16 August 2011

Tentang Memberi dan Menerima

Assalamualaikum.

Saya ingin menyampaikan dua kisah. Random. Mungkin berlaku pada anda. Setiap hari dalam hidup kita, tentu ada, setidaknya 'keajaiban-keajaiban kecil'. Masa berlalu. Terkadang hanya setelah mendapat satu pengalaman baru, baru kita tahu bagaimana 'membaca' keajaiban kecil semalam. Hikmahnya.

Baiklah. Kisah ini, andalah sebagai wataknya.

Kisah Satu


Engkau seluk kocek, ah, kosong. Tiada wang berbaki. Engkau buka dompet. Hampa. Sudah lewat ke kuliah, perjalanan ke universiti memakan masa sekurangnya tiga puluh minit dengan bas. Cemas sedikit.

Engkau tarik laci meja studi yang jarang digunakan itu. Oh, ada wang sepuluh euro baki kembara Eropah yang lepas. Harapan. Memang kau mengenakan sedikit catuan wang minggu ini terhadap diri sendiri. Wang masih berbaki di bank, tapi sudah terlalu deras alirannya bulan ini. Engkau nekad, bertahan dengan sepuluh euro ini, akan kau tukarkan petang nanti kepada dinar Jordan di pengurup wang. Engkau kutip syiling dalam 'tabung', 90 qursy, cukup-cukup untuk tambang pergi pulang universiti.

Sepulangnya ke rumah petang itu, engkau ambil wang sepuluh euro dalam laci, bersiap ke pengurup wang. Azan Asar sudah berkumandang. Tidak mengapa, sempat sahaja, fikirmu, memandangkan jarak masjid tidak jauh dari pengurup wang. Sampai di sana, kau menghulur duit itu, dikembalikan sepuluh JD tepat. Alhamdulillah.

Musim panas, mentari di waktu Asar selalu sahaja lebih garang membahang dari waktu Zohor. Tekak kering. Kau sudah membayangkan usai solat kau akan membeli aiskrim kegemaran.

Solat.

Selepas solat, kau melangkah keluar mahu pulang. Di pintu masjid, seseorang menegur.

'Assalamualaikum.'

Kau menjawab salam. Oh, sahabat yang tidaklah kau kenal rapat, tapi kau tahu dia terpercaya.

Terlihat berat dia mahu bersuara, tapi laju-laju dia bertanya,
" Nak pinjam sepuluh boleh tak? Ada hal, nak guna lah.'

Dia yang kau kenal tak mungkin sampai bertanya langsung sebegitu tanpa keperluan mendesak.
"Eh, ada ada"

Kau seluk kocek kiri, memang itulah satu-satunya sekeping sepuluh, kau pindahkan pada tangan kanan, dan dengan senyuman, wang itu berpindah ke tangan kanan sahabat itu.

"Nanti akan dibayar semula.Terima kasih banyak.'
' Ok je. Bila-bila. Rilek-rilek la', kau menjawab.

Dia berlalu. Kau terpinga. Sedemikian pantas.
Dalam perjalanan pulang, kau senyum-senyum sendirian. Betapa hari kau yang ini, diatur Tuhan untuk membantunya.
1. Jarang pula tiada duit.
2. Yang ada berbaki tepat-tepat 10. Dari 10 euro ditukar tepat 10 JD.
3. Kalau dia minta 20, 30, mungkin kau terpaksa ke bank 'cucuk' duit. Kad ATM tak bawa.
4. Kalau dia minta 5, tentu kau terpaksa memecah dahulu membeli apa-apa.
5. Oh, bertemu di masjid. Selalunya bukan kau rajin pun ke masjid waktu Asar terik-terik begini.

Kau balik tanpa duit, tekak tetap kering, tanpa aiskrim..tapi..

..terbitlah sayu manis bahagia dalam hati engkau. Kau bersyukur, diberi pelung untuk 'memberi', sedang kau tahu sekali dalam 'pemberian' itu, kaulah yang paling banyak menerima.



