30 June 2011

Ibu



Kelmarin ke Parit 7, Sungai Sumun.
Menziarahi ibu susu, sebelah kanan saya dalam gambar. Aishah namanya. Panggilan mesra Mak Cah.
Ya, adik beradik kandung saya ada tiga. Dan dengan tambahan dua ibu susu, saya ada 12 adik beradik.
Dari Mak Cah tambah lima, dari Lek Esah ( Aishah juga ) tambah empat.

Dulu mak abah mengajar di SMK Khir Johari, bertemu jodoh di sana, dan di sanalah awal kehidupan kami. Bila pagi mak abah pergi kerja, saya diserahkan kepada Mak Cah. Cerita bagaimana sampai jadi ibu susu tu pun macam insiden juga. haha. Teringat lagi zaman kecil di rumah ini, mandi di pelantar, sedut kertas masuk hidung, ditocangkan oleh akak-akak, blablabla ( padahal itu je yang ingat jelas ).

Saya rasa tradisi ni beslah. Mbah saya pun dah menyusukan entah berbelas-belas orang. Sampai cucunya sendiri ada yang disusukan! Jadi pertalian antara famili jadi erat. Ini sesusu, itu sesusu. Boleh bertepuk tampar. Mesra. Tidak canggung.

Oh, ini kira satu seruanlah. Persusuan (?) menambah persaudaraan. ha.

Aku Sepatutnya Malu Menulis Surat Cinta Kepadamu

Sajak tulisan Zurinah Hassan





Aku sepatutnya malu menulis surat cinta pada-Mu
kerana ia tidak mungkin jadi sempurna
dan setelah terlalu banyak mengingkari-Mu
Kau mungkin tidak sedia menerima.

Mengapa harus aku tiba pada-Mu
bagai seekor kupu-kupu yang meninggalkan rimbanya
keragaman rahsia yang mentaati kata-kata
“tidak kuberi ilmu
melainkan sedikit sahaja”
aku jadi marah pada ketetapan itu
dan meluru menuju lampu
tapi hanya terhumban pada kaca
lalu jatuh ke kaki-Mu
apakah kau sedia memaafkan
carik-carik di kepakku?

Atau apakah kau sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpegun
pada kesempurnaan jari-jari-Mu?

Mengapa aku harus tiba pada-Mu
bagai sungai yang menemui muaranya
dalam murung rasa tua
setelah terlalu banyak meronta
mahu melepaskan diri dari sekatan tebingnya
tapi hanya menambahkan bebanan
sehingga tiba ada keluasan lautmu
apakah Kau sedia memaafkan
kekeruhan di tubuhku?

Atau apakah kau sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpesona
pada kejernihan matamu?

Kau terlalu banyak menyimpan keindahan
mengapakah aku tidak melihatnya dahulu
atau apakah Kau sengaja menyembunyikan
supaya aku jadi lebih kasih pada-Mu?



_________________________________________


Ya. Baru-baru ini banyak memetik tulisan orang.
Saya temui sajak ini dalam timbunan buku di Pesta Buku Selangor, gerai dewan Bahasa dan Pustaka. Buku lama. Terkesan. Lalu saya kongsikan.


Atau apakah kau sengaja
memilih pertemuan begini


....


29 June 2011



Usah usang

kerna kau warisan
meski tanpa lisan.


28 June 2011

Mencari Sahabat





Saya memetik tulisan Buya Hamka dalam '1001 Soal-soal Hidup'.

Maka sebagaimana mencari isteri untuk teman hidupnya dikuatkan dengan akal, mencari temanpun harus di bawah kontrol akal, sebab bersahabat itu hampir sama adanya dengan berkahwin. Cuma kahwin dengan perempuan, pernikahan badan dan roh, pernikahan persahabatan itu perkahwinan roh dan fikiran.

Syarat-syarat teman setia itu sekurang-kurangnya ialah 10 perkara:

1. Jangan lantaran ada maksud yang tak jujur ( udang di sebalik batu ).

2. Hendaklah dia streng ( kuat ) kepada kita pada waktunya tidak mengambil-ambil muka, bersikap terus       terang, bukan mengiya-iyakan perbuatan kita, padahal nyata salah. Sanggup dia hendaknya menyalahi pekerjaan kita salah, walau akan sakit bagi kita menerimanya.

