11 March 2011

Hidup, Keindahan. ( dan tentang Syukur )













Rusydi HAMKA menuliskan bahawa Buya selalu menyebutkan,

"Lihat Mi, fajar menyingsing itu, paduan warna pagi ini berbeza dengan yang kelmarin dan esok.
Begitu seterusnya tak pernah sama sepanjang tahun dan sepanjang abad.
Tak seorang pelukis pun yang boleh meniru komposisi warna itu. Itulah kuasa Tuhan." kata ayah.


___________________________________________


















Saya ingin berkongsi tulisan Buya Hamka dalam Pandangan Hidup Muslim;

Pada segala sudut dan segi Alam itu kelihatan dan kedengaranlah Keindahannya. Setiap keindahan ada warnanya sendiri dan ada rasanya sendiri.

Berdiri ke atas bukit dan merenung ke bawah, kelihatan lembah dan ngarai. Surya memancarkan sinar, mentilau menyanyi, ayam berkokok dan air sungai menuju lautan.

Pergi ke halaman rumah di waktu malam, menyaksikan bintang berkelip-kelip, laksana berbisik dan tersenyum. Seakan-akan tidak peduli kita dalam susah.

Semuanya itu meninggalkan kesan dalam hati, sangat dalam. Kita merasa terharu.

Terharu adalah gabungan dari dua perasaan yang berlawanan; yaitu sedih dalam gembira, atau gembira dalam sedih.

Yang menimbulkan gembira ialah karena indahnya; jamalnya.
Yang menimbulkan sedih ialah karena agungnya; jalalnya.

Melihat bagaimana besar dan agungnya, mulianya, terasalah rendah dan kecilnya manusia ini. Di manakah letak 'aku' di dalam kebesaran dan keagungan yang hebat dahsyat ini?

Lihatlah matahari yang indah tapi perkasa ini. Dia adalah sumber dari cahaya kita dan api kita. Kedatangannya dan kepergiannya selama 24 jam, meninggalkan bekas yang ajaib kepada alam kita.

Kepada laut, chahaya yang panas itu menyebabkan wap. Dan wap diangkat oleh awan ke langit. Setelah berkumpul dia menjadi mega mendung dan turun balik ke bumi dalam nama hujan. Dari hujan mengalir sungai, kali, dan batang. Disinggungnya bumi yang kering, menjadi subur. Disinggungnya urat kayu, maka mekarlah bunga. Dan dia jalan terus. Jalan terus, kembali ke lautan tempat datangnya tadi. Panas chahaya matahari mempermainkan angin, dan angin mempermainkan laut, sehingga menjadilah alun. Alun menimbulkan gelombang, gelombang menimbulkan ombak, dan ombak memecah pantai. Bahtera besar sedang berlayar pun dipermainkannya, dibuai-buaikannya, laksana sabut terapung pada sebuah kolam kechil saja. Dan manusia yang menumpang kapal itu dipermainkan pula oleh kapal itu sendiri.

Lihatlah bulan yang bening damai itu, tak berhenti dia membawa keindahan; sejak masih sabit kechil kurus ramping. Tiap malam diperlihatkannya perobahannya. Laksana seorang gadis menunggu tunangannya datang, sehingga dia kurus, harap chemas; kian lama kian gemuk sebab telah bertemu kasih. Tetapi setelah pertemuan, tunangan itu pergi lagi, serupa tidak akan pulang-pulang, sehingga kuruslah yang ditinggalkan.

Sepanjang bulan pada setiap tahun, kita diberi peringatan tentang nasib yang harus dilalui manusia dalam hidup; sejak kecil, budak-kanak, sampai naik muda-remaja, sampai matang sempurna umur, sampai menurun hingga tua, sampai .......... hilang. Dan bulan itupun mempermainkan air laut, hingga timbul pasang naik dan pasang turun.

Berdiri di tepi danau Singkarak tengah hari, dia kelihatan laksana seorang gadis jolong naik yang belum pernah kena tipuan hidup, gembira dan senyum terus, berlari lincah laksana anak kijang. Percaya bahwa manusia itu jujur semua.

