21 March 2012

Memandang Pejuang

-Monumento nazionale a Vittorio Emanuele II Rome, merayau mencari pintu masuk Colesseum-


Sering sahaja saya kagum, pada pejuang-pejuang. Ada yang masyhur namanya disebut orang. Sejarahnya dibaca diambil iktibar. Ada yang menjadi tulang belakang tanpa dikenal. Sejarahnya lembaran tersimpan.

Gelanggang mereka berbeza. Setengahnya pejuang kemerdekaan, setengahnya pendiri bangsa, setengahnya 'pembaharu' agama. Atau mungkin hanya kita yang melabel berbeza. Dia seorang boleh jadi semua. Satu persamaan biasa; keras mahunya, teguh langkahnya ke muka. 


Sepanjang perjalanan hidup singkat ini, saya melihat juga kelibat 'bakal-bakal pejuang'.
Satu malam, entah bagaimana, saya bermimpi dengan imej yang cukup jelas sekali, seorang yang saya kagumi, mengatakan,

'Orang selalu lihat tegang urat di leher aku ini tanda ketabahan, gagahnya aku menghadapi hidup, tapi orang tidak tahu, ia menanggung tangisan, letih, sengsara yang aku pendamkan.'

Tersentak saya terjaga. Berpeluh.

Rupanya di sebalik tirai, kadang terhidang sebuah duka.
(Saya antara orang yang percaya, mimpi yang ntahapaapa pun sebenarnya, sekurangnya adaapaapa)

Kagum jangan sampai berlepas diri.
Sentiasa ada bantuan yang boleh kita hulurkan. Satu senyuman bisa meringankan beban, meski mungkin jauh dari menyelesaikan. Satu pertanyaan kecil dengan niat benar untuk membantu mungkin benar akan membantu.

___________________________________

( Catatan di atas ini telah saya tulis hampir setahun lalu, tidak lama setelah pulang dari Kembara Spain Itali. Namun saya tidak dapat menyambung.. sehinggalah hari ini)

Dulu terfikir juga, tapi akhirnya baru saya berputus asa untuk meragui bahawa,
'lebihan beban mereka sebenarnya adalah tanggungjawab kita'

itu sahaja nak tambah. Ulanglah seratus kali ayat di atas, kemudian tidurlah malam ini dengan lena.

hah.

No comments: