak digunakan. Memang saya menulis syok sendiri, mana fikirkan orang. Ha

Saya mahu format laptop, (ya, yang sudah tujuh tahun berkhidmat) jadi terbukalah semula fail kuno ini. Haha

"Suasana subuh. Sejuk dan suram. Satu dua kenderaan lalu. Syarik Jamiah baru dibersihkan. Lori angkut sampah buat kerja malam-malam. Lampu jalan seolah satu-satunya watak yang (memberi) hidup.

Kalau angin betul-betul kencang, boleh nampak orang jalan bergegas ke arah masjid.

Dalam perjalanan, terserempak dengan dua tiga Arab. Kalau bagi salam, mereka akan balas dengan mesra.

Biasanya subuh tiga hingga empat saf. Kalau subuh tu sejuk sangat, kadang dua setengah sahaja. Sedia maklum, masjid sini iqamatnya setengah jam lepas azan. Selalunya nampak pakcik-pakcik tua yang istiqamah, tiap kali pun mesti dia sampai lagi awal. Segan.

Imam ada dua. Syeikh Makmun dan Syeikh Husin. Syeikh Makmun, suara dan nadanya gemersik, berlenggok, membuai. Syeikh Husin macam keras, dan amat jelas satu-satu makhraj hurufnya. Syeikh Makmun akan baca qiraat-qiraat lain (selain Hafs 'an 'Asim) hanya untuk waktu subuh.

Lepas habis solat, selalunya balik (sambung tidur). Kalau rajin sikit, stay lah sampai waktu dhuha. Dalam setengah jam lebih sikit sahaja lepas waktu solat. Kalau keluar lepas dhuha tu, boleh nampak cahaya merah pagi di balik masjid. Sangat-sangat lawa.

Tambahan, kalau waktu Subuh hari Jumaat, udaranya memang lain. Macam ada satu bau, suasana, rasa, aura, yang tiada pada hari biasa. Nyaman. Ringan. Sambil menyapa bunga yasmin, daun anggur, pohon tin dan biji zaitun, saya selalunya tersenyum-senyum.

Dan Subuh apabila ia bernafas.

__________________________

Tapi kan, dalam tempat-tempat yang saya pernah sampai, jemaah subuh yang paling ramai adalah di Aceh. Ulee Kareng tepatnya. Dalam kawasan kampung biasa. Ada dalam lima enam saf. Masjid besar. Bukan Ramadhan. Kagum.

Paling sedikit, di Masjid Biru, di Sultanahmet, Turki. Tengah-tengah pekan. Seingat saya, ada lima orang makmun. Dua daripadanya saya dan Salam. Sangka baiknya ketika itu musim sejuk, dan salji baru turun malam tadi. Saya dan Salam terlalu teruja ke Masjid Biru.

Tak tahulah apa yang boleh dibaca daripada pengalaman selektif ini.