Berdiri ke tepi Danau Maninjau tengah hari, dia kelihatan seperti seorang tua yang telah banyak merasai pahit-getirnya kehidupan, sehingga laksana digantung disukatnya segala senyum yang disenyumkan oleh orang yang baru datang.

Berdiri ke tepi bengawan Solo, bercheritalah dia tentang kerajaan Mataram yang lama. Tertegun di tepi Kali Brantas, seakan-akan diulangnyalah kisah Patih Gajah Mada dan Kaisar Hayam Wuruk. Berdiri di pinggir Musi, bercheritalah dia tentang Sang Nila Utama dan Demang Lebar Daun.

Bukit dan gunungpun demikian. Naik kapal terbang menuju Eropa; sampai ke Sabang, masih kelihatan hijau alamat kesuburan. Sampai di tanah Arab kelihatan gunung batu granit hitam. Sampai di pergunungan Alpen kelihatan gunung putih bersih diliputi salji.........................!

Sehingga padang pasir luas sahara yang kering itupun penuh keindahan. Luas ............... luas tak kunjung nampak di mana akan berhentinya.

Maka bertanyalah diri terhadap diri: 
"Apakah yang indah ini, di mana aku tahu apa yang indah. Di mana yang sebenarnya indah itu. Apakah aku meresapi keindahan, kalau dalam aku sendiri tidak ada keindahan?

Siram suburkanlah rasa keindahan yang ada pada jiwa saudara, sebab dialah alat penangkap keindahan di luar diri. Apabila telah berpadu di antara keindahan di luar dan keindahan di dalam, nischaya akan terlompat dari mulut saudara satu ucapan yang tidak ada uchapan di atasnya lagi;
" Rabbana ma Khalaqta haza bathilan Subhanak!"
( Tuhanku, semuanya ini tiada yang Engkau jadikan dengan sia-sia. Amat suci Engkau!")

Tuhanku,
Tiada yang lain,
Hanya Engkau......

___________________________________________


Pada saya, semua tulisan Buya Hamka tiada yang biasa-biasa. 
Kerap kali membacanya, saya terhenti, merenung, tersenyum, geleng-geleng, menghela nafas dalam.
Saya membayangkan juga beliau membacakan tulisannya itu di hadapan saya, dengan nada suara halus uniknya, seperti pesan seorang datuk kepada cucu-cucunya. Pesan seorang tua yang telah melalui getir manis hidup, kepada anak muda yang bakal menghadapinya. Dan, sekali lagi, bukan pesan biasa. Pesan Iman. Bagaimana dengan yang satu itu kita menanggapi hidup, mengharungi ombak badainya, menikmati madunya.

Sebelum kita sambung sembang, mari sedekahkan Al Fatihah untuknya.

Kita amat menghargai, ketika membaca apa-apa tulisan, apabila si penulis berjaya mengungkapkan perasaan kita yang tak terluahkan. Apabila penulis berjaya melukiskan perasaan itu, sedang kita sedia tahu, bahan yang sama untuk melukisnya ada pada kita. 
Mungkin sahaja, berus lukisannya lebih baik, seni tangannya lebih halus, catnya lebih berkualiti, kanvasnya lebih baik.
Tapi masih, kalau kita ada semua, belum pasti lukisan itu akan sama, secantik yang kita lihat.

Lega.
Dan bahagia.  
Cemburu juga.

Lega kerana kita tak keseorangan.
Bahagia kerana tahu rupanya lukisan itu sedia ada dalam hati kita, cuma tak terzahirkan.
Cemburu kerana penulis berjaya 'melukiskan'.

"Amazing it is. How He link between heart in a way neither we know nor we would understand."

Dan semasa Kembara Spain-Itali tempoh hari, saya membawa buku ini.
Membacanya dalam sela masa. Telah habis membaca sebenarnya, tetapi tulisan Buya sangat-sangat berbaloi diulang baca. Kerana ada berat dalam ringannya. Ada ringan dalam beratnya. Namun, semuanya halus, menyampaikan dengan bahasa yang meraikan seisi naluri hati.

