29 March 2012

Patutlah



orang-orang kata, melihat dari luar tak sama dengan melihat dari dalam.
orang lain kata, pandangan dari atas lebih jelas, di bawah tentu terbatas.

mahu ke dalam perlu membayar.
mahu ke atas perlu mendaki.

tapi kadang orang di luar dan orang di bawah hairan,
mengapa ada yang di dalam dan di atas
menapak keluar, melangkah turun?

petah dan hujah kadang tak sehaluan.
bezanya satu hebat sekarang,
satunya hebat kemudian.

Patutlah.


pulang awal
(saya sayang.)



_____________________________________

Pemandangan dari Castle of Gibralfero, Malaga. Cuaca panas, baju tebal, masing-masing kasut but berat, tapi gagahkan juga mendaki. (padahal baru di awal siri perjalanan, patutnya bertenaga lah).




Lawalah Malaga. Serius.


Cuma kalau malas mendaki...


hmph.

_____________________________

Cis lah dia curi sejam. cis cis. hehe
Selamat datang musim bunga (panas).

27 March 2012

Cinta




Malaga




Cinta mengikat,
dan kita

bebas di dalamnya.

25 March 2012

Inilah Saatnya


Saya menemukan 'hikmah' ini dalam petikan surat Cak Nur kepada puterinya,

"Kerana itu, inilah saatnya kamu menetapkan kearifan,

lebih baik mandi keringat saat latihan
daripada mandi darah saat pertempuran.

Lebih baik bersusah payah saat persiapan
daripada menerima derita nestapa saat perjalanan."



23 March 2012

Rajawali

I
Sebuah sangkar besi
tidak bias merubah seekor rajawali
menjadi seekor burung nuri.

-WS Rendra-


II
dari 'those were the days..'
kepada
we are, we are, youth of the nation!


III
oh, tanpa perlu menjadi raja mana-mana wali, 
kita cuma perlu menjadi raja diri sendiri.


21 March 2012

Buatmu Sakura


menghidu warna dan lagu
merasakan rindu
indera yang hilang

tak semua kemanisan adalah manis.

Memandang Pejuang

-Monumento nazionale a Vittorio Emanuele II Rome, merayau mencari pintu masuk Colesseum-


Sering sahaja saya kagum, pada pejuang-pejuang. Ada yang masyhur namanya disebut orang. Sejarahnya dibaca diambil iktibar. Ada yang menjadi tulang belakang tanpa dikenal. Sejarahnya lembaran tersimpan.

Gelanggang mereka berbeza. Setengahnya pejuang kemerdekaan, setengahnya pendiri bangsa, setengahnya 'pembaharu' agama. Atau mungkin hanya kita yang melabel berbeza. Dia seorang boleh jadi semua. Satu persamaan biasa; keras mahunya, teguh langkahnya ke muka. 


Sepanjang perjalanan hidup singkat ini, saya melihat juga kelibat 'bakal-bakal pejuang'.
Satu malam, entah bagaimana, saya bermimpi dengan imej yang cukup jelas sekali, seorang yang saya kagumi, mengatakan,

'Orang selalu lihat tegang urat di leher aku ini tanda ketabahan, gagahnya aku menghadapi hidup, tapi orang tidak tahu, ia menanggung tangisan, letih, sengsara yang aku pendamkan.'

Tersentak saya terjaga. Berpeluh.

Rupanya di sebalik tirai, kadang terhidang sebuah duka.
(Saya antara orang yang percaya, mimpi yang ntahapaapa pun sebenarnya, sekurangnya adaapaapa)

Kagum jangan sampai berlepas diri.
Sentiasa ada bantuan yang boleh kita hulurkan. Satu senyuman bisa meringankan beban, meski mungkin jauh dari menyelesaikan. Satu pertanyaan kecil dengan niat benar untuk membantu mungkin benar akan membantu.

___________________________________

( Catatan di atas ini telah saya tulis hampir setahun lalu, tidak lama setelah pulang dari Kembara Spain Itali. Namun saya tidak dapat menyambung.. sehinggalah hari ini)

Dulu terfikir juga, tapi akhirnya baru saya berputus asa untuk meragui bahawa,
'lebihan beban mereka sebenarnya adalah tanggungjawab kita'

itu sahaja nak tambah. Ulanglah seratus kali ayat di atas, kemudian tidurlah malam ini dengan lena.

hah.