3. Kalau perlu dia suka berkorban untuk kita pada waktunya, sebagaimana kesanggupan kita berkorban untuknya pula. Jadi jangan hanya suka menerima saja, memberi pun sanggup.

4. Tahan hatinya melihat perbuatan kita yang kerap kali berubah tabiat buruk yang ada pada tiap-tiap orang sehingga tidak segera dia naik darah melihat keburukan itu, bahkan dia sabar. Kelak apabila datang angin baik suka dia menunjukkan kesalahan kita itu dengan laku yang patut.

5. Dia terus-terang kepada kita, tidak pernah berbohong, walau pun dengan berdusta itu menurut pertimbangannya akan dapat memeliharakan hati kita.

6. Dihormatinya rumahtangga kita, dimuliakannya kehormatan kita, dan tidak 'lain' pandangannya kepada isteri kita.

7. Lebih utama hendaknya budinya dari kita, luas akalnya, mulia tujuannya. Sehingga dibawanya ke atas, bukan dijatuhkannya supaya duduk bersama-sama dengan dia.

8. Kalau perlu, dia sanggup mengorbankan apa yang perlu dan mahal untuk kita.

9. Dipersetujukan jalan fikirannya dengan jalan fikiran kita.

10. Rahsia kita disimpannya, kita tidak diumpat digunjingnya di belakang kita, pendeknya zahir dan batinnya sama rata di dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kita.



Itulah alamat teman yang setia, sahabat karib, itulah dia keutamaannya. Itulah syarat-syarat orang yang akan dijadikan sahabat. Dan di balik itu, persahabatan itu adalah satu ilmu pula, ilmu itu terbahagi kepada dua garis besar.

Pertama, kesanggupan kita menyelidiki dengan budi yang halus, adakah pada orang yang dijadikan sahabat itu lengkap syarat-syarat tadi ataupun tidak.

Kedua, kesanggupan mencukupkan syarat yang sepuluh itu pada diri sendiri, untuk kita bayarkan pula pada sahabat itu, sehingga budi berbalas, dunia bertebus.
___________________________________________________________


Meneliti sepuluh syarat-syarat yang disebutkan tentulah keutamaannya untuk kita melihat dalam diri. Apakah sudah ada? Antara sepuluh itu, mana yang paling kurang untuk dibenih siram suburkan. Antara 'pati' yang saya kira ingin ditekankan oleh Buya Hamka ialah 'kesanggupan menegur'. Sesuatu yang saya rasakan sukar kita lakukan pada orang yang kita sayang. Sudah terlihat, tapi entah bagaimana menyatakan. 

Itulah pentingnya teman. 'Menjadinya' dan 'mencarinya' adalah antara sekian seni kehidupan.





21 June 2011

Suria di Cordoba

"Bang, kenapa gelak-gelak je ni", mak tegur.
Saya habiskan sisa tawa.

"Takde...cerita ni haa..kat Cordoba..."







Selang beberapa minit,
"Oooo, ni ke Suria.."

Lagi beberapa minit,
" Laaa, mana Cordobanyaaaaaa"

lama lagi kena tunggu nampaknya.

Pertama yang terlintas bila tengok trailer, 'ish, dua orang mamat ni, tak boleh ke bagi 'Suria' aman jejaki sejarah Cordoba tuu. Pi kacau watpe'.

Cordoba, kota lambang keilmuan Islam yang gemilang.

Teringat pula tempoh hari sembang dengan Teacher Iqma, saya sebut,
"blablabla...Cordova tu satu bandar dalam Andalus. Sebahagian. Tapi sebab kita nak stay ABCD, tulah jadi Andalus-Basrah-Cordova-Dimasq"

( sebenarnya saya rasa teacher memang dah tau pun, saje je teacher layan saya )

"Ooo, patutlah Andalus selalu lagi kuat dari Cordova. "
Sama-sama gelak. ( Teacher Iqma adalah pembimbing sejati Andalus dari awal. )



yang ni betul-betul 'Suria di Cordoba'.

Ish, tiba-tiba jadi rindu ( Sadis )
erk.
hah.


Hmm, tapi kan, saya rasa Normah Damanhuri ( ada dalam cerita ni ) dan Fauziah Nawi adalah pelakon watak ibu yang sangat mantap. Kadang-kadang kalau mereka berlakon watak ibu, saya akan tengok 'flow' cerita, kalau agak-agak akan mengalirkan air mata, 'defence mechanism' saya terus suruh jangan tengok. haha.