Betapa bukan sedikit keputusan membawanya mencorak kembara saya.
Sejujurnya, ini memang antara kembara terbaik saya. Selepas hampir dua bulan, kenangannya masih mencengkam. Senyumnya entah bila kendur. Tiga minggu cukup bermakna.

Selain tempat, masa, kita tahu yang benar mencorak bahagia ialah hati kan.
Betapa bahagianya saya bila Shafiq mahu meminjam buku ini, dan melihatnya merenung membaca bersungguh-sungguh. Kerana saya tahu, dengan bahasa sebegini, dia tersentuh, dia memahami, sama atau lebih.

Betapa indahnya rasa membacanya semasa menghadap Al Hambra. Semasa di Ampitheatre Pompeii. Keduanya sewaktu mentari terbenam. Siang di akhir hayatnya. Membaca sambil memikirkan senja hidup manusia, entah dia sedar atau tidak, gelap yang hampir tiba. Dan betapa setelah itu, cahaya kembali menerangi.

Betapa terkenang mengejar mentari terbenam semasa dalam train dari Florence ke Pisa. Sekejap kami beralih ke kanan, sekejap ke kiri, gara-gara laluan train sebegitu. Yang dirancang tidak menjadi, namun yang dinikmati nyata terlalu indah. Hingga terasa malu sendiri.

Betapa diperlihatkan di Florence cahaya senja membentuk kalimah, di balik lindungan awan, saat sama mengetahui ada yang sedang membaca Al Quran mentadabbur alam. Saat ditunjukkan ribuan burung terbang berkumpulan mengelilingi bangunan. Entah apa mahu disampaikannya kepada manusia.

Dan tentang Al Hambra sendiri..Al Hambra..Al Hambra. Saya hilang bahasa...


Mengapa tika kembara? Bukankah alam tetap indah walau di mana?

Soalnya pada kita. Mungkin ketika kembara, kita lebih bersedia. Mata kita lebih terbuka. Telinga kita lebih peka. Ke dalam dan ke luar.

Saya teringat juga, sebelum bergerak ke Itali, kami berjalan-jalan sekitar Madrid. Dan saya menegur seorang 'abang', penduduk tempatan. Kalau tidak salah, Juan namanya.



Beliau sedang duduk di sebuah bangku, memerhatikan matahari terbenam.
Dengan English yang masing-masing macam sangkut-sangkut, saya bertanya,

"Hmm, you are always here, to see the sun set?"
" Yes. The sun is everything, man. Isn't it beautiful?"
jawab beliau sambil bibir mengukir senyum dan mata penuh pengertian.

It strikes me the most.
It strikes me the most.

Bercampur baur perasaan saya. Kagum, ya. Terharu, ya. Malu, ya. Sedih, ya juga. Takut, pun ya.
Dengan Juan,
saya kagum; kerana tulus halus jiwanya menghargai keindahan.
saya terharu; kerana walau berbeza agama, jauh dunia, jauh masa, manusia diberi Tuhan naluri rasa yang sama.
saya malu; kerana terasa 'kalah' olehnya dek kotornya cermin jiwa.
saya sedih; kerana jiwanya bersih, namun belum mengenal Islam.
saya malu juga kerana sepanjang berbual tiada pula saya mengenalkan tentang Islam. Bagaimana kalau nanti saya ditanyakan?
saya takut; akan hari esok saya. Adakah masih dikurnia nikmat Islam? 


Dan paling dominan dalam gabungan rasa itu ialah sebuah persoalan, tentang harga hidayah.

Betapa Rahman-Nya Tuhan, diberikannya 'rasa keindahan' itu pada setiap manusia.
Setiap manusia secara fitrahnya mencintai kebaikan, membenci kejahatan.
Setiap manusia secara fitrahnya ada rasa bertuhan, kerana dia lemah keseorangan, kerana dia takkan mampu menentukan setiap keputusan, kerana dia sedar dia dikurniakan. Dikurniakan.

Namun, telah kita lihat pelbagai jalan telah ditempuh manusia menuju Tuhan.
Ada yang sampai.
Ada yang tersesat. Terpesong di tengah jalan.
Ada yang putus asa tak mahu meneruskan perjalanan.

