10 February 2012

Memoir Andalus I

Al Hambra, Granada

Giralda, Seville

 Masjid Cordova

Guadalquivir


Puisi Fahd Razy, Al Andalus Menangis

Andalus, seribu musim kau merawat parah di ruang kendiri
saat laung istighfar Alhambra menjagakan marga langit
dengan seribu sengsara
dan pada detik berdarah itu
kiblat yang dicabut dari ladang ibadat ini
adalah kerebahan yang tidak tertebuspun oleh
sebungkus doa kita yang renyuk.

Sudah lewat berzaman tidurmu ditertawakan
dentingan genta dari Giralda
melepaskan angin Mediteranean berpeleseran dirasuk rindu buat Tariq
mencari jika masih tercicir
lagu-lagu muazzin yang rendah berbicara dengan langit
di mimbar Cordoba ini,
pun aku masih berdiri di sini, di tubir zaman
membaca ranumnya puisi luka Guadalquivir
bagai mengutip pepasir sesal di dasar arus yang teresak-esak
dalam rajuk yang panjang.

Masih akrabkah cinta dalam mimpimu, Andalus.
pabila sejarah adalah cagaran buat syahadah
yang kita teduhkan di rimba nurani ini?
Atau telah mungkinkah tanah ini tersumpah
sesudah nafsu tumpah membanjiri sebuah riwayatmu
dalam amukan langit yang murka.

Dalam iktikaf usia ini sempat kau bertanyakan kepada kami
milik siapakah dosa ini?

Al Andalus, sesudah lelah
hadiah ziarahku kau jawab dengan salam curiga
saat diammu
merahsiakan tajamnya sebuah tangisan.





Antologi 'Kalau Kita Menjadi Kayu' 2006
________________________________________




Saya masih ingat lagi kali pertama membaca puisi ini, semasa di tingkatan empat sekolah atas bukit. Petang itu hingar dengan suara pelajar asrama bermain bola tampar di gelanggang belakang, bertingkah jirus kocak air pelajar membasuh baju dan mandi di kolah sebelah. Cahaya senja tajam dan terang meluru masuk dari celah tingkap dorm B12 yang rompong-rompong itu.


Saya bersandar di penjuru katil, menyudahkan bacaan Antologi Kalau Kita Menjadi Kayu yang dipinjam di perpustakaan, lalu menemui puisi ini. Terharu. Benar-benar terharu. Benar saya belum kenal Andalus ( selain firqah hijau yang agak selalu menang di sekolah kami). Saya juga belum kenal sebaris nama Al Hambra, Giralda, Tariq, Cordoba, dan Guadalquivir yang kaya di lembar sejarahnya, tapi rasa luka dalam puisi ini mengalir deras dalam jiwa saya.


Dan saat itu, terlintas sejenak hasrat untuk menjejakkan kaki ke sana, tanah yang tersebut Andalus dalam puisi. Secebis angan. Sepatah doa.


Manalah saya tahu, rupanya puisi ini, dengan izin Tuhan, menghantar saya ke Andalus sampai dua kali!


Di sana ia bermula.




___________________________


Subuh-subuh selepas pulang berjalan-jalan, Abang Firdaus telah menghidang soalan,
" Anip dapat apa ke Andalusia kali kedua ni?"


Fuh, saya masih belum tahu bagaimana menjamahnya. Hopefully, soon..



7 comments:

atiqah said...

andalus salu kalah lah,,basrah salu mng..heh.(dlm byk2 y ni aku nk comment)

arina said...

2 kali tuuuu. :D dah macam kampung sendiri ye, Nip? haha. akak pun tibe2 rindu kat al-hambra. tapi tak sanggup nak pegi sekali lagi sebab takut terhiba2, sedih, jiwa diruntun pilu... lalu tersendu2 eh alamak buat drama pulak kat komen huhu.

tepianmuara said...

>atiqah

weh, kau dulu bukan dimashq ke?
haa


>kak arina
haruslah drama.

kene pi tempat ceria-ceria lah kalau camtu.

Anonymous said...

Salam, boleh saya copy all picture and guna pic tuh?

tepianmuara said...

waalaikumussalam.

cuma gambar last gambar saya, gunalah. yang lain, pun saya minta izin orang lain.

err, tapi peliklah, mintak izin tapi tak bagitau siapa. (?)

selamat!

Anonymous said...

pink sky! SUBHANALLAH! sbg pelajar seni, sy selalu terkejut dan rasa takjub dgn cara Ilahi memberikan warna2 pada alam ini. x ramai org menikmati keindahan warna2 ini.

tepianmuara said...

=)

betul-betul.


warna pun ada bahasanya sendiri kan.