29 December 2012

Exist

"Time exists, and times passes. Our lives are passing. Our lives are passing more quickly than the human community to which we belong. From time immemorial, the human intellect has been challenged, and basically shaped, by an awareness of both my personal time, which was born together with me and which will carry me off, and the collective time of the human community to which I belong, which came before me, which runs through me, and which will outlive me. Who am I in time? Who am I in relation to my forefathers? Who am I in relation to my children? Am I the temporary guardian of a memory and values that might justify my presence here on earth, or am I rather the expression of a historical singularity that I accept because no one but me will ever be me?"

Tariq Ramadan in The Quest for Meaning.


Been wondering. Ever been wondering.








To ask is human, to answer is err, Divine?

10 December 2012

Life For Rent



I


Tulisan yang amat aku hargai (kalau tidak sayang)...


‘’ Semilir dan rimba bersahabat…tidur dan jaga,
menakung air di ceruk perbukitan,
mengalir antara deras dan tenang,
alam ciptaan…ceritanya selalu dilupakan,
sedang nilainya bukan percuma,
maka salam buat yang terdahulu,
kami datang menumpang tuah…hanya. ‘’


yang sehingga dijelaskan, aku sangatlah clueless..

Sorry that I miss you.

II




Exam dah dekat, ni antara sign nya lah. The heat is on. hehe

Cuma persoalan menarik juga 'kalau' nak 'berfikir bebas'. Jika diberi peluang, hidup siapa anda mahu sewa? Dan mengapa?

Adakah berbaloi 'harga' yang kita bayar? Setidaknya, meninggalkan hidup kita sendiri barang sehari untuk hidup 'hidup orang lain'?

(Terfikir pula yang syurga tidak 'disewa' tapi 'dibeli'.)

The idea of individual is beautiful. It's where we should start, not stop.

Alhamdulillah,
moga sampai bila-bila,
menjadi hujung persoalan,
bagi setiap yang kita pasti,
atau yang tidak kita temukan.

III

Balik kelas siang tadi, masa lepak-lepak baca-baca baring-baring di rumah, aku minta Salam urut sikit belakang. Semalam teruk sangat main badminton rasanya, lupa pulak badan fragile ni tak boleh overuse sangat. 


Lepas diurut, aku lena. Mimpi pulak.

Duduk dalam masjid, karpet hijau.
Aku dan seorang lagi entah siapa mengadap sorang tok guru.

Tiba-tiba dia bukak serban lilit kopiah, bentang depan kami, seraya berkata,

"Hidup ni panjang sebenarnya. Ada masa kita menang, ada masa kita kalah. Kita kena tahu siapa musuh kita."

Scene habis. Sipi-sipi je sempat Asar. Niat di hati macam nak ponteng kelas malam ni, mimpi punya pasal, tak berani. haha.

Aku syak Salam ada ilmu. hah


IV

Jumpa dalam buku catatan,

"Hidup kan punya aturan. Sedang mimpi adalah pemberontak yang sering terlepas hukuman. Ia mahu dikenali, namun ia mahu mati!"

...


V
Semuaaaaaaa ni rasanya sebab exam nak dekat. Pertama kali pulak OSCE dan Mini OSCE. Sebelum ni selama tiga tahun lebih telah tertarbiyah tembak-tembak. "Strike First, Strike Fast", bak kata Dr Edward Yazan.

Doakan saya selamat ya!





19 November 2012

Isybiliyyah




Our teacher in History round, Aniya (or at least, that's how it sounds), a proud Jewish girl, on beautiful and glorious Seville. Yang terakam, minit-minit akhir bersamanya, tentang sejarah Rumaikiyya yang kami ulang-dengar.

Jalan-jalan petang-petang dengan beliau, kami,  dalam 10 jejaka Melayu, bersama belasan abang kakak omputih. Dalam 'kuliah', Aniya menceritakan sejarah Seville, dari zaman antah berantah hingga gemilangnya peradaban Islam, dan zaman Reconquista.

Yang konsisten dalam penyampaian Aniya, disebutkan kesinisan terhadap amalan penganut Kristian, terutama pada zaman Reconquista. Sindiran kepada King Ferdinand dan Queen Isabella. Beliau menyelitkan pujian kepada orang Islam ketika itu, dan tentunya Jewish yang bekerjasama membawa kemajuan kepada Sevilla, dan seluruh semenanjung Iberia umumnya.

Umum mengetahui, setelah Reconquista, umat Islam dan Jews disiksa dengan teruk dan dipaksa meninggalkan agama mereka. Untuk mengenal penagnut dua agama ini antaranya, akan dihidangkan masakan babi dalam jamuan beramai-ramai, jika terlihat ada yang teragak-agak atau tidak mahu menjamah, mereka akan dihukum. (Hingga sekarang hidangan babi akan didapati dengan meriah di Sepanyol).
 Hanya terselamat mereka yang tergolong dalam kalangan profesional mahir yang diperlukan untuk pembinaan istana-istana 'penjajah baru'.

