2. Baru-baru ini (dan sedang) belajar tentang hormon. Pelbagai. Dikatakan dikawal oleh pituitary gland dikawal oleh hypothalamus. Hormon, bersama dengan nervous system mengawal 'alam kita' dan tindak tanduknya. Sedar atau tidak sedar.
3. Hormon dihasilkan oleh glands dan organ tertentu kemudiannya dihantar ke lebuhraya darah untuk bergerak melewati seluruh bahagian tubuh. Bukankah disebutkan Nabi kita bahawa syaitan itu juga bergerak dalam lebuhraya darah kita. Dan kita dinasihatkan berpuasa untuk menyempitkan lorong lebuhraya itu. Lalu saya terfikir, mungkin syaitan itu menunggangi hormon untuk bergerak ke mana-mana. agak-agak ada tak apa-apa translocation kalau syaitan menunggangi hormon itu? Kalau tanya Dr Fayeq nanti, silap-silap dikatakan saya gila. haha.
4. Baiklah, bagaimana agaknya alam diri, semasa kita sedang mengerjakan kebaikan? Sedang membaca Al Quran? Sedang berzikir? Sedang menolong orang? Tentu ada alunan yang sangat indah, ketika alam dalam keadaan seimbang, ia redha kepada kita kerana memenuhi tujuan ia tercipta. Ya, seluruh alam itu, dengan bulan, bintang, dan cakerawala, microbes, cells, nerves, lymphs, dan lebuhraya darahnya.
5. Bayangkan semasa kita mengangkat takbiratul ihram, dalam solat berjemaah. Kemudian mengucapkan 'alhamdulillahi rabbil 'alamin. Kerana saya memikirkan alam yang pertama itu adalah diri, maka ia lah yang dirujuk. Kalau jemaah ada empat puluh orang, saya membayangkan empat puluh alam berserta segala isi dan rahsianya sedang mengakui Allahlah Tuhan mereka. Rabbil 'Alamin. Bayangkan pula kalau di Masjidilharam itu, berpuluh, malah ratusan ribu alam mengakui yang sama, serentak! Subhanallah.
6. Bagaimana pula kalau sedang melakukan maksiat. Tentu sebenarnya setiap komponen alam dalam diri itu memberontak. Berubah serta merta. Bintang enggan bercahaya, atau cahayanya bertukar rupa. Malap dan hiba. Lebuhraya kacau, traffic light tidak berfungsi, kenderaan bersimpang siur, menabrak sesama sendiri. Orbit pusingan planet lari daripada fitrahnya. Saya membayangkan hodoh sekali ketika itu. Dan kalau pula, seorang hamba bertaubat sepenuh hati, segala sistem kembali pulih semula. Ia kembali redha, dan melagukan muzik bahagia.
7. Bagaimana agaknya kalau dibandingkan alam-alam kita. Khabarnya di syurga nanti, antara setiap orang apabila melihat darjat orang lain yang lebih tinggi darinya, jauhnya seperti dia di dunia melihat bintang di angkasa. Saya membayangkan alam ahli Quran itu, yang sebati dengan Al Quran, berakhlak dengan Al Quran, tentu sangat indah bukan. Manakan tidak, kalam Tuhan menempati dunianya, menyerikan alamnya. Dalam semua ini, di mana letaknya darjat 'alam' kita agaknya?
8. Baru-baru ini, saya seolah membuat satu kesimpulan. Tak tahulah berapa lama 'renungan' ini bertahan; bahawa perjuangan hidup sebenarnya adalah perjuangan hati. Baik hati, baiklah seluruh alam kita. Lalu apakah sebenarnya hati itu? Saya pun tidak tahu menjawab. Cuma kita tahu, hati itu di dada, dan gagahnya ia bergantung kepada bagaimana hubungan dengan Yang Maha Esa. Seluruh hidup, adalah untuk mengharmonikan alam itu, dengan hati sebagai raja, yang tunduk sepenuhnya kepada Raja Segala raja. Perjuangan lain adalah lebih kecil berbanding dengannya, bahkan bisa sahaja berhasil kalau ini berhasil.
9. Pernah suatu ketika, tidak semena-mena, saya mengungkapkan pada seorang teman,
"Aku rasa antara kebahagiaan terbesar menjadi manusia ialah, kita boleh merasa bahagia melihat orang lain bahagia."
Sehabis sahaja ayat itu diluncurkan, saya sendiri terkejut, kerana seolahnya saya sendiri tidak tahu hulu ayatnya akan sebegitu. Lalu tentang 'rasa' dan segala misterinya, saya terfikir, kalau kita sedang mempunyai rasa yang sama dengan orang lain, itu bermakna alam kita sedang tersusun sama. Entah, saya rasa terlalu ajaib. Melihat aliran air, mendengar derunya. Dibelai bayu dan rasa kita pula membelainya. Melihat cahaya, dan merasa diteranginya. Alam di luar sedang bertanya. Alam di dalam sedang menafsir dan mencari jawabnya.
dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?
Surah Adz Zariyat. Saya rasa sangat amat terlalu ajaib kedua ayat ini digandingkan. Subhanallah!
10. Kak Nur menyebutkan, rakannya memberitahu, tulisan yang terbaik itu yang terus ditulis tanpa diedit-edit (atau begitulah seingat saya). Maka, inilah yang saya cuba untuk yang ini. Tetapi, hampir setiap kali saya menulis yang 'begini', hampir pasti selepasnya saya akan 'jatuh'. Sakit sekali. Saya hairan dan tertanya-tanya, adakah ini kerana niat saya sedari awal telah cacat dan terpesong? Atau ini adalah bisikan syaitan yang seolahnya selalu sahaja berhasil tika dan waktu begini? Ataukah peringatan dan teguran halus Tuhan untuk saya? Ataukah kesemuanya? Kadang serik. Takut juga. Kerna saya tidak tahu dengan sesungguhnya bagaimana alam saya ketika ini. Namun saya berharap alam saya sedang redha dengan saya, setelah pemilik sebenarnya jua redha.
11. Akhirnya, saya teruskan juga menulis ini untuk tatapan semua, dengan bersedia untuk jatuh. Bersedia (harapnya) untuk bangkit semula. Kerna mungkin anda juga pernah melewati jalan ini. Mungkin juga sebenarnya jalan ini menanti anda sedikit lagi di hadapan. Seramai manusia seramai itu peneroka. Maka itu saya menuliskan. Lalu, permintaan kecil saya, tolong doakan saya, jua kita semua seluruhnya, agar nanti bertemu Tuhan, memandang wajah-Nya dengan alam terindah kita.