20 October 2013

Saksi, Adha Kali Ini


buat kenangan



Satu PERMAI, satu perut, satu usus.
Tak sangka juga, sambutan korban kali ini memakan banyak korban.

Biasanya dulu di sekolah atas bukit, kalau ada keracunan makanan (selalu), dan jerebu, kami sambut dengan (agak) gembira. Sebab boleh cuti. Kadang sampai seminggu. Sakit perut satu hari diganti dengan makan enak seminggu di rumah. heh

Harap-harap ahli Permai tiada yang melarat sakitnya.

Sebagai orang yang (agak) selalu bergelumang dengan masakan dan biro persegaran, saya yakin orang yang paling terseksa, paling terkorban, dan paling pedih saat ini ialah si tukang masak dan pasukannya. Moga mereka tabah.








18 October 2013

hari ini, esok hari.


Tulisan ibunda saya.
 Entah bila beliau menulisnya, saya tidak tahu. 
Tapi ia ditulis dengan mesin taip, tentu-tentu-tentu sudah lama kan.




Simponi


Damai simponi membelah sayu,
Pungguk merindu rembulan,
Lembayung senja menunduk layu,
Ratapan dara merayu rawan.

Tiba-tiba guruh membelah
Bumi merekah
Lantas cahaya kelam.

Tinggallah si pungguk
Menghitung langkahan malam,
Dan rembulan tidak muncul lagi,
Terbanglah pungguk merindu menanti.

Tiba di suatu perhentian,
Pungguk sedar betapa agung.
Erti sebuah impian.



-Ainon Ahmad-

______________________________



dari rantings umairahshafei. 
saya suka lalu sukahati pula curi dan edit dari gandingan asal 'bapak-bonda' kepada 'mak-abah'.
Harap akak penulis tak marah banyak-banyak. hah




hari ini, kami berkata
"mama, kami selongkar album lama
dan temukan puisi mama di sana"

esok hari, mereka bercerita
"abah, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan abah di sana"




________________________________

seriuss laaa...

17 October 2013

sakura dan salji





Sakura dan salji 
ialah ia bunga saudara
gugur menyapa membawa cinta
penawar kata segala bara,
harum dan putih
manis dan bersih.

Sakura dan salji
tidak hadir sekali
kerna angin yang menghantar indahnya
hanya mampu memilih satu,
satu sekali masa
untuk bergelar setia.

______________________

08 October 2013

Hujung dari 'Didikan Keutamaan', tulis Buya Hamka

Setelah diperhatikan kewajipan itu dengan saksama, nyatalah kian lama kian sukar - sukar tapi indah!- Sebab hidup manusia berbeza dengan hidup binatang. Hidup manusia dipergunakannya untuk sesudah matinya, yang akan disebut orang, sepeninggalnya, dan akan didapatinya sendiri di akhirat. Dia akan datang kepada Tuhan dengan berkata: "Sekianlah usahaku ya Tuhanku, lebihnya aku tidak kuasa... pulang timbangan kepada Engkau."

Itulah yang bernama hidup. Itulah yang bernama perjuangan. Bukan dengan semata-mata menyebut sahaja. Boleh kita ulang setiap hari bahawa kebaikan lebih baik daripada kejahatan, kejujuran lebih menang daripada kecurangan, bahawa pemaaf lebih bagus dari pemarah, lurus lebih mulia dari dusta. Boleh kita berkata begitu, dan semua orang, walau pencuri dan maling sekalipun, akan mengakui, memang begitu. Tetapi apakah semata-mata dengan mengulang-ulang itu sahaja akan ada faedahnya? Apakah ubahnya mendengarkan kata-kata yang demikian dengan mendengarkan Khutbah Jumaat karangan 50 tahun yang lalu, yang masih mendoakan Sultan Turki, padahal Kerajaan Turki telah bertukar menjadi Republik?

Keutamaan hanya diperolehi dengan berjuang, dengan mendidik dan belajar, tumbuh di hati yang suci dan menimbang, bukan dengan semata-mata diajar-ajar, dipaksa-paksa atau lantaran mendengar pidato-pidato sahaja.



________
fuh...padumadu.

07 October 2013

Ma La Ga












Begitu pelabuhan Malaga
begitu cinta kita menyaksikan
jiwa-jiwa singgah berdagang
rindu dan belayar pulang.

05 October 2013

Kepada Penulis Muda

Dari T Alias Taib,

'kepada penulis muda, saya ingin berpesan agar menyimpan pen dan kertas di tepi katil. Anda mungkin terjaga jam tiga pagi dan teringat akan kejadian menarik tiga petang siang tadi.'



04 October 2013

Rantai

Sadis mintak puisi Adha. Macam editor pun ada dah dia ni. Aku kutip-kutip belek-belek buku catatan lama, cuba cari kalau-kalau ada glimpse, contengan mana-mana yang boleh menimbulkan idea, menghimbau rasa. Tak jumpa, yang jumpa benda lain. Selalu macam tu. haha.

Err, guna 'saya' pulak lah. Di sini saya turunkan 6 'puisi bersiri' tulisan zaman antah berantah, zaman muda-muda yang saya jumpa semula tadi. Dalam buku catatan warna biru tahun dua.

Saya harap penulis-penulis yang terlibat tak marahhh lah ya. =)


Ni sikit komen 'anon' sebagai mukaddimah,

yang juga menarik, puisi ini boleh dikatakan yang akhir daripada beberapa puisi sebelumnya, ditulis berasingan, berantaian oleh tiga individu.

puisi akhir ini takkan terhasil tiba-tiba, pastinya takkan jika tanpa sokongan, bantuan puisi sebelumnya, lebih-lebih yang pertama. saya amat menghargai bagaimana penulis seterusnya cuba memahami puisi sebelum dan membalas dengan puisi baru. 

boleh jadi antaranya ada salah faham, kurang faham, lebih faham, atau buat-buat faham ketika masing-masing cuba memberikan makna. sepertinya begitulah hidup, tapi kita sentiasa perlu berani, kan?




No 1
kadang resah hati
sembunyi dalam diri
lantas keluar riang
litup ringan sebuah pura.

akhirnya digali sang setia
tanda akhir sebuah derita.



No 2
kadang indah mimpi
setia juga menanti
saat diri hilang
dalam bayang-bayang.

pada akhir cerita
ditemu jua
makna intan dan kaca.



No 3
kadang meniti pasti
mimpi menyembunyi diri
setelah berlalu taufan
terjawab sebuah persoalan

saat berderai kaca
intan berkilau setia.



No 4 (balas No 2)
cerita terakhir
hanya mimpi setia
kilauan memikau
rupanya bayang dusta

makna keduanya
kekal kusam
hilang.



No 5 (balas No3)
di sisi taufan persoalan
diri bertatih pasti
dalam deraian kaca
intan terselit luka.

menanti setia jauhari
dalam mimpi tersembunyi.




No 6
dalam litup sayu
"Usakkan tangismu.
Nanti akan ada menemukan
dan berkongsi dunia."

Pada 'nanti' kau terhenti
mimpi itu berjanji
janji itu bermimpi.

Namun hingga itu
kitalah jauhari
mengenal kaca
dan intan diri.



Ha, penulis-penulis atas ni, takde yang nak tambah no 7 ke??


______________________________

kerna

hati dan ketenangannya
bukanlah permainan bahasa.


_____________________________



Neuro minggu depan.
Pergh, cuak gak. (sambil cucuk-cucuk TMJ)







02 October 2013

hulu ke muara



Dari hulu, air tiada pilihan melainkan 
menjadi semakin keruh.
Tiba di muara, ia tahu
perjalanannya baru bermula.