Agama dan politik.
Yang menzalimi dan dizalimi.
Yang menindas dan tertindas.
Sahabat dan musuh.

AntalHadi AntalHaq
LaisalHadi illa Hu...




10 November 2012

Hujung II

Petang akhir dari seminggu yang rupanya boleh jadi begitu panjang dan bermakna, engkau mencuri masa selepas (hampir) selesai packing barang dibawa pulang untuk ke laut. (literally speaking. heh)

Ah, kali ini surut lagi. Engkau belum cukup arif untuk mengenal jadual laut, pasang surut pagi petangnya.Engkau juga jarang menunggu lama untuk mengetahui adakah laut baru sahaja surut, baru sahaja pasang, dan sebagainya.

Engkau menuju ke port kegemaran. Pokok kecil yang dihalang pertemuannya (dan dijamin kehidupannya) dengan laut hanya oleh batu pemecah ombak sepanjang 5 meter. Seperti biasa engkau duduk.

Pasir masih putih.
Tapak bangau masih segar, cuma pemiliknya tidak kelihatan.
Camar masih berterbangan.
Angin masin belum selesai bertiup.

Engkau mengambil ranting kayu, menconteng-conteng kata-kata di atas pasir.

Engkau menghela puas-puas udara masin bergaul lumpur yang khas itu.

Engkau merenung horizon laut, memerhatikan kapal-kapal yang kelihatan kecil nun di hujung.

Engkau duduk, termenung dan tersenyum.

Engkau perasan, di sebelah kiri, 'setongkol' nipah hanyut dibawa laut terdampar bersama lumpur-lumpur hampir di tebing. Mungkin sekali dari muara, bisikmu.

Fikiranmu selepasnya hanya tertumpu pada nipah itu.
Dan kau menggumam,

" Ia menyangka dirinya besar dan gagah.




Hanya sebelum ia menemukan yang lebih besar dan gagah."



Lalu ke negeri jauh itu, engkaupun berangkat pulang.





05 November 2012

Hujung





Petang itu, dalam pandangan aku hanya ada kau dan laut, yang perlahan-lahan surut di hadapan kita. Namun tidak pula aku pasti selain aku dan laut, pandanganmu menebar ke mana.

Kau memilih memecah nyaman ombak di telinga kita dengan pernyataan, padanya kutangkap nada kecewa,
" Dunia hari ini makin teruk. "

Aku tidak memilih untuk bertanya, "Maksud kau?", lalu
separa gopoh aku katakan saat itu,

" Dunia sebenarnya tidak pernah pun lebih baik.
Lalu kerana itu, 'harapan' adalah sesuatu yang pelik dan ajaib.
Istimewa, dengan kata lain.

Kau pernah ada kan, harapan itu?"


Setelah itu kita masing-masing terdiam. Aku pasti, tika itu kita masing-masing hanya memandang laut.

31 October 2012

dari cempedak baiklah nangka

tahniah.
malam ni saya makan durian.

22 October 2012

senyum


Re quote Ismi,

"Al-akh Imran meluangkan masa bersama natang-natang Irbid."





Tiba-tiba Irbid jadi lebih indah. hah

19 October 2012

Gurindam Jiwa



Gambar hiasan. Kebetulan dekat dengan La Manquita, Malaga
 (orang Melayu baca Laman Kita. hah)





Burung merpati terbang seribu,
hinggap seekor di tengah laman;
hendak mati di hujung kuku,
hendak berkubur di tapak tangan.

(Daripada filem Gurindam Jiwa)
______________________

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
kajang saya mengkuang layu;
dagang Pak Malau dagang bertempat,
dagang saya musafir lalu.

(Daripada filem Sri Mersing.)



Pantun-pantun ni, err, sangat berhantu.


18 October 2012

Catatan Lama Buat Tuan

Kita sebenarnya masih bertuah kerana merasakan kekosongan, kerana kita sekurangnya tahu ada sesuatu yang 'tidak kena'. Mungkin ada orang berada dalam kekosongan tanpa menyedarinya, sebab tidak pernah pun ia keluar dari 'kekosongan'.

Apa yang membezakan manusia?
Impiannya? Cintanya?
Deritanya? Tanggungjawabnya?

'Ada orang ke mana-mana mencari kebahagiaan diri,
ada orang yang ke manapun ia pergi, menimbulkan kebahagiaan.'

Mungkin kita harus berhenti mencari, dan mula memberi.

Tuan sendiri tahu kan bagaimana perasaannya tiba-tiba hilang rasa. Dan tuan tahu juga bagaimana perasaanya melihat orang lain memaksa dirinya, lalu hasilnya tersangkak.
Lalu tiba-tiba, helai-helai kosong itu menjadi lebih arif.