__________________________

Sekali lagi. 
Semua di Cordova.
Rindu. 



20 June 2011

Udang Galah Lemak Manis.

Ahad lepas, kami balik kampung. Ambil kesempatan memancing di Sungai Perak.
Bertolak selepas solat zohor. Terus menuju ke seberang.

Wak mengemudi.

Abah di depan.

Motif apa gambar ni tak tahu. haha

Masa ni tengah tak dapat ikan. Nak menulis tak bawak pen. Adeh.
Melangut je.



Berehat, menikmati ikan haruan masak cekur.

Senja di tepian muara. Ok, tipu.


Udang galah ni dinaikkan semasa mak sedang tahiyat akhir solat maghrib ( atas bot ).
Tak khusyu' dibuatnya, kata mak.

"Marem! Macam ni dah boleh baik Jordan. "
hah

Akhirnya mendarat atas kuali.
Sebab saya tak pernah masak sebelum ni, rujuk resepi internetlah nampaknya.


Alhamdulillah.





Wan, Zam, bila nak datang???


err..kali ni kelip-kelip tak kelihatan. Merajuk mungkin.



19 June 2011

Senja



Rabu lepas, ke sekolah sekali lagi, bersama Lagenda yang setia.
Sembang dengan Cikgu Raouf, Teacher Rohaizad, Teacher Munirah, dan Teacher Iqma ( ! ).



Kemudian bergerak ke Kampung Bestari, Sungai  Michu, Hulu Langat.
Setelah beberapa peristiwa mendebarkan ( Mak dan Mbokde Sham ), saya pun tiba.
Hasrat utamanya melawat anak saudara yang berusia enam bulan...dalam kandungan. =)

Jumaat baru bertolak pulang ke Tanjong Karang.
Singgah di Pantai Remis. Pesan satu Nasi Goreng Seafood.
Menikmati bayu, menikmati ombak, menikmati mentari.












Entah bagaimana, memandang mentari terbenam itu, ada sesuatu terdetik dalam hati saya.

Pada puncaknya garang, membahang, dan menyilaukan.
Kemudian perlahan sinarnya hilang, bahangnya tak terasa, garangnya dilupa.
Surut cahaya, sebalik pasangnya laut.

Yang terlihat hanya bebola merah yang kini boleh ditentang mata. Akhirnya tunduk turun, dan hilang sepenuhnya seolah ditelan saujana luas lautan. Tinggal hanya sisa merah yang kian kalah.

Memandang senja...memandang hidup kita sebenarnya.

Adakah setelah surut daan kontangnya 'sumur usia' kita, segalanya akan hilang?
Atau mampukah kita, seperti sebenarnya mentari, hilang dai alam ini untuk terus menyinari alam seterusnya?


Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
'Apabila seorang manusia meninggal dunia, maka putuslah amalannya, kecuali tiga perkara: Sedekah jariahnya, ilmu yang memberi manfaat dan juga doa dari anak yang soleh. 
( Hadith riwayat Imam Ahmad. )

Moga kita tidak hanya meninggalkan 'nama' dan 'belang'!

___________________________________________________

Lantas teringat sajak tulisan Tuk A Samad Said, Tetamu Senja.

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja

Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
Pada tetamu yang datang dan 
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat 




____________________________________________

Kita ini tetamu alam
diutus Tuhan
buat kehidupan.



14 June 2011

Roh Angin

Sajak oleh Isa Kamari.
Antologi Sumur Usia.



Roh Angin




kebohongan
adalah lumrah bagi penyair
jika segala yang dibicarakannya
hanya terkurung dalam persajakan
dan tidak lahir dari kehidupan.

roh yang tercipta dari angin
hanya berupaya berlagu
dalam kebebasan merindu
setiap kali ia merembas
hujan akan menderas
tasik akan berkocak
lautan akan berombak
ilalang akan berdesiran
seolah-olah
hanya berita gelora
dan kefanaan
yang dibawanya bersama.

namun teman
usahlah ditutup setiap jendela
bila angin kelana melanda
kerana angin itu datang dengan tugas
membuka dan meluas
meneroka dan menghias
pandangan dan nilai hidup
yang sering terbeku
oleh peraturan dan pemikiran
yang tidak membuka ruang dan jalan
pada kembara penafsiran.

kebohongan
adalah kelumrahan bagi penyair
jika segala yang dibicarakan
hanya terkurung dalam persajakan
dan tidak lahir
untuk kehidupan.