19 March 2012

saudara saudagar

Disebut oleh Buya HAMKA, dalam satu bukunya, (saya ulas) bahawa bijak sekali nenek moyang kita memilihkan perkataan,

su maksudnya seribu
dagar maksudnya tipu.

su-dagar, hari ini disebut 'saudagar' asalnya membawa maksud seribu tipu.
Saudagar dilambangkan orang yang bijak berhelah berjual beli.

sekali lagi.

su maksudnya seribu
dara maksudnya cinta

su-dara, hari ini disebut 'saudara' asalnya membawa maksud seribu cinta.
Saudara dilambangkan orang yang sungguh-sungguh disayangi.


wah, indah bukan?

saya terfikir, entah apa-apa lagi rahsia yang tersembunyi disebalik perkataan yang kita gunakan sehari-hari.
di sebalik pantun-pantun lama, tentunya ada pesan-pesan istimewa nenek moyang kita.

setuju saudara?

17 March 2012

Memasak dan Menulis

Saya ingin sekali menulis. Sungguh. Tapi setiap kali saya menekan-menekan papan kekunci ini, setiap itu seolah ada yang hilang. Banyak entri yang tak dapat disudahkan, sudahnya saya simpan dalam draft.

Mungkin kerana mengenangkan peperiksaan. hah. I'm not in good position. Tapi, selalunya, bila risau-risau bersedia untuk peperiksaan, saya akan lebih banyak menulis. Atau saya sudah berubah. Tapi, sepatutnya menurut logik, dengan itu (kurang menulis), saya akan lebih banyak study. Tak juga. hehe.

Perubahan musim mungkin. Oh, saya sayangkan winter. Teruja memang dengan kuntum-kuntum bunga, tapi...

Selalu kalau sedang 'gila' begini, saya akan ke dapur memasak. Oh, sem ini dan sem lepas memang sudah kurang memasak, sebab selalu membeli juadah melayu masakan ibu dari Warung Usom. Lalu kelmarin sepulang dari jamiah, tiba-tiba saya memutuskan untuk masak rendang. Lengkuas, kerisik, daun kunyit, dan daun limau purut, semua bahan-bahan yang dihantar mak dari tanah air.

Saya juga tak tahu mengapa memasak ni bes. Sedangkan tidaklah melibatkan aktiviti fizikal berat-berat, yang dikaitkan dengan release stress, kecualilah kalau memasak untuk ratus-ratus orang. Teringat sejarah mula-mula memasak. Satu, kerana tercabar dengan seorang rakan yang 'berupaya' memasak untuk seisi keluarga. Masa tu tingkatan empat. Tercabar sebab di sekolah dia kelihatan otai, kasar, dan sangat kelelakian. Oh ya, dia perempuan.

Kedua, sebab tercabar juga. Kali ni Hanis. Kami bila pulang bercuti dari sekolah atas bukit, selalu membahagikan kerja-kerja rumah. Dia basuh baju, saya kena sidai, contoh. Memang saya liat. Tahunya menonton televisyen, bermain PS2, atau membaca surat khabar, dan novel. Antara perjanjian tak rasmi kami, kalau dia memasak juadah tengah hari, saya perlu menyapu ruang tamu atas, bawah hadapan, dan dapur. Mula-mula oklah. Lama-lama saya rasa berat sebelah, sebab saya fikir, senang betul kerja memasak. haha. Lalu saya mencuba, tak ada masalah pun sebenarnya. Hanis yang lama 'beruntung' buat kerja sikit, dan rehat lepas tu. Cis.

( Kenapa saya cerita ni tak pasal-pasal? ish)

Paling seronok tentang memasak ada dua juga. Pertama, semasa mencampak bahan-bahan. Saya jarang menyukat bahan, biasa ikut sedap rasa je. Masa ni saya selalu memikirkan interaksi antara bahan yang sedia ada dalam kuali, dan bahan yang baru dimasukkan. Entah. Kerana saya percaya mereka berjiwa, tentu mereka sama-sama berusaha memberikan yang terbaik, saling membantu membuahkan rasa memenuhi kehendak tukang masak. Sebab itu, bila tukang masak sedang 'keruh', sukar masakannya akan baik. Sebab itu, masakan ibu sentiasa paling sedap, paling lazat, paling buat kita teringat-ingat.

Kedua, semasa melihat orang makan masakan kita sampai licin. Saya rasa, tentang ini, sama sahaja kepada semua yang masak. Kita memberi, tapi kita tahu sebenarnya, kitalah yang lebih banyak menerima.

Oh, nak sebut apa lagi ya?