Itulah kita sebenarnya. Dan saya menulis ini hanya kerana saya tahu tuan tahu.








__________________________________

Saya tulis hampir setahun lalu. Hari ini saya kembali tertanya, tulisan ini untuk siapa?

15 October 2012

Angin

Ada suatu pagi, tak ingat bulan bila tapi tahun ini lah, saya dan beberapa kawan-kawan menyertai Bengkel Penulisan Puisi. Pertama kali buat saya. Cikgu pula bes dan stylo.

Selepas menerangkan sekian-sekian, cikgu minta kami bina ayat puitis ringkas dengan perkataan 'angin'. Saya antara yang kena tembak awal-awal. Standard gaya bila ditanya masa tengah round dengan doktor yang benign, saya buat muka bersungguh-sungguh cuba berfikir, hanya untuk akhirnya menggeleng tersenyum, tanda tak mampu menjawab.

Hari ni belek-belek buku catatan, terjumpa ini, dua tulisan yang tak berkaitan. Unedited. Tertulis di muka surat atas, 'Physio Lab'. heh

"
angin datang membawa debu - masa lalu,
ingkar semalam dan murka Tuhan
angin tiba menata cahaya - masa depan,
hidayah terpilih yang dikurniakan. "


"
kita katakan kita dengar angin berbicara
ada masa bisa lantang bersama amaran atau hanya
bisik-bisik mesra yang kadang terselinap rahsia.

dalam banyak tika, kita sebenarnya mendengar suara sendiri.
suara yang kita kambuskan. dari sedar sebelum akhirnya
angin tiba dan membongkar. "



 Terima kasih Cikgu sudi mengajar. =)







14 October 2012

Momen Sevilla



Masa jalan-jalan tepi Katedral Besar Sevilla. (seperti biasa, yang dulunya masjid).
Jalan kat belakang, makin tertinggal bila layan pakcik ni main muzik.







Kat Al Cazaba, Sevilla. Entah macam mana dialog-dialog ni boleh keluar masih dalam siasatan.



13 October 2012

Diam

Dia ingin menulis puisi
cuma sepertinya saat ini,

enggan indah
dan enggan berdarah.

06 October 2012

Akhir Luruh

Aku tinggalkan kamu satu persoalan sahabat,
"Tika senang, ke mana kita pulang?"

Hingga bertemu lagi.

04 October 2012

Kotak

Pensyarah separuh umur dengan sedikit uban itu bertanya dalam kelas kami,
kelas akhir sebelum kami pulang petang.

"Berikan satu contoh pemikiran luar kotak."

Entah apa yang merasuk, sedar-sedar aku telah mengangkat tangan.

"Hah kamu, silakan."

"Iblis, ketika dia diperintah sujud kepada Adam."

Entah bagaimana pantas ia berlalu, sedar-sedar selembar
penuh penampar sudah bertapak di pipi kananku.

02 October 2012

Baik

Ya, benar, kita lebih senang sentiasa bersangka baik.
Tapi tidak, kita tidak mesti meraikan setiap hasrat baik.

01 October 2012

adem ayem, anyep anteng

menanti hujan (garang-garang)


29 September 2012

Hiduplah

Insan antara sekalian
haiwan, paling hairan
melihat besar dunia
dan kecil ia.

Tin dan zaitun bersantunan
bersama sakura mengukur
masa mengukir bunga.

Biru langit membentang tenang
ke setiap penjuru - senja
bertukar emas bersenandung cemas.

Awan terurai menjadi hujannya
tanah rekah dan laut mewah
resah terlerai, kadang tercantum.

Insan antara sekalian
haiwan paling hairan.

Pada seribu macam
selirat jalan dan
langka faham,
alam menutur kata
paling bermakna;

'yang menghidupkan
kita bukan kehidupan,
tetapi Tuhan.'

______________________

29 9 12
esok pedi.

ada orang kahwin hari ini. =)

28 September 2012

Soal

yang tersenyum dengan lintas
namamu tadi adalah dia
yang terdiam saat kau bicarakan
soalan itu,
sepuluh tahun lalu

yang melarikan mata setelah
senyum itu adalah kau
yang pernah keras mengaku
tak mengenal rindu

yang masih menanti jawapan
adalah aku
soalan itu,
sepuluh tahun lalu.


________________________

temu akhirnya muka-muka lama
dihantar masa merata benua
angguk-angguk janji semua
kelas rupanya dah nak mula!

=)

kalau tak datang,
carik aku atas katil. heh

Tiga malam tanpa bintang kau itu,

sungguhkah

tiga malam awan hitam,

atau sebenarnya

tiga malam bulan terang?