______________________________________________

Kisah Dua


Ini hari kelima kau berada di Masjidilharam. Semalam sudah mengerjakan umrah, hari ini mahu 'rehat' sahaja, putusmu. Tilawah Al Quran. Setelah beberapa lama, bilal iqamat untuk solat Zohor.

Jemaah bangkit menyusun saf. Di kananmu ada ruang kosong. Seorang pakcik mengisi ruang. Oh, baju melayu. Makanya tentu orang melayu.

Solat.

Usai solat kau menegur pakcik itu.. Tanyakan nama, asal, sudah berapa hari di masjidilharam, hari berbaki, dan lain-lain. Semasa bersembang, kau perasan terkadang pakcik itu membuang pandang, atau tidak melihat kau penuh. Kau terasa canggung. Dia pun tahu agaknya, lalu menjelaskan,

"Pak cik tak boleh la tengok muka kau. Macam anak pakcik."
Kau gamam. Lama sunyi merai.
" Dia meninggal lama dulu. Kalau dia masih hidup, mesti dia baya-baya kau. Dia meninggal umur 18 tahun."
Nadanya sebak. Kali ini dia memandang kau penuh. Kaulihat ada air mata bergenang.
Kalian bersembang lagi beberapa lama.
"Moga arwah baik-baik sahaja."
"Itulah. Pakcik selalu mendoakan. Pakcik rindu dengan dia. Arwah anak yang baik."

Dia tidak boleh lama, ada urusan. Saat mahu berpisah, tiba-tiba beliau menyelitkan beberapa keping not US dolar ke poket jubah kau,
"Pakcik takde apa-apa nak beri. Ambillah ni. Belajar rajin-rajin." katanya seraya menepuk mesra bahu kau.

Kau menolak juga, tapi beliau bersungguh. Terima kasih kau ucap. Beliau bergerak keluar. Kau mengekornya dengan pandangan mata. Kaulihat beliau berdiri mengangkat tangan berdoa menghadap Kaabah. Lama. Kau meneka, tentu dia berdoa untuk kesejahteraan anaknya. Melihatnya, kau dalam diam yang dalam turut memanjatkan doa, moga anaknya aman di syurga. Kau berdoa juga, agar kalian dapat bertemu mesra, saling menjadi tetamu, bersama ayahnya.

Kau turut sebak. Takut juga, ajal manusia tidak menurut umur. Namun..

...terbitlah sayu manis bahagia dalam hati engkau.  Kau bersyukur, diberi pelung untuk 'menerima', sedang kau tahu sekali dalam 'penerimaan' itu, kau yang lebih banyak 'memberi'.

Bukan kau yang meminta, punya wajah seiras sedemikian rupa. Begitulah, Tuhan punya cara tak terkira mengubat lara manusia.

___________________________________________

Ada seseorang pernah mengadukan pada saya.
" Aku rasa hidup aku ni tak bagi kesan pada orang. Aku takut."

Saya diam berfikir.

Mustahil begitu. Kita tentu memberi kesan. Ya, baik atau buruk. Kadang dengan cara yang tak tersangka. Dengan cara yang 'tak ditunjukkan' pada kita. Dengan... ajaib.

Betapa susunan hidup kita sentiasa punya keterkaitan dengan orang lain. Kehadiran kita sahaja ke dunia membuah senyum ibu bapa, mungkin jadi anak murid 'paling menguji' guru-guru, saat ini 'dipersiapkan' menjadi seorang suami, 'dipersiapkan' menjadi ayah. Mungkin Allah ingin mempersiapkan hidup kita untuk nanti menjadi sebab hidayah seorang manusia. Memeriahkan rahmat kasih sayang Tuhan atas muka dunia.

Saya rasa sangat indah, seperti dalam dua kisah di atas, kita diperlihatkan bahawa mungkin Allah menyediakan kita sebagai jawapan sebuah doa hamba-Nya. Allah. Terharu. Tanpa sedar, tanpa niat pun.