Hmm, saya terfikir baru ini, semasa membaca tulisan HAMKA, bahawa dia juga setelah bertahun-tahun, 'pulang' membaca tulisannya sendiri, mencari manfaat dari tulisannya sendiri, lalu rugilah jika saya tidak. Pada saya, setiap penulis paling kenal jiwa di sebalik penulisannya. Itu terlebih penting pada saya. Mungkin sekali ada pembaca 'berpengalaman' dan halus yang dapat menangkap jiwa di sebalik baris ayat dan binaan kata, tapi mungkin juga dalam banyak betulnya, dia tersilap. Tidak penulis. Saya yakin, dia kenal tulisannya, walau mungkin dia tidak tahu dari ceruk jiwa mana ia mula terhasil. err, keliru ke?

Lalu, saya telusuri tulisan-tulisan saya. Ada yang di dalam blog, dan yang lebih banyak dalam buku-buku conteng, dalam e mail-e mail yang saya kirimkan. Dan saya rasa ingin berkongsi tulisan yang saya kirimkan kepada seorang yang amat saya hormati, dalam entri seterusnya. Nanti. InsyaAllah.

Fuhh.

Mungkin sebenarnya benar, memasak dan menulis, adalah sama. Rencah, bahan utamanya, adalah jiwa.
Buat sayang-sayang sekalian, selamat memasak, dan selamat menulis!

16 March 2012

vertigo

Camera Obscura, Edinburgh



ada masa-masa dalam hidup
kita perlu pejamkan mata
dan terus melangkah.

12 March 2012

jerit.











demi esok.

11 March 2012

every action is a reaction


every dream is a dream.

06 March 2012

saya tiada apa-apa untuk ditulis, lalu saya selongkar lecture notes lepas-lepas mencari apa-apa yang terkambus

(sebelum purnama. tiada kaitan langsung. hah)


sembang-sembang bulan purnama.

bulan lawawawa.

maghrib, menuruni bukit perjalanan pulang ke rumah. di hadapan, sisa senja masih berbara. di belakang bulan penuh melepaskan. pandang ke hadapan, dia tersenyum. kejap-kejap lagi dia menoleh kembali ke belakang. Oh, bulan masih di situ. senyum lagi. hati senang dada lapang.

dia tahu, sungguh-sungguh tahu, di masa-masa lelah hadapan nanti, dia akan merindui jalan pulang ini.

sekali-sekali berjalan pulang, dia terasa angin mengelus. kadang halus mesra. kadang keras mencengkam bisa dinginnya. ada masa-masa (selalu sebenarnya) dia berhenti berjalan dan mendepakan tangan. mendengar lagu angin dimainkan daunan. membiar angin berlalu di celahan jemarinya. benar dia tidak mengerti butir bicara angin. kisahnya resahnya impinya. sekurangnya, dia di luar. tapi dia tahu, 'dia' yang di dalam dada itu cukup mengerti. tidak kurang selalu, yang disampaikan angin, adalah kisahnya sendiri.

kadang ingin sekali dia menjadi seperti angin. mengkhabarkan kisahnya tanpa perlu kelihatan. menghiburkan yang berduka, kemudian berlalu pergi tanpa merasa perlu sedikitpun balasan. kadang pula menampar menyedarkan tanpa perlu risau sedikitpun cercaan.

angin sepertinya tidak terkawal.
dia boleh menjadi siapa sahaja.
seperti angin, dia ingin sekali menjadi perantau. yang sepulangnya nanti mengisahkan warna dunia.
dan seperti angin, dia ingin sekali menyerikan hujan. walau bukan dia yang diraikan.

dia mengharapkan, yang tertulis dalam lembar-lembar ini akan menjadi anginnya. satu hari yang jauh, satu masa yang panjang, setelah dia 'tidak langsung menjadi apa-apa yang disebut orang', tinggallah tulisannya sebagai angin.

biarlah lemah halus.
sekali lagi, menghiburkan yang berduka.
menampar menyedarkan.
kemudian berlalu lagi...
sepanjang zaman berlangsung, mungkin angin akan sunyi, mendiami daerah tak terkunjung.
namun tetap jua ia menegur jika ada yang tertulis melewati. biar seorang setelah puluhan.

tapi dia juga sedar, tulisan yang mahu menjadi angin, akan melalui perjalanan panjang. dia dan ia harus tabah, dia harus berani, mungkin jua dia harus bijaksana.
di atas semua, angin harus jujur. angin harus tulus. dia tidak mahu menjadi angin yang selamanya menghantar debu. mengotor menutup pandangan.

jua dia pasti tentang satu perkara,

'biarlah angin itu berhembus mengejar zaman hanya setelah mendapat redha Tuhan, bukan angin celaru mencari mangsa melepaskan resahnya!'


_______________________________

lecture note physio, entah zaman bila. haha