22 September 2012

seulas manggis dan terima kasih


"Membilas hati dengan kenangan supaya dapat mudik ke dalam ketenangan, terkadang menjengkelkan. Ada kenangan yang berada pada tempat-tempat yang menyisakan garis bahagia masa lalu, namun, tidak kurang juga kenangan yang bergemuruh dengan pekik lirih.

Memekap kedua-duanya dalam hati, lalu cuba mengambil hikmah yang tidak rimbun tetapi tua dan tinggi, adalah perkara yang sering membuat hati saya terbatuk. Tidak mudah walaupun sudah didesak."

Baruddin Bekri, Hidup Penuh Cinta.

Sepertinya, pada bulan-bulan yang terakhir ini, banyak yang saya hadapi, banyak yang berlaku, banyak yang berlalu. Alhamdulillah, saya berpeluang mengerjakan umrah, beraya bersama keluarga di sana, bertungkus lumus menghadapi peperiksaan Gastrointestinal yang telah saya gagali sebelumnya, menemukan dua minggu klinikal, dan terlibat sedikit dengan sambutan pelajar baru tahun satu.

Dan di luar kebiasaan, saya tidak langsung (juga dengan makna serta merta) menuliskan pengalaman-pengalaman tersebut. Perkara ini secara umumnya terjadi kepada mana-mana penulis termungkin oleh pelbagai sebab, namun antara yang sering, kekurangan rasa berkongsi akibat kurang keyakinan diri. Dan ya, 'kurang keyakinan diri' boleh sahaja mengundang pelbagai tafsiran. Lalu, terpulang.

Saya sepertinya sudah melupai rasa ini. Rasa bebas menulis tanpa menyertakan fikiran, membiarkan hati atau entah apa-apa yang bersarang dan berkunjung dalam dada ini mengalirkan, malah terkadang menghamburkan wajahnya sendiri pada baris-baris dan lenggok-lenggok tulisan.

Ia menyedarkan saya sesuatu yang saya hilang. Dan dalam bahagian kesedaran itu, sebenarnya terlindung satu pengorbanan kecil; sebuah dunia yang saya lambaikan perpisahan sementara demi mendapatkan dunia yang lain.

Dunia penulisan dan pembacaan karya sastera.

Sehinggalah tiba hari yang saya nanti itu. Hari saya menerima empat buah buku pesanan yang langsing, banyaknya mencatatkan puisi-puisi. Saya uliti kulit ke kulit dengan debar dan senyum manis, berteman muka pertamanya dengan seulas manggis.

Dengannya saya menjenguk semula dunia yang saya tinggalkan. Terbiar nampaknya, bagaikan rumah yang ditinggal umrah pada pijar musim panas, setiap sudutnya meliar anak-anak lipas yang baru tertetas. 

Setelah membaca semuka demi semuka, berdikit-dikit rasa itu kembali menyala. (dan saya usir lipas-lipasnya!)


Tatih Klinikal

Setelah minggu pertama berkeliaran di wad-wad hospital, kami pelajar-pelajar perubatan tahun empat sungguh merasakan cuti pagi Jumaat menjadi amat teramat nikmat. Tentulah kami belum biasa, setelah lebih selalu dimanjakan dengan waktu kuliah yang sedikit, kali ini perlu berdiri berjam-jam dan kemudian menghadiri kuliah berjam-jam. Tambah ujian, kuliah itu kami datangi setelah makan tengah hari, di atas kerusi merah yang empuknya melebihi kerusi kapal terbang.

Saya teringat dalam satu kelah sederhana, saya dihadiahkan soalan, kurang lebih,
"Kenapa kau pilih nak jadi doktor?"

Saya tergelak, dan menjawab spontan, " Entahlah. Aku pun masih bertanyakan soalan yang sama."

Namun saya seolah diberikan jawapan dalam satu sesi kuliah. Seperti yang sudah-sudah, banyak kuliah yang saya penuhi dengan lena-lena panjang. Namun dalam dua kuliah Dr Khaled Jadallah di hujung hari, saya tak tersangka memberi seratus sepuluh peratus perhatian.

Antara yang paling melekat, kata-kata yang dipetik daripada George Elliot,
'The best augury of a man's success in his profession is that he thinks it's the finest in the world.'

Keseluruhan kuliahnya membuat saya terasa dihidupkan, dan berbaloi tiga tahun yang saya lalui sepanjang pengajian.


Tabah yang Belum Kita Kenal

Saya ingin berkongsi cerita tentang seorang pesakit Syria yang kami temui semasa round Surgery tempoh hari. Pesakit, lelaki, dalam awal 20-an 'terkena' tembakan di kedua belah kaki, dengan serpihan-serpihan peluru turut ditemui di kepala. Beliau menceritakan, kejadian itu berlaku ketika beliau berserta empat orang saudaranya berjalan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Isya'. Tentera Bashar tanpa menerima sebarang provokasi telah menembak rambang kawasan tersebut. Tiga orang saudaranya maut, dan beliau dan seorang lagi saudaranya dikejarkan ke hospital. Beliau mengatakan hanya mengingati beberapa detik selepas kajadian, merasai kesakitan yang amat sangat pada kedua belah kakinya dan kemudian jatuh pengsan.

