30 May 2010

Konstantinopel.

Bismillah.

Tergerak mahu berkongsi.
29 Mei 1453.
Tarikh penaklukan Istanbul.

Cuti musim sejuk tempoh hari saya yang lepas sebahagian besarnya dimiliki Istanbul.
Hari pertama melawat Aya Sofia dan Masjid Biru. ( yang nyatanya bersebelahan sahaja ).
Cerita tentang itu rasanya saya tangguhkan dahulu.

Destinasi seterusnya, Panorama 1453 Historical Museum.
Memang tak dirancang pun. Hanya mendapat maklumat bila melihat pamplet di Tourist Centre dalam renyai hujan pagi itu. (Bayangkanlah, hujan tatkala kemuncak musim sejuk...fuh, memang mecabar susuk Nusantara kami ).

Saya terus tertarik, seraya mengajak rakan-rakan ke sana.






































Antara taktik-taktik peperangan yang pada masa itu.

1. Penciptaan meriam-meriam besar. Ada dua jenis. Jenis pertama dicipta pakar persenjataan Uthmaniyah, Muslihiddin Usta dan Saruca Pasha, 'barrel'  berdiameter 60 cm. Jenis kedua, yang lebih terkenal kepada kita, berdiameter 80 cm,dengan panjang 8 meter, dicipta oleh Urban, pakar persenjataan Hungry (yang merupakan musuh tradisi Uthmaniyah. Para pakar Uthmaniyah mengatakan meriam dengan barrel berdiameter lebih dari 60 cm adalah mustahil...indeed they were right. Meriam terbesar Urban, yang dinamakan 'Shai' meletup pada tembakan kelima, membunuh penciptanya. Namun jasanya sangat besar dalam meruntuhkan tembok kebal Konstantinopel.

2. Askar Uthmaniyah membuat terowong ke kawasan tembok. Ada yang dibuat hingga melepasi bahagian dalam tembok, tapi kebanyakannya dibuat betul-betul dibawah tembok. Tujuannya, meletakkan bom untuk meletupkan tembok itu.

3. Pembahagian kepakaran dan aspek logistik yang mantap.
a)Tentera berturban putih, terdiri dari pemanah bertangan kidal, ditugaskan bergerak di sisi kanan Sultan, posisi strategik yang mengoptimumkan keupayaan mereka.

b)Turban kuning diberikan kepada tentera yang mempunyai stamina larian yang mantap.( macam Park Ji Sung). Tugas mereka ialah menyalurkan bekalan kepada tentera pada saat-saat genting.

c) Kecekapan tentera infantri janissari. Mereka pun mempunyai pembahagian. Tentera elit bertopi merah dikenali sebagai silahtars sebagai pengawal peribadi sultan. Serdengecti, yang memakai bulu pelepah burung besar di atas kepala mereka merupakan tentera paling berani di bahagian hadapan.

d) Ada 'pasukan sorak' juga. Mereka dikenali sebagai Mehter Band, memainkan gendang perang ( takkanlah lagu Bunga-bunga Cinta lak kan.) untuk membakar semangat tentera Uthmaniyah terus berjuang dan melunturkan semangat musuh.

e) Kelebihan utama Kota Konstantinopel ialah kekebalan temboknya yang utuh zaman-berzaman. Selain itu, senjata mereka yang amat menggerunkan dikenali sebagai Roman Fireball. Ia diletakkan di atas catapult dan dilontarkan ke arah musuh dari bahagian tembok, mengakibatkan letupan dahsyat.





Penaklukan Istanbul
Persedian menakluk Istanbul telah lama bermula. Antaranya ialah pembinaan Kubu Rumeli untuk mengawal laluan keluar masuk Selat Bosphorus, rundingan dengan negara jiran agar mereka tidak memberi bantuan, tentera digandakan bilangannya, dan penciptaan meriam-meriam besar.

.........bersambung.....



 Let the history rest, proceed with histology....

25 May 2010

Hadiah Untuk Kita


Gambar hiasan yang berkemungkinan ada kaitan.



"Duduk dengan orang berilmu tidak pernah rugi.

Halusilah kata dan tingkahnya, ada 'hadiah' tersedia untuk kita..."

22 May 2010

Perantau.





"Dalam tradisi Minangkabau, setiap anak laki-laki akan pergi meninggalkan tanah kelahiran mereka...dan berjalan mencari pengalaman hidup. Pengalaman hidup yang akan membuatnya menjadi lelaki sejati."

"Apapun yang dikatakan orang, belum tentu itu yang paling benar. Kembalilah nak....kapanpun kau siap."

Tertarik dengan ungkapan dalam filem Merantau ni. Belajar melalui pembacaan dan lingkungan ruang kelas tentu tidak sama dengan ilmu yang diperolehi dari jalanan, dari pengalaman. Peritnya kegagalan. Manisnya kejayaan.

