Sudah setahun rupanya berlalu dari tarikh itu. Malam 15 haribulan, seusai exam sebelah paginya, kami mula bertolak keluar dari Irbid. Bulan hampir penuh mengiringi di kanan jalan. Jelas terang. Jasad kami dibawa kapal terbang dan tren 'melompat' ke Cairo, Barca, Madrid, Milan Malpensa, Naples. Hati kami (saya) terkadang lebih degil, ingin menetap lebih lama setelah jasad kami meninggalkan tempat itu.
Setahun yang panjang sebenarnya.
Sedikit sebanyak melelahkan.
Sedikit menjatuhkan.
Sebanyak mematangkan.
Saya jarang dan kurang meraikan tahun-tahun baru, tapi saya setuju kita harus memilih sempadan-sempadan tertentu untuk memuhasabah diri. Lebih kerap lebih baik tentunya. Here goes mine, saya tulis apa yang saya mahu kalian baca. Ya, dalam banyak keadaan penulis jarang jujur sepenuh, dan pada saya, tidak perlu sebenarnya, kerana sentiasa akan ada yang membaca, melihat di sebalik bayang tulisan. Between the lines. Cuma, penulis tidak boleh berkhianat menipu dan menulis melebihi takah dirinya sendiri. Begitu saya percaya.
Again, here goes mine.
1) Kembara Spain Itali.
Banyak yang telah tertulis. Penanya bukan satu. Namun, banyak juga yang belum; samada akan atau takkan ditulis. Maybe you should let it remains as it is.
Kembara 3 minggu penuh warna warni.
Melihat kota tamadun dunia. Granada, Cordova, Florence, Rome.
Manusia dan pelbagai ragamnya. Sejarah kemanusiaan yang mengalir, kadang pantas alirnya menghakis, kadang sunyi diam di pelusuk tak terjejak. Di setiapnya, Tuhan meninggalkan tanda-tanda. Buat sesiapa untuk melihat, mendengar, dan menafsir. Buat 'sesiapa' yang telah Dia tentukan.
Melawat Naples. Begitu sunyi dan ngeri.
2 ) Belajar sistem.
HLS, RS, CVS, MSS, GIT, ES.
Saya tak pernah tahu cara studi terbaik. Dulu sejak sekolah, studi selalu baring atas katil, bantal mengalas kepala, letak buku, baca jelah. Masa exam tulis apa yang ingat. Rupanya di peringkat ini cara demikian tak berkesan lagi. haha. And it took me years to find out that!
Sekarang harapnya dah jumpa. Cuba lagi nanti 2nd sem. Kalau silap juga, teruskan mencari! heh
Marvel at human body, its creation.
3) Fiqh Medik
haha. tak berani tulis pasal ni. Cuma nak kredit kawan-kawan kerja yang sangat bes dan macho. Banyak dapat belajar daripada mereka. Balas senyum (tiba-tiba).
4) Cuti balik Malaysia.
" Abang, abang dah berjaya kali ni", ujar mak ketika kami baring-baring, mak baru pulang dari sekolah, saya baru menyidai kain, cuaca panas, dan saya mengambil ketul-ketul ais untuk diletakkan atas kepala. Habis basah-basah.
"Berjaya mende?" saya tanya mak semula.
"Kali ni abang balik, abang berjaya untuk tak buat pun satu kali usrah. Lepas subuh ke lepas maghrib ke..."
Kami sama-sama gelak. Tapi saya tahu dalam gelak kami ada luka sebenarnya. Maaflah mak, abang pulang kali ini juga terluka, cacat tanpa upaya tersisa untuk merawat. Lebih sakit, tak bersedia pula untuk dirawat.
Selain berjaya mendapat cium mak di ubun-ubun saya sebelum bertolak pergi di lapangan terbang, saya kira cuti saya di Malaysia tempoh hari adalah masa-masa yang gagal saya manfaatkan.