Ketika ditanya, adakah keluarga dan isterinya berada di sini, beliau menjawab tidak, kemudian melanjutkan beliau tidak akan di sini lama, selepas sembuh, beliau mahu segera pulang ke Syria.
" Mesti ada orang lelaki (rijal) di sana, siapa lagi yang akan mempertahankan tanah air, ibu, isteri, dan anak-anak kami."

Dia yang cedera parah kedua kakinya, penuh bersemangat berucap begitu, tanpa sebarang tanda trauma, dan kadang-kadang mengukir senyum dalam perbualan kami. Kagum terharu, berjejal malu rasanya.


Yang Tak Terucapkan

Ada seorang teman yang saya sayang pernah mengkhabarkan setulus jujur, justeru menjemput muhasabah yang dalam, saat saya mohon padanya, 'tolong senaraikan kelemahan aku.'

Antara sekalian yang menyentak, ini yang paling terasa,
'Ego untuk tunjuk kasih sayang pada yang sepatutnya. Kadang-kadang tunjuk kasih sayang pada yang bukan tempatnya.'

Dan saya dengan ego juga mungkin, telah memadam, enggan menampilkan beberapa kata akhir daripada ayatnya.

'Yang sepatutnya' pada fikiran saya tentulah ibu ayah, adik-adik, dan keluarga. Manakala yang dia maksudkan pada saya yang benar dia kenal dengan kalimah 'bukan tempatnya', tentunya...yang itu-itulah.

Lantas mengingatkan saya pada satu tulisan yang pernah saya terima,
"Tidak pernah membayangkan warna-warna yang telah, sedang dan akan dicalit untuk tatapan adik-adik. But as it goes, the elder has to set the level for the siblings to hold on to and to follow, if possible to pass or be better than while they're growing up through the same phase. It's not easy. Simple is an understatement. Because in coloring - we didn't use words, we use action. Act is what people see and believe. And InshaAllah, if it's good, it will become an example. InshaAllah. I think what makes us keep going is hope. Harapan. Kedua ibu ayah. Adik-adik. Keluarga. Dan sesiapa sahaja yang dalam sela-sela ingatannya berdoa untuk kita."

Benar seperti kata kawan saya itu, saya jarang menzahirkan sayang buat adik-adik. Saya juga takut mereka mengharapkan saya menjadi contoh bagi mereka. Tidak mampu rasanya. Namun dari hati yang jauh dan dalam, saya juga mengharap apa-apa yang saya 'capai' menjadi inspirasi untuk mereka menggapai yang lebih baik, seribu kali lebih baik. Sungguh, saya dapat merasakan cemburu aneh yang manis bila melihat satu-satu adik melebihi saya dalam pelbagai cara, dan mengelakkan 'teladan-teladan' buruk saya.

Namun apa yang menyakitkan, kalau-kalau, kalau-kalau, apa yang dicapai adik beradik di atas menjadi beban dan tuntutan kepada yang di bawah. Dibandingkan adalah benar, sekali lagi, menyakitkan. Setiap kita mahu berdiri, terbaik buat diri sendiri. 

Mungkin sebelumnya tak tercerita, engkau dapat meneka, betapa yang terhidang manis oleh ibu adalah sejujurnya harapan. Harapan yang ditatang doa yang tak putus-putus. Lalu buat adik-adik, marilah kita usahakan yang terbaik, dan moga kalian juga nanti sampai bila-bila akan sudi mengingatkan abang kembali tentang ini.

Beginilah cuma yang dapat saya hadirkan, isyarat sederhana dari berlapis-lapis cinta.


Ke Kelas Esok

Saya melaburkan masa yang agak panjang mengalirkan tulisan ini.  Lalu, sekarang, seperti sepatutnya, saya harus berkalih menelaah buku, errmm, perubatan. Alam klinikal tentunya menjanjikan sesuatu yang menarik, terangkum dalam  jenis-jenis exam yang belum kami temukan, tengkingan doktor yang belum kami temukan, dan pesakit-pesakit dan peluang-peluang belajar yang belum kami temukan.

"Buah pertama dari dusun yang terbaik pun biasanya agak buruk, tapi semua pohon harus belajar berbunga dan berbuah yang termanis, dan semuanya ini memerlukan tahap-tahapnya dan waktu yang meregang usia."

Muhammad Haji Salleh, Sehelai Surat Saujana.

Doakan kami dapat belajar dari kesilapan-kesalahan untuk menjadi doktor, dan insan yang lebih baik.

