02 March 2011

Rajuk


Saya menyapa, tidak pula ia menyahut.
Saya ketuk-ketuk pintu. Beri salam berkali-kali.
Sunyi.
Ah, parah!

Saya tahu ia ada di situ, tapi tak dibenarkannya saya bertamu.


Hati.

Seminggu ini, entah kenapa, hati saya merajuk.
Sungguh dia merajuk. Bingung saya dibuatnya. 

Ini bukan yang pertama.
Namun, bila dia merajuk, saya juga seolah mati.
Hilang rasa.
Macam sungai ( atau mungkin jika hati ini memang kotor, longkang lebih sesuai disebut) yang tersumbat, dihalang alirannya dengan batu besar.
Macam thrombophlebitis lah senang cerita!

Tidak pula rasanya ingin meminta hati yang baru. Sangat sayang dengan hati ini. Banyak yang kami tempuhi bersama.

Selama seminggu juga saya mencari sebabnya. Memerhati diri. Ukur baju di badan.
Ada hati-hati lain yang terluka dengan saya mungkin. Dan hati saya yang ini telah lebih dulu tahu sebelum saya.
Dan yang paling risau kalau hati-hati yang terluka itu milik ibu ayah saya. Kalau mungkin ada 'terasa' dengan tingkah saya.

Sudah berbicara dengan mak abah. Semua baik nampaknya. Mak baru-baru ini sudah develop satu habit, setiap hujung bicara kami, mak akhiri dengan 'kalimah syurga', " Mak redhakan semuanya, bang".  Fuhh. 


Hati merajuk kerana banyak cebisannya sengaja saya tinggalkan di Sepanyol. Mungkin.
Hati merajuk kerana dosa-dosa maksiat saya yang terang atau terlindung, saya perasan atau tidak. Mungkin sekali.
Hati merajuk kerana saya banyak meniupkan ujub, riya', sum'ah dan segala lain yang menjadi ketakutannya. Mungkin.
Hati merajuk kerana saya tidak sungguh menjaga solat berjemaah. Bagaimana subuhmu? Subuhmu?!Subuhmu?! Aduh.
Hati merajuk kerana diri berlebihan tidur dan makan. Mungkin.
Hati merajuk kerana diminta bersama menimbangkan perkara yang telah sama dipersetujui jauh di hadapan. Mungkin.

Hati merajuk kerana enggan diajak bersama study HLS. Err, ini sepatutnya tidak mungkin.

Saya cuma mampu membuat telahan. Mungkin benar kesemuanya. Cukup menggelisahkan.


______________________________________________________


Saya mengimbas kembali 'episod-episod' rajuknya hati saya yang terdahulu. Oh. Ada satu taktik pujuk yang berkesan sebelum ini. Melawat rumah orang.







Perkampungan barzakh.
Perkuburan Islam Tanjong Karang.
Kubur Mbah Lanang, bersebelahan dengan Lek Esah ( Ummi ).


Hmm.
Kena cari juga ni.
Tanya-tanya risik-risik, saya dapat tahu ada sebuah perkuburan Islam di Qariah As Sorih, terletak dalam perjalanan Irbid-JUST.

Sengaja pulang dari jamiah lewat, saya mengambil teksi ke sana.








Sampai, bagi salam, cari port, duduk diam-diam, buka Al Quran.
Surah Yasin.







-Lalu ditiuplah sangkakala, maka seketika itu mereka keluar dari kuburnya (dalam keadaan hidup ), menuju kepada Tuhannya.


- Mereka berkata, " Celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur) ?". Inilah yang dijanjikan (Allah) Yang Maha Pengasih dan benarlah rasul-rasul (Nya).


-Teriakan itu hanya sekali sahaja, maka seketika itu mereka semua dihadapkan kepada kami (untuk dihisab).


-Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikitpun dan kamu tidak akan diberi balasan, kecuali sesuai dengan apa yang telah kamu kerjakan.





( Saya rujuk kemudian dari sini, menyebutkan, frasa  " Celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur) ?" bukanlah bermakna mereka tidak akan diseksa dalam kubur, tetapi berbanding dengan apa yang akan mereka hadapi, siksaan tadi hanya seperti 'tidur sebentar' ( nap ). )






-Dan kami tidak mengajarkan syair kepadanya ( Muhammad ), dan bersyair itu tidaklah pantas baginya. Al Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang jelas,


-agar dia ( Muhammad ) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup ( hatinya ) dan agar pasti ketetapan ( azab ) terhadap orang-orang yang kafir.




Al Quran, memiliki bahasa terindah.
Tiada 'syair' yang layak terbanding dengannya.
Menjadi peringatan dan pelajaran paling agung.
Untuk semua yang hidup. Yang hidup.




Scene untuk ayat-ayat ini akan terjadi di sinilah. Di sini. Tempat saya sedang duduk. Saya membayangkan kubur-kubur dibongkarkan, manusia-manusia dibangkitkan, masing-masing dengan kerisauan dan kegembiraan masing-masing. Ada raut bahagia, raut derita.  Alangkah mengharukan.

Betapa dunia adalah persinggahan.
Hanyalah.

___________________________________________________________

Agaknya, kalau ahli kubur ini dapat bersuara, dan saya mendengar suaranya, apa ya akan mereka katakan?

Mereka yang telah percaya; melihat kehidupan sebenarnya.
Mereka yang telah memilih jalan hidup dan melihat akibatnya.

Ada antaranya yang sebelum ini telah tertipu dengan kehidupan dunia.
Ada antaranya yang telah berjaya menjadikan dunia jambatan untuk akhirat.

Ada yang diberikan ruang seluasnya; petanda nikmat menanti yang bakal dikecapi.
Ada yang terhimpit ruang sesempitnya; petanda azab yang tersedia.

Ulang soalan.
Kepada saya, warga akhirat yang masih di dunia, apa agaknya yang mereka mahu sampaikan ya?


Adakah mereka akan menyebut,

"Makanlah sedap-sedap puas-puas kenyang-kenyang di dunia. Di sini tiada makanan."
"Hiburkanlah diri. Di sini tiada internet connection, kelab malam, games, football match, tiada TV. Bosanlah!"
" Dirikanlah mahligai besar-besar, cantik-cantik. Kumpullah harta banyak-banyak. Di sini rumahnya, walaupun percuma, sangat kelam, sunyi, dan busuk. "
"Dapatkanlah pangkat, pengaruh, dan kuasa. Gunakanlah apa-apa cara. Besar kau di dunia, besar pula kau di sini."

Aduh.
Betapa tidak.
Betapa tidak.


Di sini sebenar kembara kita bermula.
Kembara tanpa sempadan masa.
Kembara, yang ditentukan akhirnya, dengan usaha kita di dunia.

Tidak seperti kembara biasa, di sini tiada peluang kedua.
Well, mungkin ada. Tapi bukan dalam jaminan kita.



______________________________________________

'Ya Ilahi. Laa takilni ilaa nafsi'







Wahai hati,
ini hadiah untukmu,
aku menanti di luar pintu.
menanti kau menjemputku.


Moga saya tak lupa,
pemilik hati yang sebenarnya,
yang memberi pinjam segalanya buat saya.
Allah.

Dari-Nya segalanya, kepada-Nya segalanya.