5) Cuti Umrah Mekah Ziarah Madinah
Kunjungan kali ketiga.
Jujurnya, ada tika-tika dalam kunjungan kali ini, saya lost.
Setiapnya, saya harus bermula semula.
Menggali semula, merancang saliran, menyiapkan benih.
Agar tika hujan yang saya pohon akhirnya tiba, saya sudah bersedia bercucuk tanam semula di tanih yang lebih subur. Biarlah berkali ribut datang, lalang menyerang, moga setiapnya Tuhan membantu saya untuk 'bermula semula', tanpa putus asa.
___________________________________________
Dalam menulis novel, ada pengarang memilih teori
latar = plot = perwatakan.
Saya lantas memikirkan 'novel' kehidupan saya. Tentunya Pengarang novel kita Maha Bijaksana mengatasi pengarang novel manusia. Dan tentunya Dia tidak tertakluk kepada mana-mana teori.
Namun, mungkin harus kita fikirkan sejenak, apa yang sebenarnya yang kita pelajari dari seluruh latar hidup kita?
Masa memenjara kita dalam hidup.
Hidup memberi kita kebebasan melangkaui ruang.
Medina Az Zahra, letaknya di Cordova, suatu ketika ibu kota Andalusia yang makmur. Di mana rakyat tiga agama samawi bernaung, memacu segala bentuk kemajuan segala bidang yang terbayangkan oleh manusia sezaman itu. Bidang matematik, falsafah, perubatan, dan kesusasteraan. Ribuan buku dihasilkan. Ribuan madrasah ilmu. Zaman keemasan Islam, kata sesetengah sejarawan.
Medina Az Zahra menjadi simbol kemakmuran. Adanya jalan benderang pada waktu malam, yang pertama di Eropah ketika itu, seolah petanda, dari Islamlah cahaya akan tiba menerangi Eropah semula.
Madinah Al Munawwarah, kota pertama kerajaan Islam. Kota ketibaan Rasulullah saw dan Muhajirin disambut meriah riang gembira oleh Ansar penduduk Madinah. Muhajirin Ansar dipersaudarakan. Dari mereka benih benih Islam berkembang. Cinta sungguh baginda pada Ansar, sehingga ketika terjadinya peristiwa mengharukan di penghujung Perang Hunain, semasa harta rampasan perang diperselisihkan, Rasulullah mengatakan,
Apakah kalian tidak rela dengan berangkatnya orang-orang dengan mendapatkan unta dan kambing , sementara kalian kembali ke tempat kalian bersama Rasulullah saw? Maka Demi jiwa Muhammad saw. Yang berada di genggaman-Nya, seandainya bukan karena Hijrah maka saya adalah termasuk orang Anshar, seandainya seseorang berjalan dalam sebuah perjalanan dan orang-orang anshar memilih jalan yang lain maka aku akan mengikuti jalan anshar, ya Allah rahmatilah orang-orang Anshar, anak-anak anshar dan cucu-cucu kaum anshar!
Dari jalan jauh Medina Az Zahra ke Madinah Al Munawwarah, saya mencari diri saya. Ke mana haluan harus dibawa.
وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Setiap hari adalah tahun baru. Hari untuk kita pulang semula ke tanah makmur iman kita, Madinah yang bercahaya. Saya pasti, akan ada Ansar yang akan membantu.
________________________________
Saya ini jiwa kecil yang mengaku cinta. Cinta di tempat kecil mudah disingkir haloba, hasad, dan benci.
Semua kita mahu berjiwa besar; diisikan penuh cinta, hingga jika tiba haloba, hasad, dan benci, cinta upaya mengusir.
Cuma selalu saya lupa; cinta punya saudara;
pengorbanan namanya.
2 comments:
http://kelabkembara-sejordan.blogspot.com/
mahu sertai?
haa. jmpe kat mana ni semangat? terus2 tulis..
Post a Comment