________________________________________________



Oh ya, antara utama ini tertulis, demi sebuah ucapan terima kasih, untuk seulas manggis dan seisinya semua.

11 September 2012

Finish Line










entah yang keberapa
entah berapa lagi di hadapan.

Alhamdulillah.








02 September 2012

Home


Home is whenever, wherever I'm with you


31 August 2012

Setia, kawan.


_______________________

teman
hidup adalah kebarangkalian
yang telah ditetapkan.

teman hidup
adalah ketetapan
yang sering dibarangkalikan.

Ah!
teman dan hidup-hidupnya
hidup dan teman-temannya.

______________________





" I fear it is. For we are not using words anymore. We are utilising them, speaking for effect rather than meaning, for escape."
Robert Fisk, The Age of Warrior


Kita pernah cukup tahu kan.
Setiakawan.



28 August 2012

Wadi Mujib

 Baru nak mula - bayaran masuk 12JD, cekik darah jugaklah.

 Sepanjang cuti, paling banyak nampak muka syabab ni.



Syeikh kuna Marwan (kiri sekali) sebagai ketua rombongan.

'super imposed'



Port solat jamak zohor asar





Kelebihan trip dengan dak-dak lelaki, boleh salin baju bilamana.

Masing-masing kepenatan.

Jamu selera, Restoran Cina Mecca Mall.



Ucapan budak-budak tak balik raya.

27 August 2012

Anatomi Hati

Kalaulah kita tahu di mana hati sebenar hati, tentu akan ada kajian histologi, pathologi, tentang hasrat dan niat.

Tentu akan terbongkar ikhlas tidaknya persahabatan. Tentu pasangan ingin berumahtangga boleh menguji sejauhmana cinta. Tentu tersebar siapa munafiq, kuffar, dan fasiq. Hanya perlu ke klinik ambil ujian.

Begitu indahnya Tuhan mengaturkan; kita tidak tahu, hari ini, dan sepanjang zaman.

Tinggal kita mengukurtimbang hati sendiri.

_______________________________

22 August 2012

Guru






Guru untuk sesuatu
harus satu.
Atau se benar nya, 
satu-satu.

Perhatikan Olehmu



Lebih mustahil melihat semua manusia buruk
dari melihat semua manusia baik.

Sedang gelagat kehidupan
masih penuh dan beragam.

_____________________________

Alhamdulillah, selamat pulang ke Jordan.
Selamat Hari Raya semua!

08 August 2012

Yang Kita Serahkan

sesingkat ini rupanya kita bermimpi
bulan sudah semakin tinggi.

sejauh ini rupanya kita berlari
bayang segalah rendah kembali.

pada luas luka kembara
kau tega pelihara kata,
'Mungkin banyak yang kita hilang,
tapi banyak sebenarnya yang kita dapat.'

yakin dan ragu adalah dua saudara aneh
setelah sendiri-sendiri berlari dan bermimpi
rupanya saling merindui.


19 Ramadhan - (Amman-Irbid)
sela-sela lena, langit bersih bulan separuh, sekawah bintang bumi.
( dan Spider Man di jendela. haha )



__________________________________

antara jujur dengan sedar, dan jujur tanpa sedar.
antara tipu dengan sedar, dan tipu tanpa sedar.
tulisan, ucapan, dan perlakuan kita boleh mencerminkan keduanya.

dan kita tahu, tipu tanpa sedar adalah paling menyakitkan.
bahkan, adakah dari telaga yang jernih mengalir air yang keruh?
___________________________________

 Feveret.












03 August 2012

Memenuhi Permintaan

Balasan sebuah tulisan, setahun lepas. ( edited)

____________________


InsyaAllah.
Aku kadang terfikir.

Orang yang mati syahid. Orang yang hafaz Quran.
( Pemimpin yang adil, guru yang berdedikasi, orang kaya yang dermawan..)

Aku terfikir begini.
yang Allah sengaja berikan mereka syahid dan hafazan itu,
( keadilan itu, dedikasi itu, sifat dermawan itu..)
sebab memang Allah nak selamatkan orang-orang yang menerima kebaikan mereka.

Jadi yang sebenarnya menerima tempias rahmat Tuhan ialah si haafiz dan si syahid. (si adil, si dedikasi, si dermawan).

entahlah.
...

doakan aku juga ya.
Dan doa ini akan jadi doa kita bersama. Doa seharusnya setiap hamba.

dan..
tak perlu sampai Masjidilharam untuk berdoa kan. =)

Assalamualaikum.
Moga Ramadhan ini lebih baik.


_______________________________




01 August 2012

Malaysia Ku





II





III

Kalau rajin, tengok semualah. =)

Jarang dengar orang yang ada wit, humor, dan hikmah seperti Gus Mus ini.
Tentulah saya yang tak tahu.