Kembara saya seterusnya memikirkan persoalan ini.
"Sebutir pasir sebuah pantai. Batu bata dari sebuah kota."
Manusia.

Berapa sebenarnya harga sebuah hidayah? 
Saya tidak tahu.
Saya tidak tahu.

Cuma saya tahu, setiap Qada dan Qadar tentulah diatur Allah dengan hikmah kebijaksanaan yang sempurna dari segala cacat cela. Dan ada daerah yang tidak akan mampu dijejaki manusia.

Maka, percaya. Percaya.
Dan Syukur. SYUKUR.


Kalian dengarkan ini ya. Saya tuliskan bahagian yang paling terkesan buat saya.

" Syukur ya Allah aku tidak dijadikan jadi binatang.
Syukur ya Allah aku tidak dijadikan manusia sia-sia.
Syukur ya Allah, aku terjadi dalam keadaan seperti ini, sehingga aku tahu yang hak, tahu yang batil, tahu yang buruk, tahu yang baik, tahu dari mana asal perjalanan ini, dan tahu pula ke mana tujuan perjalanan ini.

Syukur kepada Allah kerana kita tahu, kita datang ke dunia cuma sekali, sepintas, sekejap mata jika dibandingkan dengan umurnya dunia. Taruklah orang berumur 100 tahun yang paling panjang, tapi apalah ertinya 100 tahun dengan umur dunia yang sudah miliyar tahun?
Dan apabila kita mati pun, dunia pun akan tinggal sepeninggal kita entah berapa juta tahun lagi, ndak tahulah.

Sepintas masa kita lalu ke dunia ini.

Kita bersyukur karena kita diberi ingat, yang sepintas zaman, yang sekejap mata itu, harus kita isi sehingga setelah badan kita hancur di dalam bumi, kita masih hidup."




Alhamdulillah.


Terima kasih Tuhan memilihkan Islam untuk kami.
Terima kasih Tuhan memberikan jiwa kepada kami merasakan keindahan,
sehingga terasa benar Engkau dekat dengan kami; bahawa Engkau memerhati; Engkau mengawasi; Engkau mengganjari; Engkau membalasi.
Terasa benar Engkau mengaturkan hidup kami. 

Hidup ini,
mohon Ya Tuhan,
Kami Kau hantarkan, walau ke mana; dalam keimanan.
Kami Kau jemput, walau di mana; dalam keimanan.

Amin.



Alhamdulillah.







13 comments:

Anonymous said...

tulisan.
sungguh ia adalah cerminan
cerminan hati dan perasaan
cerminan hayat yang sedang berjalan
atas bumi milik tuhan.

p/s: kalau mahu menembak,
perlu lengkapkan peralatan.
minda juga tumpuan.
sengga waktu perlu perhatian.
supaya tepat mengena sasaran.

pakurawan said...

sambung2.

sangat terbaik.

sebenarnya tak tahu nak komen apa.

setuju

setuju dan setuju.

Anonymous said...

sedang meni'mati tulisan anda dan Pak Hamka di jami' yarmuk. ternyata lebih mengesankan.

zikri said...

tok guru Nik Aziz pernah kata..
ibaratnya kita sedang tertunduk, letak pen bawah dagu,tongkatkannya ke atas.lihatlah ke depan = letaklah dunia bawah dagu,akhirat depan mata.

analogi ringkas dan halus.

Akhyar said...

menikmati tulisan dan hikmah. nati ko jadilah macam buya,mudah-mudahan, ye dak.

maaf semalam,tika aku kata taknak,memang taknak,melainkan diancam nyawa atau yg lagi mahal darinya.

terima kasih untuk tulisan ini. =)

k.e.

Anonymous said...

menikmati tulisan dan hikmah. nati ko jadilah macam buya,mudah-mudahan, ye dak.

maaf semalam,tika aku kata taknak,memang taknak,melainkan diancam nyawa atau yg lagi mahal darinya.

terima kasih untuk tulisan ini. =)

k.e.

Aishah Nur Hakim said...

ulang baca sudah tiga, empat, lima kali dari petang tadi.

tetap tak puas hati.




bagaimana ya haniff.
oh, sama kamu jangan menyoal.

