"Memang fungsi masjid tu sebagai tempat beribadah, dah hilang,
tapi zaman kegemilangan Islam dekat sana..masih terpahat di situ.
Itulah yang saya akan cari kat sana nanti."
-Suria-
__________________________________________
Kami memasukinya pada hari Jumaat, setelah sebelah paginya melawat Medina Az Zahra.
Sewaktu mula-mula menjejakkan kaki, saya sudah tergamam. Suasana suram, dan muram. Pengunjung tidak ramai hari ini. Saya mengambil tempat di kerusi panjang berdekatan pintu masuk, sambil melepas lelah berjalan jauh sepanjang hari.
Ditegur petugas, disuruh menanggalkan penutup kepala (snow cap). Akur.
Teringat, pertama kali 'diperkenalkan' dengan masjid ini, oleh buku teks sejarah tingkatan empat, dalam siri kegemilangan pemerintahan Islam. Yang saya ingat disebutkan, Masjid Cordova, setiap hari menggunakan minyak yang cukup banyak untuk menyalakan lampu pada waktu malam. Lambang kemegahan tika itu.
Diam, lalu terbayang..
...ratus tahun lalu, pada waktu ini, berduyun-duyun muslimin masuk memenuhi masjid, menyertai yang sudah awal berada di dalam. Di luar kedengaran percikan air, muslim mengambil wudhu'. Terpancar cahaya bersih gemilang di wajah mereka, tanda luhurnya budi tulusnya hati.
Khatib naik ke mimbar. Memberi salam, disambut salamnya serentak ribuan muslimin yang hadir.
Azan kedua dilaungkan.
Khutbah dimulakan.
"Wahai saudara muslim sekalian...
..Peliharalah iman dan taqwa, dengannya kita memacu kehidupan...
...kejarlah ilmu pengetahuan, namun jangan sampai sebaliknya ia menjadi punca kita melupakan Tuhan. Ingatlah doa indah, 'Rabbi zidni 'ilma'. Segala ilmu adalah kurniaan Tuhan, bertambah ilmu, bertambah teguh pulalah kepercayaan kita kepada-Nya...
...bantulah fakir miskin antara kita, yang sebenarnya akan menjadi bekal kita sendiri. Bukankah hari akhirat itu yang lebih baik dan lebih kekal?...
Setiap yang hadir mendengar penuh khusyu'.
Usai solat, masing-masing meneruskan kehidupan. Rancak. Peniaga kembali ke kedainya, penulis dengan dakwat dan pena, khalifah menguruskan negara. Semua bekerja dengan semangat baru, setelah dikumpulkan bersama sekalian saudara muslim, diingatkan dalam khutbah, bahawa pekerjaan umat ini, mereka pikul bersama.
...
Itu ratus tahun dahulu.
Kini kami di sini bersambut sepi tiang-tiang, dan mihrab yang turut berhiba. Menangisi gereja yang dibina di ruang tengah masjid, mengadukan 'sunyi kami dari kalimah tauhid.'
Sedangkan mahu duduk merenung berfikir pun sudah dimarahi petugas, apatah lagi kalau mendirikan solat!
Cuba kita fikirkan, adakah umat Islam di sini dahulu terbayang bahawa suatu hari nanti, masjid rumah ibadah mereka saban hari akan menjadi tempat sembahan Tuhan Tiga, solat tak lagi didirikan, azan tak lagi dilaungkan?
Bagaimana kita di tanah air sendiri? Terjaminkah masjid-masjid besar tidak akan menjadi tempat sembahan kaum kuffar? Tidak sanggup rasanya membayangkan, masjid-masjid di negara kita sendiri bertukar fungsi sedemikian rupa, sedang kita di situ, menyaksikannya.
Atas kerisauan itu, saya yakin setiap kita ada bahagian dan perjuangan masing-masing. Jikalau boleh saya berpesan, dan ini sebenarnya pesan saya pada diri sendiri,
" Jagalah hati. Itu masjid pertama kita."
__________________________________________
Ya, saya katakan kehilangan separuh rohnya. Sebenarnya, ini tulisan terkemudian, kerana yang pertama, ditulis benar-benar di dalam masjid tersebut, telah hilang bersama buku catatan. Dan saya tahu takkan sama. Saya tidak mampu menghadirkan 'dia' yang menulis tika itu, walau mencuba berkali-kali.
Namun, sekurangnya, masih ada separuh, untuk saya mengingat luka dan cinta ini.