__________________________

ini buat saya berfikir dan senyum.

12 June 2011

Tanjong Karang ke Tanjong Karang

Assalamualaikum.

Kali ni tiada gambar. Makanya, saya 'terpaksa' lebih rajin bercerita. Kalian yang membaca, hah, terpulanglah.
Hujung minggu lalu saya ke Subang Jaya - Shah Alam - Kuang - Damansara- Klang.

Hari Jumaat.
 Malam sebelumnya buat nasi lemak. Saja. Mak kata bawang banyakk. Err..nak buat macamana mak, resipi jalanan. Ha. Tidur lewat. Lepas sarapan esoknya, tumbang semula.

Bertolak dari rumah dengan Lagenda 110 'seawal' jam 12 : 30 tengahari. Solat Jumaat di Kuala Selangor. Saya hubungi Nidzam, memohon maaf atas kelewatan, kemudian lega kerana dia pun baru bertolak pulang dari PJ.

Abah offer naik kereta, tapi saya lebih selesa dengan motor sebab;

1. Saya kurang cekap dengan kereta. Paling seriau semasa memandu kereta bila tengah laju ada motor rapat dengan kita, kalau nudge sikit, mesti dia terpelanting. haha. Daripada membunuh baik...err.

2. Saya selalu salah jalan. Orang yang pernah travel dengan saya tahulah. Nasib baik jalan ke Subang tu dah lalu 5 tahun, melampau sangatlah kalau lupa. Naik motor senang patah balik kalau tersilap.

3. Naik motor lebih bebas. Ada aura darah muda sikit. ( ? )

Usai solat, perjalanan diteruskan ke Subang. Masuk simpang kiri, nun di kejauhan sudah kelihatan di ampaian  baju-baju bersidaian, bergantungan, dan bergelimpangan. Saya senyum. Sampai juga, betullah ini sekolah aku.
( Oh, ini gurau sayang, gurau kenal )

Ya. ya... tentunya hari ini masih cuti sekolah. Guru-guru tiada. Tapi alang-alang ke mari, hati pula sudah sarat rindu..... Saya kemudian dengan sesukahatinya berpusing mengelilingi sekolah. Ke dataran perhimpunan, padang, dewan, DDS, Musolla, dan...asrama!

Well, kerana ada kerja-kerja 'naiktaraf' dilakukan, saya dengan slumber 'menceroboh' kawasan asrama. Ke setiap dorm. B.2.2 ke B.4.3 ke A.4.1 ke B.1.2 ke B.4.1 ke A.1.2. Bilik basuh, bilik sidai. Ke kolah. 1001 kenangan. Sungguh 'keliru', sudah tiga tahun sekaliannya ditinggalkan. Sudah lapan tahun sejak kali pertama menjejak kaki di sini.

Sebelum pulang bertemu Cikgu Sabariah dan suaminya. Saya rasa dulu saya paling zallim di kelasnya. Selalu duduk belakang dalam makmal menghabiskan Harry Potter series, Twilight series, novel-novel RAM dll. Tapi beliau sentiasa murah dengan senyuman.

Beberapa perkara dicurahkan, banyak yang dinasihatkan. Paling berbekas saya kira,
" The main idea is not to be a doctor, but to be a future leader"


Fuh.
I agree wholeheartedly, but amuse to find myself murmur later ' Nak lepas doktor ni pun tercungap-cungap'


" Orang muda banyak tenaga, boleh buat perubahan. Kami ni dah tua-tua, bukan tak boleh...cuma susahlah. Tapi sekarang ni, dah 'nampak' la.."


Hikmah orang tua, jiwa orang muda.




Seterusnya ke rumah Nidzam Yatimi berpandukan arahan setelah usaha 'seeking' motor belum menemui hasilnya. Jumpa di 7Eleven. Ha, tengok dia senyum rasa hilang penat seharian bawa motor. ( Takla penat manapun sebenarnya )

Sampai rumahnya, rehat. Makan nasi lemak. ( petang-petang! )
Tapi rasa kurang bes sebab pembantu rumah barunya bukan orang jawa. haha!

