Terkadang dalam satu hari, dia jatuh hati berkali-kali.
Fragmen 1
Mentari hampir terbenam. Dia dan rakan-rakan bergurau senda menanti
pick up tiba ke dewan. Angin bertiup nyaman, arena telah surut dan tenang. Nun di kejauhan burung-burung terbang berkumpulan, gemalai namun teguh liuk sayapnya.
Setibanya pick up biru cair itu, mereka memunggah gulungan tikar, periuk dengan lebihan makanan, meja dengan kakinya 'dipatahkan', kerusi-kerusi, pinggan mangkuk cawan jamuan VIP, dan ya, diri mereka sendiri ke perut pick up. Pick up bergerak dan dia merenung awan.
Setibanya di lampu isyarat, dia terlihat pohon di kanan, berdaun kecil berbunga ungu. Sudah sering dia mahu bertanya gerangan nama, namun setiapnya dia terlupa. Kemudian salah seorang rakan bersuara,
" Fuh, esok dah kelas. Budak junior hutang aku satu hujung minggu."
Masing-masing tergelak, awas dengan niatnya mahu bercanda.
Di hujung tawa, dia tersenyum, hatinya bersuara di dalam, "Jika benar demikian, bukankah kita turut berhutang?"
Lampu masih merah. Kenderaan sesak. Di sebelah kiri, dia terlihat seorang anak kecil, lingkungan umur tiga empat tahun, menempel di cermin kereta. Spontan, dia melambai. Berbalas. Senyum. Berbalas. Dia mengangkat tabik. Berbalas. Dia tergelak. Budak kecil itu tersenyum, terlompat-lompat. Agaknya begitu jualah rasa hatinya tika itu; melompat gembira.
Lampu hijau, kenderaan bergerak. Mereka tetap saling melambai hingga hilang masing-masing dari pandangan. Luntur 'penat'nya (konon) satu hari, dek adegan kecil diaturkan.
Fragmen 2
Dalam perjalanan ke lapangan terbang, dia bersembang dengan pemandu,
' Awal ya musim sejuk tahun ini, hujan sudah turun.'
' Bukan. Ini belum tiba musim sejuk. Hujan kali ni adalah 'hujan memandikan zaitun.'
Dia terkejut, teruja, lantas bertanya, 'bagaimana?'
' Hujan ini untuk membersihkan zaitun, untuk nantinya menerima hujan lebat awal musim sejuk, yang menyuburkan. Kalau hujan yang ini tiada, zaitun takkan berbunga dan berbuah, walaupun disiram dengan air paip.'
'Berapa lama?'
' Allahu Taala a'lam. Mungkin dua tiga hari, mungkin seminggu.'
Subhanallah.
Rasanya bukan sepurnama dua dia menetap di sini, perkara asas sebegini rupanya dia tidak tahu.
Teringat dia sekalian ayat Quran seiras menyebutkan,
'dengan hujan, Kami menumbuhkan/ menghidupkan/ mengeluarkan.'
Benarlah. Subhanallah.
Fragmen 3
Pagi, dia bergerak ke universiti. Sepanjang jalan dia melihat tinggalan jerami gandum yang subur musim panas lepas. Kawanan bebiri gemuk-gemuk meragut. Sesekali terlihat sepetak-sepetak zaitun muda. Selebihnya dataran coklat, berselang barisan pohonan condong ditiup angin. Fikirannya kosong. Kosong.
Bas biru terus meluncur laju. Walau bas berhawa dingin, penumpang bersesak; peluh mengucur juga di dahi. Bas tiba akhirnya di Pintu Utama. Sewaktu kaki melangkah turun, telinganya sempat menangkap bacaan Quran yang sedari tadi dipasang dalam bas.
Dia tergamam. Bergetar seluruh tubuh.
Dia bertanya pada hati, mengapa 'kataba'?mengapa 'nafsihi'? Ar-rahmah?
Tidak pernah pula dia membaca tafsir tentang ini. Tidak juga dia arif ilmu bahasa arab, hingga tahu apa yang tersirat sebalik kata-kata itu. Hatinya menjawab, halus berbisik.
Jawapan yang dia sendiri tak tahu menjelaskan.
Lantaran gembira terharu dengan jawapan itu,
dia menangis semahunya.
_________________________________________________
Keindahan bertebaran, asal sahaja kita mahu memandang.
Dalam halus rintik hujan, ingin sekali dia menuliskan,
' Bagi seorang pencinta, kehilangan hati barang sehari adalah suatu mimpi ngeri!'