'Silakan, anak-anak muda berpikir paling gila sekalipun, silakan. Tapi satu, jangan berhenti belajar. Seperti saya katakan tadi, mereka yang sering membikin masalah di dalam masyarakat adalah mereka yang berhenti belajar kerna sudah merasa pandai.'


IV


Tengok Gus Mus ini teringat; kebetulan ada baca baru-baru ini, dalam Human, All Too Human oleh Nietzsche,

Joy in Old Age

The thinker or artist whose better self has fled into his works feels almost malicious joys when he sees his body and spirit slowly broken into and destroyed by time ; it is as if he were in a corner , watching a thief work on his safe , all the while knowing that it is empty and that all his treasures have been rescued.


.....


V

Nak curi ini, jumpa di tengah-tengah taman,

'Jangan pandang rendah pada orang bawahan ketika kau dalam perjalanan naik ke atas, sebab orang bawahan itu lah yang kau akan jumpa ketika kau jatuh terjunam ke bawah.'

Suka.

Lagi sadis, kalau saat terjunam, orang yang tadinya di bawah melambai-lambai dari atas.







27 July 2012

ketayap(ine)


" Ketayapine : available in Amman, here in Irbid you have to write to the hospital manager that it's the only drug that will benefit your patient cause it's expensive. Available as tablet only."
(Lec 23, Psychology)


also frequently available in NM.


_______________________________

Setengah jam lagi nak buka, kami belajar pasal orang gila.

Oh ya, sepatutnya sebenarnya 'quetiapine', typo gamaknya. haha

24 July 2012

The Principles























( Gambar-gambar semua di Jannatul 'Arif, Al Hambra)



Five basic principles which guide the landscape architect or designer in planning the landscape outdoor rooms :

1. Simplicity
2. Balance
3. Focalization
4. Rhythm and line
5. Scale and proportion


Terfikir juga, sebuah tulisan juga perlu ada kelima-lima ciri ini.
Tapi, harus pula diakui, bukan tiap tulisan dihasratkan seperti taman, untuk bertenang-tenang setelah lelah, melayang pandang menikmati keindahan.

Ada tulisan seperti kelas pembelajaran.
Ada tulisan seperti taman tema.
Ada tulisan seperti panggung wayang.
Ada tulisan seperti sebuah rumah.
Ada tulisan seperti, err.. tempat pelupusan sampah.

Lalu mungkin sekali prinsip yang digunapakai untuk setiapnya berbeza, terkurang atau terlebih. Namun daripada setiapnya ada yang boleh dipelajari.

Juga, antara semua, tentu ada prinsip yang dikongsi sama.


___________________________________________









( Surah Ibrahim 24-26 )





22 July 2012

kandil kerdil


Malaga, Spain



tika rahsia dibuka kata
tiba rasa dihunus jaga

mentari di celah jemari
adalah kerdilmu sendiri.

__________________________





(Al Baqarah: 258)








20 July 2012

'Ruang'



Seorang penulis selalu punya ruang istimewa untuk berkarya.
adalah suatu penyiksaan jika jiwa enggan menghantarnya ke sana.


19 July 2012

Rojak Tujuh



I


Saya sangat suka baca memoir, lagi-lagi autobiografi. 
 Kali ni berpeluang pinjam Abang Madi punya buku, pemberian ayah dia masa pergi umrah bulan lepas, A Doctor in The House.

Seperti yang tertera di atas, 
'This is the story of Malaysia as I see it, this is also my story.' 

Tiada siapa dapat menafikan bahawa Malaysia seperti kita lihat hari ini menerima ukiran langsung tangan Tun Mahathir sepanjang 22 tahun beliau memegang tampuk kepimpinan. Dalam 62 bab, memoir ini membawa kita mengembara sekitar perjuangan kemerdekaan, mentaliti Melayu, kisah-kisah di sebalik dasar-dasar kerajaan, krisis ekonomi 1997, karier politik, dan cabaran-cabaran lain yang dihadapi Tun.

Tentulah, banyak kontroversi yang melanda (mana-mana pemerintahan, apatah lagi yang selama itu) tetapi semua kita rasanya boleh bersetuju Tun Mahathir adalah seorang negarawan besar yang berjasa kepada Malaysia. Buku ini ditulis dengan bahasa yang lancar, mudah difahami, namun sentiasa terisi dengan wit and wisdom. Like an old master, Tun retains his trademark in delivering arguments; simple, yet powerful. Banyak yang dapat kita pelajari. Kita doakan semoga Tun dikurniakan kesihatan yang baik.

But as it is 'suggested' in this book, it's hard to exudes invincibility, cunning ability, rare intelligence, and at the same time, appearing totally 'innocent'. At least, as far as image and perception are concerned.