Sekarang 'merantau' di Jordan. Namun, sebenarnya tidaklah terasa sangat di perantauan. Keluarga di Malaysia kerap sahaja dihubungi. Ada komuniti melayu yang sangat akrab. Wang ihsan kerajaan dan rakyat Malaysia (biasiswa) sangatlah lebih dari cukup. Ke universiti dengan bas dan teksi, tidaklah terasa susah memerah keringat berjalan kaki. Nasi, dan hidangan melayu lainnya kerap sahaja dijamah. Kalau Naim tidak masak, boleh ke Warung Din.  Kehabisan asam keping pun ada yang bermurah hati memberi.  Rasanya Syarik Jamiah ini sudah ada ciri-ciri Malaytown.

Selesa. Alhamdulillah. Syukur Tuhan segalanya dimudahkan.

Cuma risau, sekiranya leka, selesa ini membunuh dan membutakan saya.
Umur-umur ini adalah waktu bina diri, bina peribadi.
Pusat pemulihan akhlak, sesetengah orang kata.

Seperti yang disebutkan Ustaz Hasrizal dalam Saifulislam,
"Bumi Isra’ ini penuh barakah.
Setiap perlakuanmu di bumi Jordan adalah permintaan tentang siapa dirimu, suatu hari nanti…"

Takut pun ada mendengar bait kata ini. Tika lemah, harapnya 'takut' ini akan hadir memberi semangat.

Dan kawan-kawan yang turut sama 'merantau', tidak kisahla keluar negara, negeri, atau daerah sekalipun, ingatlah juga,
"Perantau takkan sepi kerana sepi itu mati dengan pertemuan, akrabnya persahabatan, dan kukuhnya ikatan iman."

Aha.

17 May 2010

Selamat Hari Guru.

Teringat sambutan hari guru semasa tingkatan 5 dahulu.
Berpantun dengan Bonda Pengetua Saadah, sebelum beliau 'dibenarkan' masuk ke dewan.
Lupa pantunnya yang sebenar, tapi saya bertanyakan tentang amanat untuk pelajar-pelajar.

Senyum beliau seraya menjawab dengan serangkap pantun ready-made.

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Saya amat suka pantun ini.
Dalam maknanya.

Tidak keterlaluan rasanya jika dikatakan saya memahami dunia perguruan (tentu sahaja bukan sepenuhnya), memandangkan ayah dan ibu bekerja sebagai guru. Juga Lek Jaja, Lek Zakaria, dan Kak Wahidah.

Sejak kecil, saya melihat buku rancangan mengajar mereka, kadang kala membantu menanda kertas jawapan periksa, menaip kertas soalan, dan ikut ke kelas tambahan di hujung minggu. Ok, tu basic. Yang lain-lain tak cerita.

Semasa sekolah rendah dahulu, terasa seronok menjadi anak cikgu kerana boleh dapat buku teks pinjaman.
Guru Besar, Cikgu Abdul Malik Samiin selalu menyebut, perkataan guru bila dipecahkan suku katanya membawa maksud dan falsafah tersendiri.  Suku kata pertama 'gu' diambil daripada perkataan 'gugu', bermaksud patuh. Sukukata 'ru' pula diambil daripada perkataan 'tiru'. Kesimpulan mudahnya, guru itu untuk dipatuhi, diiyakan dan ditiru.

Teringat hukuman pertama yang diterima dari guru bahasa Inggeris tingkatan 1. Saya dan Hafiz (Ketam) leka bermain lawan pemadam sedang teacher mengajar. Sudahnya dipanggil ke depan.........(lalalala....).
Seriau berhari-hari.


Dan sememangnya panggilan cikgu itu amat keramat..
Tiada rasanya suatu profesion yang akan kekal panggilannya selepas bersara. Posmen bukan posmen lagi selepas bersara.Tapi panggilan 'cikgu' kekal. Kerana ia bukan hanya satu pekerjaan, ia sudah sebati dalam langkah dan tingkah.

Satu keluhan yang ibu saya kerap luahkan,
" Mak perhatikan selalu budak-budak yang nakal,malas, yang mak cubit, yang mak marah kat sekolah tu la yang selalu tegur, senyum bila jumpa. Yang pandai-pandai ni selalu lari."
Ha..peringatan untuk semua...


Kepada semua cikgu-cikgu, guru-guru, 'teacher-teacher', sifu-sifu, lecturer-lecturer yang pernah mengajar saya sejak dulu, ribuan kemaafan saya mohon atas salah silap dari  hujung kuku tangan sampai ke hujung kuku kaki.

Terima kasih!Kesuwon.
Moga rantaian ilmu yang cikgu-cikgu beri itu kan berpeluang jadi lebih panjang.

05 May 2010

Helai Akhir.

Dalam menyelak helaian kehidupan,
kita lihat pelbagai coretan,
pada muka-muka belakang.

Ada contengan yang dipadam,
namun tetap meninggalkan kesan.

Ada warna-warna cacamerba,
namun manis bila dipandang.

Ada kisah tak dikisahkan,
Rahsia-rahsia; rapi tersimpan.

Ada tulisan elok terletak,
Saat taat; halus dan tulus.

Ada baris-baris impian,
yang menanti untuk dinoktahkan.

Dan kita merenung,
pada muka-muka hadapan yang masih kosong,
...."apa yang akan diisikan?"...

Sedang tahu,
kita bukan penentu,
Akhir helaian itu.

_______________________________

Bawah teduh ini,
4 petang.
Masjid JUST.