Mungkin Tuhan mahu menyindir, menegur halus agar kita sentiasa menyediakan diri membantu sesiapa. Menegur halus bahawa di tangan-Nya lah segala kebaikan. Agar kita tidak lupa berdoa dalam berusaha,
" Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan menyembah-Mu dengan sebaiknya"

Bahagia dalam memberi. Bahagia juga dalam menerima.

__________________________________________

Sampai satu masa, sesama kita, antara pemberi dan penerima, kaburlah garisnya.

Kerana semua kita adalah penerima, faqir, sedang Tuhan adalah Pemberi yang sebenarnya!



18 comments:

Unknown said...

ni boleh masuk ni.

Anonymous said...

ini indah...sangat terkesan... terima kasih untuk perkongsian.. semoga saham akhirat mengalir buatmu... ~N~

emirhasnan said...

:)

Akhyar said...

lawa la nip.

thanks

nousya said...

indah dan bernas :)

Anonymous said...

Senyum.

Nak luahkan tak terluah. Dah dua kali mcm ni. Terima kasih!

~PENCHENTA~ said...

Suka yang ni. :)

Terbaik. :))

Aeman said...

masyaAllah. nice one.

Anonymous said...

Allah. Allah.

Hidup, tanpa sedar, diatur indah.

-kawan lama-

zikri said...

tak mungkin kita memberi tanpa memiliki,,
utk memiliki,harus meminta..
bila diberi,terimalah bahawa ia bukan milik mutlak kita..

Mn Salam said...

Like this post. Terima kasih Haniff. Kisah kedua pernah dengar dari lidah penulis sendiri. :P

tepianmuara said...

hazen,
hah.

N,
huh.
Amin.

selamatlah.


Cidak,
apa senyum-senyum.
tengah marah ngan ko ni.

haha.


Akhyar,
=)

kembali.


nousya,
Alhamdulillah.



Anon,
Memang keja orang yang menulis kot tu. =)


Penchenta,
Alhamdulillah.


Najwa Aiman,
Alhamdulillah.


Kawan lama,
suka sungguh kau guna 'kawan lama' ni kan. lama sangat ke. hah.=)

hidup memang indah.


hanis,
menerima adalah sebahagian dari memberi.



Salam,
oh, ye ke?
haha.

Nur said...

Haniff,

Salams,

" Aku rasa hidup aku ni tak bagi kesan pada orang. Aku takut."

I always feel this way when I want to write something in my blog. Afraid if my writing doesn't count for something. Also, afraid that my existence is just... an existence. Without being richly meaningful.

Such an apprehension that calls for a justification requires a huge effort.

But, as Phantom Blogger put it - let's Allah be the judge. Not a human, certainly humans.

tepianmuara said...

Teringat pula, Buya Hamba ada menuliskan, sebagai pentutup salah satu tulisannya,
'moga-moga niat baikku ini bersetujulah dengan Taufiq Tuhan!'

Pada kita, doa, usaha.

'let's Allah be the judge. Not a human, certainly humans.'

She put it beautifully. Indeed.

Syahida Majid said...

Ni apesal sedap sangat neh




terasa ke lubuk hati paling dalam. Eh, macam Siti.

bab duit itu, lagi-lagi



aneh juga bila mengetahui, ada orang terkesan dgn sengalnya kita. Lebih aneh, orang itu di hujung dunia


'Setiap ciptaan dipermudahkan untuk tujuan penciptaannya'


Jadilah sengal untuk hamba mengenal pencipta. cewah

tepianmuara said...

fuhhh.

sengal?
asal bau keji yang sangat kuat niiiiiiiiii...

Aaaaaaaa...

(peluh)

harap-harap masing-masing tak faham.

sengal.

Ain Mardhiah said...

baru terbaca.

like2.

tepianmuara said...

Kak Ainul Arina,

=)