:)

Anonymous said...

very well written.

kita semua sememangya

bersaudara

Anonymous said...

teringat pada suatu petang
akak jalan dekat lorong antara kedai runcit Geneva dan kedai buku al-Aqsa,
tiba-tiba ternampak satu jaluran cahaya oren yang sangat kuat dari depan
di antara celah-celah bangunan di jalan seberang.
sangat mahu tengok, tapi
dihampakan oleh sebuah 'coaster' yang lalu di jaan besar di situ..
bila coaster tu berlalu, matahari dah tenggelam.

hampa. moga dapat tengok lagi yang seperti tu.
sama macam gambar sunset yang Haniff letak ni.

Anonymous said...

Oh. Kenapa aku tak pernah terjumpa karangan buya hamka di malaysia?

Aku tak terjumpa, atau aku terhijab?

Allah. Perasaan yang sama aku baca ketika baca karangan imam al-ghazali, tapi yang ini lebih dekat mungkin - atas faktor masa dan sosiokultur.

Allah, terima kasih.

dan juga terima kasih untuk Buya.

dan untuk kau.

NidzamYatimiRamli said...

ok, sebelum baca, komen dulu. panjang dan memerlukan renungan tajam yang kali ni.


ok, start baca!

NidzamYatimiRamli said...

habis.

''Namun, telah kita lihat pelbagai jalan telah ditempuh manusia menuju Tuhan.
Ada yang sampai.
Ada yang tersesat. Terpesong di tengah jalan.
Ada yang putus asa tak mahu meneruskan perjalanan.''

sebab itu hari-hai kita minta .

'tunjukkanlah kami jalan yang lurus' (1:6)

tepianmuara said...

anon1,
terima kasih mengingatkan ya.
selalunya sebelum solat sudah siap tulis, kali ini terpanjang pula. Maaf. Dan sengaja post sekerat, supaya saya terus sambung kemudiannya. kalau tak, tertangguhlah jawabnya.

Mungkin kerana saya bukanlah betul-betul seorang penulis, saya tak mampu 'memaksa' keluar tulisan saya.

saya sayang orang yang tegur sebegini.terima kasih terima kasih. =)




hazen,

kembara ni takkan jadi 'kembara ini' kalau kau tak ada. Sungguh.

maka, terima kasih..kerana setia. haha!



anon2,
ooo.. err,

ambillah mana yang baik ya.




hanis,
wah. sungguhlah.
Terima kasih hanis. insyaAllah abang tak lupa ini.




Keri,
biasanya orang komen anon dulu..hehe

lawak pun ada gak.
dengan kau ni, tak tau la nak ekspresikan kasih sayang camne..sorilah. hilang punca. haha.

Buya? pergh, nak jadi macam kau pun belum mampu..tapi ya lah, kita usaha untuk menjadi lebih baik kan.



hamshira,
alahai, tak puas hati mengapa?

mungkin setelah cubaan ketujuh akak memang harus berhenti.

(?)



anon3,

seeing you here really sent chills!

=).

terima kasih. ya, kita bersaudara ( dan pernah jumpa). ha.



anon4,

Esok kan masih ada?

owh, saya ada tangkap satu. dari crispy chicken. layan sunset dari situ petang-petang mamang bes!

nanti2 saya letak dalam blog ya.

=)



Syazwan,

mutual understanding tu memang bes kan. dengan kau, aku rasa tak perlu cakap panjang.=)

kau juga sedari dulu selalu menyelamatkan,
"eh, aku faham je ape Anip cakap."
haha.

Buya menulis dari bahasa pertamanya kan. Terjemahan tentulah tak mampu menandingi yang asli.

memang susah sikit nak dapat kat malaysia. yang jadi wakil jualan, Pustaka Dini.

alhamdulillah.=). sama-sama kasih.



Nidzam!!!
haha. komen dulu ya..
post terpanjang pernah aku tulis rasanya ni.

sungguh.
Doa meminta hidayah itukan disebut doa paling utama. tiada doa lain yang disebutkan 'Amin' beramai-ramai seperti setelah kita selesai membaca al fatihah tu kan.

moga dengan hidayah juga pengakhiran hidup kita.

terima kasih zam.