29 August 2011

Selamat Hari Raya!

Saya ingin memetik tulisan dalam bab akhir buku Tasawuf Moden, Tulisan Buya Hamka. Saya kira cukup berbaloi kita bersunyi-sunyi barang sebentar menadah tangan memohonkan ampunan, dengan doa seindah ini.


 _____________________________


Seorang teman bertanya, "Besok bukankah hari raya? Mana pakaian yang engkau sediakan?"

Aku jawab, " Pakainaku sangat indah, pemberian daripada kecintaanku. Dua helai baju, yakni kemiskinan dan kesabaran. Di dalamnya tersimpan hati yang telah disepuh, yang memandang bahawa keramaian hari raya itu bercahaya, lantaran di sana terbentang nyata wajah kecintaanku, biarpun orang lain tak melihatnya.

Pakaian apakah yang lebih indah dipakai pada hari raya, daripada pakaian pemberian kekasih, yang dipakai dengan tersipu-sipu di hadapan-Nya?

Tak ada ertinya hari raya itu bagiku, ayuhai Kekasih, kalau cahaya-Mu tak memberi kumandang di sana. Dia akan sepi, tak ada keramaian, tak ada hari raya, bila Engkau lepas dari ingatanku.

Patutkah aku disebut seorang yang setia, kalau ada wajah yang lain yang kulihat dalam keramaian, selain dari wajah-Mu jua?

Lantaran cintaku kepada-Mu, aku sudi menerima keputusan apapun yang Engkau jatuhkan kepada diriku.

Kadang-kadang putus harapanku dari syurga-Mu, lantaran aku tahu kebebalan diriku.

Tetapi gementar segenap sendi tulangku, kalau aku ingat azab dan seksa-Mu. Sebab itu wahai Kekasihku..

Apakah akan Tuhan bakar muka yang sentiasa basah memuji-Mu?
Apakah akan Tuhan seksa lidah yang sentiasa basah memuji_Mu?
Apakah akan Tuhan patahkan hati yang sentiasa ingat akan-Mu?

Ilahi!

Sudah jauh amat tersesat perjalananku. Sekarang aku pulang kerana aku tahu, tiap-tiap aku bersalah, dengan nikmat jua Tuhan balasi.

Kata orang enak sekali berkenalan dengan Raja daripada segala Raja. Yang tiada menutup pintunya pada setiap orang yang hendak mengadap!

Hatiku telah bergembira, kerana Engkaulah tujuan perjalanannya. Tuhan yang menanggung perbekalanku. Tuhanku! Maha Besar Engkau!

Kalau kulihat bergandanya nikmat, aku hairan mengapa aku sesat jua.


Bagaimana aku begitu berani mengharap redha-Mu, padahal aku masih tetap aku..
Dan bagaimana aku takkan mengharap, padahal Engkau masih tetap Engkau..

Kalau kedurhakaanku terbit lantaran kejahilanku, maka urusanku sekarang timbul dari keinsafan, iaitu bahwa aku ada bertuhan yang tetap pertalian-Nya dengan hamba-Nya, dengan tali kasih sayang dan cinta.

Lantaran aku cinta akan Engkau, Tuhan! Kumohon keampunan-Mu! Lantaran Tuhan cinta akan daku. Tuhan ampuni dosaku.

Ilahi!

Tuhan telah tahu kesalahanku sebelum aku meminta ampun. Satu dari asma-Mu, iaitu Ilahi Maha Pengampun. Kelalaianku dan kemudian kesedaranku akan kesalahan, akan menggenapkan kebesaran asma-Mu itu.

Tuhan telah arif akan kebebalanku sebelum aku melangkah!

Ampunilah aku, maafkan kesalahanku, gantilah kiranya dengan kebaikan, dengan hasanat. Beri aku permata perhiasan, yakni ingat akan Engkau. Beri aku taufik dan hidayat. Tunjukkan jalan keselamatan bagiku, serta ayah bonda dan anak keturunanku, dan seluruh muslimin. Bahkan bagi seluruh manusia!



_____________________________________

Moga hari raya ini adalah hari raya terbesar bagi kita, hari diampunkan dosa-dosa....

Malam-malam akhir,
Makkah Al Mukarramah

Betapa Tuhan ada di mana-mana bila-bila masa.

7 comments:

emirhasnan said...

auto post?
nasib baik raya esok.

Nur said...

*menangis tersedu-sedu*

Tuhanku...

Anonymous said...

:')

selamat hari raya sahabat.
maaf dari hujung rambut hingga hujung tumit. :D

selamat lah sepanjang tahun ya...


yatimi ibnu ramli

Anonymous said...

auto post? boleh ke?

Anonymous said...

Hanif, eid mubarak.

Maaf kalau ada terguris, terkasar, tertakpeduli.

Aku baca post nih dengan genangan air mata.

1. untuk syahdunya tulisan Buya Hamka mengetuk jiwa supaya lekas insaf,

2. untuk rindu. Baca tulisan engkau, terkenang engkau.

Moga baik-baik di sna.
Doakan sahabatmu di sini.

NidzamYatimiRamli said...

kenang daku dalam doamu nip.

tepianmuara said...

Cidak,
aku duk kat CC masa ni.=)


Kak Nur,
Moga kita menjadi hamba-hamba yang bersyukur.
dengan aliran air mata.
dengan cukup makan pakai segala.
dengan sihat tubuh dan jiwa.

Nidzam,
hujung tumit ya??
hah.

sama juga yang di sini!


Anon,
boleh je kalau nak guna autopost.


syazwan,
maaf juga dari aku.

Air tangan Buya memang...jernih untuk kita tadahkan.

Rindu Wan? di sini tiada kurangnya.
=)

Selamat mengharung hidup. Moga deras airnya menambah gagah, buat kita menghadapi entah apa lagi cabaran di hadapan.


Nidzam,
=)