" Siapa kita menetap musim meminta,
sedang Dia memberi setiap masa."
- Status YM Abang Naqeb sebelum kami bertolak-
I
Saat ini,
akhir tulisanku,
Kau telah tahu,
sedang aku tidak.
Hidupku ini,
Awalnya, rezekinya, jodohnya, akhirnya,
Justeru, Tempat Kembalinya,
Kau telah tahu,
sedang aku tidak.
Tiadalah tenang bagiku, melainkan dari ihsan-Mu,
Tiadalah ilmu padaku, melainkan atas kurnia-Mu,
Tiadalah terbit ikhlas dariku, melainkan dengan belas-Mu.
Aku berusaha,
Terhenti pada nazar akal,
jangkau langkahan hati,
dan upaya zahirku.
Hujung usaha itu,
Kau telah tahu,
sedang aku tidak.
Padaku doa,
Maka;
Segala lintas rasa hati ini,
Kau sucikanlah.
Semua gerak fikir ini,
Kau murnikanlah.
Sungguh aku tidak tahu,
Amal baikku, jikalau ada,
mana Kau perkenan redha tak terhitung-Mu.
Sungguh aku tidak tahu,
Angkara dosaku, tentunya tak terkira,
mana terselamat amarah murka-Mu.
Namun kutahu,
Sungguh kuyakin,
Rahmat-Mu mendahului murka-Mu,
dan putus asa itu,
pilihan jalan mereka yang Kau sesatkan.
Namun kurisau,
Sungguh ku gentar,
Aku antara yang 'tertipu' dengan Rahman dan Rahim-Mu,
Lantas merasa dosa bisa berlalu seperti awan gelap pada hari terang.
II
Dan Isa, Sang Nabi itu berkata,
untuk kaumnya,
"Jika engkau menyeksa mereka,
maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu.
dan jika Engkau mengampuni mereka,
sesungguhnya Engkau Maha Perkasa, Maha Bijaksana."
Dikhabarkan padaku,
hening subuh itu,
Junjungan Agung kami, Nabi Muhammad,
ketika membaca ayat ini,
mengangkat tangannya berdoa,
beserta aliran air mata,
"Allahumma ummati...ummati..."
Alangkah!
Alangkah!
Alangkah!
Ya Allah,
Sungguh jika Kau menyeksaku,
atas lumur lumpur dosaku,
dan taubat-taubat liarku,
Itulah selayaknya,
sedang aku hamba kerdil-Mu.
Ya Allah,
Sungguh jika Kau mengampuniku,
Atas limpah luas maghfirah-Mu,
dan rahmat-Mu nan tak terbatas,
Engkau Maha Perkasa,
berbuat sekehendak-Mu,
lagi Maha Bijaksana.
Namun, sekiranya jua,
Kau menyeksaku,
Tetaplah kau Maha Perkasa, Maha Bijaksana.
Dan sekiranya jua,
Kau mengampuniku,
Tetaplah aku,
hamba kerdil-Mu.
Segala rasa ini,
Kau peliharalah ya Allah,
dari menjadi,
rasa palsu yang sebenarnya menipuku.
***
Hadapan Kaabah.
Malam-malam awal di Mekah.
Dan Tuhan tetap ada pada bila-bila di mana-mana.
_________________________________________"dalam rasa paling rendah ku angkat cinta."
Sepatutnya ini hanya untuk simpanan peribadi kan.
Entahlah.
Salah silap tolong tegur.
Doakan niat di hati ini lurus ya!
9 comments:
berkongsi tak salah
assalam.
mmg kite tersangat kerdil.
sedangkan rasul sendiri selalu meminta ampun kepada ALLAH.
apatah lg kite manusia biasa.
ya Allah..
indahnya. bilalah boleh jadi macam ko.
Allahu akram.
subhanallah.
Teruslah menulis dan menyentuh hati-hati manusia dengan izin-Nya. Amin ya rabb.
kagum.
salam.
this is just too beautiful for words. :') Doa akan terus mengiringi kamu, insyaAllah.
:)
setuju dengan komen teratas.. tidak salah untuk berkongsi.. kan nep?
jadi.. teruskan berkongsi..
share is care, and care to share
>Raihana, Nidzam
...dan tak semestinya betul kan..
moga jadi hujjatun lana bagi kita yang menulis dan membaca.
bukan...
haih.
>arekymz
tersangatlah.
moga dikuatkan untuk terus meminta,mengharap, berdoa.Sungguh itu satu nikmat.
>hazen
"hanya orang rendah diri tahu orang yang rendah diri"
Nyatalah, aku masih bukan ahli.
>Kak Balqis
owh,akak.
ingin terus belajar dari yang sudah tiba ke destinasi. (salah satu, tentunya)
trimas.
>nhmnrh
wsalam.
Risau yang ditulis tidak selari dengan yang sebenar di hati..belum sebut amal..
terima kasih.
Segala rasa ini,
Kau peliharalah ya Allah,
dari menjadi,
rasa palsu yang sebenarnya menipuku..
`rasa palsu` ini...sungguh menakutkan!
Allah..
lindungilah...
>mujahidah
Ameen.ameen.ameen.
Post a Comment