Mari meriahkan!
Jangan lupa.
Hari pertama bulan Zulhijjah 1430H jatuh pada hari Rabu, 18 November 2009. Hari Arafah, pada tarikh 9 Zulhijjah bersamaan 26 November diikuti Hari Raya Aidiladha keesokan harinya.
Pengorbanan Nabi Ibrahim.
Sudah tentu kita sudah sedia maklum tentang sejarah pensyariatan Ibadah korban ini. Mungkin sudah ratusan kali kita mendengarnya. Namun, biarlah kita bertanya kepada diri sendiri, sejauhmana kita menghayati dan mengambil ibrah daripadanya. Adakah kisah Nabi Ibrahim yang diperintahkan Allah menyembelih anaknya dianggap hanya kisah tipikal Islam tentang pengorbanan ataupun kisah ini sentiasa menyentuh nurani kita lantas meniupkan ruh iman dalam diri. Menyoroti kembali pengorbanan Nabi Allah Ibrahim, yang digelar Khalilur Rahman dan anaknya Nabi Allah Ismail memperlihatkan kepada kita penyerahan seluruh jiwa raga untuk menunaikan perintah Allah.
Pengorbanan Nabi Ibrahim bermula lebih awal. Baginda diperintahkan Allah meninggalkan Hajar, dan Ismail yang masih bayi di Bumi Mekah yang ketika itu gersang kering kontang. Cuba kita bayangkan situasi ini. Setelah mendambakan seorang anak buat sekian lama, Nabi Ibrahim berdepan ujian untuk berpisah meninggalkan anak isterinya sendirian. Namun kerana iman yang jitu, baginda redha dan yakin anak dan isterinya berada bawah perlindungan Allah.
Ismail membesar menjadi anak yang berperibadi mulia. Ketika ini, sekali lagi Allah menguji mereka. Kisah agung ini dirakamkan oleh Allah dalam Surah As Saffat, ayat 102 hingga 107. Nabi Ibrahim mendapat mimpi menyembelih anak kesayangannya sendiri.
Apabila hal ini disampaikan kepada anaknya Ismail, baginda lantas menyetujui perintah Allah itu. Ketika ini, syaitan muncul menyerupai seorang lelaki tua cuba menimbulkan keraguan. Usaha syaitan itu nyata sia-sia, ia dibaling dengan tujuh batu, tiga kali. Tempat balingan oleh Nabi Ismail dinamakan Jamratul Sughra.Oleh Hajar, dinamakan Jamratul Wusto. Oleh Nabi Ibrahim, dinamakan Jamratul Kubra. Simbolik balingan batu ini menunjukkan penentangan kita terhadap syaitan dan dilaksanakan jemaah haji saban tahun.
Dengan rela hati, Nabi ismail membelakangi badannya ke arah Nabi Ibrahim lantas bersedia untuk dikorbankan. Pada saat genting pisau sudah di leher, tatkala mereka sudah berserah dan pasrah dalam ketaatan, Jibril turun membawa seekor kibas untuk dikorbankan dan Allah membatalkan perintah mengorbankan Ismail.
Seluruh kisah ini antara lain menunjukkan kepada kita bahawa setiap pengorbanan pasti tersedia ganjaran. Pengorbanan meninggalkan maksiat. Pengorbanan bangkit awal untuk Solat Subuh. Pengorbanan masa membaca Al Quran. Pengorbanan harta memberi yang lebih perlu.
Cuma kadang-kadang kita telah berputus asa lebih awal, menyebabkan ganjaran itu tertahan. Tatkala kita dibelenggu masalah yang amat sarat, ingatlah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang jauh lebih berat. Ketika kita menempuh cabaran dan godaan untuk melaksanakan perintah-Nya, ingatlah keazaman Nabi Ibrahim. Ketika kita merasai pahitnya hidup belajar dan berjuang di jalan Allah lalu kita memikirkan, “mengapa ujian buatku seberat ini?”…
Ingatlah...'kerana syurga itu manis...'
Olahan/ringkasan tak bertauliah dari sebuah artikel yang dipetik dari amrkhaled.net.
Klik sini untuk keseluruhan artikel.
No comments:
Post a Comment