Seterusnya banyak menghayati sesi dia bercerita
Tentang adiknya.
Tentang kawan-kawan kami yang 'hilang'.
Tentang kawan-kawan yang terbang.
Tentang masa lapang.
Tentang dinar emas.
Tentang blablabla...
Nidzam masih Nidzam yang saya kenal. Senyum.


Ketika solat dia membacakan Surah Ali Imran ayat 133 hingga 139.
Tersentuh sungguh kali ni. Fuhh.


Selepas itu kami ke rumah Fuad, ke Summit bermain bowling, pulang semula ke rumah Fuad, main  PES PS3, layan Maharaja Lawak, dan akhirnya lena dengan TV menonton saya.

Esoknya ke kenduri kahwin akak Ubai di Kuang. 'Wak' Faris Saroni turut serta.  Disambut dengan manis senyuman dan  ungkapan teruja 'wah, orang muda...orang muda' dari Ustaz Pahrol Juoi, pak cik Ubai. 'Orang muda' lagii...bisik saya.

Saya baru berkesempatan baca dua bukunya; Dilema Melayu-Islam dan Nota Hati Seorang Lelaki. Lama kagum dengannya. Tulisannya selalu halus dan mengelus. Lambat sebenarnya kami cam, kalau tak bolehlah minta nasihat barang seulas dua. hah.

Kemudian, saya dan Nidzam ke Damansara. Hasrat awalnya melawat Bob Hasif, tetapi entah miscommunication bagaimana, Bob keluar dengan rakan-rakannya yang lain. Aiya. Pelonga pelongo kami.

Solat Asar di Masjid Al Falah. Mengimbau kenangan bermalam semasa Ramadhan di sini bersama Hanis, Sohaib.

 Pulang ke rumah Nidzam. Ditemubual ibunya;

"Haniff dulu ada mohon masuk DQ?"
Nidzam pandang saya. Saya pandang Nidzam. Kami sengih. Saya ceritakan seringkasnya.

" Kalau kat sini mak cik dan pak cik ni macam mak dengan ayah Haniff la"
Tu diaaa...fergh tak fergh.

 ( Nidzam, aku rasa, mak kita sangat compatible untuk jadi kawan baik la. hah. )

Terima kasih banyak-banyak atas layanan. Sangat aku hargai. Jemput datang ke rumah. Ajak mak ayah sekali pun molek. Dan Syazwan. =)



Hari sudah lewat, saya bergerak pulang. Sunset sangat cantikk!

Singgah Kapar, solat Isya', potong rambut ( dll ), beli durian..

Durian!! Hampir dua tahun tak merasa! Terus teringat last encounter, durian 60 euro di Rome.
( Ok. salah. bukan Rome. Barca. Saya pun pelik camne boleh ingat Rome. Saya cuma ingat jalan-jalan malam-malam. )

Pulang ke rumah, terus buka dan menikmati. Alhamdulillah.





Tanjong Karang ke Tanjong Karang.
Dua hari pendek yang panjang.





___________________________________________________________


Hidup bukan hanya untuk mengenang.
Jauh sekali berlama-lama tenggelam karam dalam kenangan.

Tapi untuk yang ini, saya rasa sangat terpanggil untuk mencoretkan cebisan-cebisannya.
Agar nanti boleh saya susuri, tiap yang tersembunyi sebalik tulisan ini.
Agar saya boleh tersenyum sambil mengingatkan,

Sejarah
setelah terpandang
juga adalah masa depan.


___________________________________________________________






08 June 2011

Home II

'hakikatnya hanyalah pantulan
tetapi masih mengundang pertanyaan'


Pagi pertama, lepak teman mak ( ceh, siapa teman siapa sebenarnya ) ke pantai..


...untuk menyaksikan mentari terbit. ( Perasan tak ada tiga pesawat terbang tu? )



Sebelah petangnya pula, ke Pantai Remis, menyaksikan mentari terbenam.








dan err, makan-makan. =)





Esok paginya, mandi-mandi!


YAYA!



Hah, begitulah setakat dua hari.
Alhamdulillah.

Kawan-kawan semua dijemput datang rumah, ziarah. 
Takpun, sayalah ke sana.
=)


06 June 2011

Home.



Home.


Rindu menulis.

Perlu membaca.