II


Antara cerita bizarrely hilarious dalam buku A Doctor in The House ini ialah, tentang Spanish Steps.
Spanish Steps, atau nama lainnya, Scalinata della Trinità dei Monti,  terletak di kawasan Piazza di Spagna, Rome, Italy. 
Ia dinamakan sedemikian kerana ia terletak berdekatan dengan Kedutaan Sepanyol sewaktu pembinaannya.

Kisahnya, lantaran kagum dengan Spanish Steps dalam kunjungan ke Italy, Tun Mahathir mencadangkan sebuah binaan persis sepertinya di Malaysia. ( Seperti timbulnya idea Tugu Negara ). Satu pasukan 'inquiry' pun dihantar untuk mengkaji architecture Spanish Steps ini.

Namun dilaporkan misi ini gagal, kerana binaan tersebut tidak ditemukan oleh pasukan itu.
Sedang sepatutnya mereka ke Rome, Italy, rupa-rupanya mereka pergi ke Spain!

Haha. Epic failure. Rasanya zaman tu belum ada internet.

Dikatakan tangga terlebar di Europe.

Di kawasan Piazza di Spagna, di samping Fontana della Barcaccia. Kami terpisah sekejap, nasib baik ada peta.



III

Sedang tertawa dengan kisah di atas, saya teringat satu momen di Italy.
Dalam tren, di hujung perjalanan, dalam keadaan separa lena, saya terdengar senior-senior sekembara dalam sembang mereka,
"Kita kena tolong diorang, diorang first time gi Europe ni." 

Sedangkan kami diamanahkan untuk 'lead' di Italy. Tapi kami lebih suka main redah sahaja. Atau sebenarnya malas mengkaji terlebih dahulu. Atau sebenarnya naif tidak tahu keperluan mengenal sesuatu bandar sebelum tiba. Paling jahat melekat dalam kepala tentunya kesengalan (saya) hingga salah tempat duduk di dalam tren ke Venice hingga pindah dua kali, dan episod kejar-kejar keretapi di Naples, juga bukan sekali.

Pernah tidak kalian rasa segan, malu, dan terharu sekaligus serta merta?
Hah, begitulah rasanya ketika itu.

Tapi yang lebih penting tentunya, belajar daripada kesilapan, daripada pengalaman. Dalam kunjungan kedua kami ke Europe, walaupun tidak semuanya smooth sailing, sekurangnya kuranglah 'drama' dan kejadian sengal-sengal. 





IV


Sem ini subjek utama kami  di universiti ialah Psikologi. Antara yang awal kami pelajari ialah betapa zaman kanak-kanak mempunyai pengaruh besar dalam  membentuk karekter dan menentukan hala tuju masa hadapan kita. Perkara yang kita alami sewaktu kecil, menurut sekalian theorists itu, walaupun tidak diingati secara sedar, tetap tersimpan kejap dalam unconscious kita, dan sentiasa menjadi sandaran minda dalam membuat keputusan.

Dalam memoir-memoir yang saya baca, semuanya menyokong, malah membuktikan pendapat ini. Dalam A Doctor in The House, 'lovehate image of White Man' Tun Mahathir ketika kecil dan remaja mempengaruhi dasarnya dengan British dan Amerika kemudian hari. Dipaparkan secara tidak langsung oleh HAMKA dalam Kenang-kenangan Hidup bahawa konflik ibu ayahnya ketika kecil membentuk pandangan awalnya tentang poligami.

For sure it is naive to put it too simply. 

Dalam Mencari Jalan Pulang, Kassim Ahmad menulis zaman kanak-kanak diingati dan sering dirindui kerana ianya mudah dan menyenangkan, menyebut pendapat ia sebagai zaman Pra Tanggungjawab. Istilah itu sefaham saya, di samping membawa maksud 'zaman tanpa tanggungjawab', tidak kurang juga bermakna 'zaman bersedia menerima tanggungjawab'. 

Pastinya, karekter baik dan terpuji yang mungkin ada pada diri kita telah mula dibina sejak dari zaman kanak-kanak. Penting juga sekira saya untuk kita mengenalpasti karekter baik itu, yang lebih berpotensi diasah kerana terbina pada asas yang kukuh. Tapi yang lebih mustahak ialah bagaimana mengakui, dan berhadapan dengan warisan kelemahan karekter yang turut diakibatkan zaman kanak-kanak itu. 

Mustahak, kerana ia jauh lebih sukar.






V

Malam semalam-semalam-semalam, cikgu, kalau ingatan saya tidak salah, dalam ucapannya menyebut,
"Jangan risau, sekali jatuh..."

Kemudian beliau menyambung,
"Mungkin kita akan jatuh lagi."

Hadirin mendengar tergelak, tak sangka sambungannya sebegitu. Saya suka ayat ni. Sudahlah sedang asyik kesandung sahaja belakangan ini. Kesandung dalam usaha mengenal diri.

Malam semalam-semalam pula saya membaca tulisan penutup Buya Hamka dalam Kenang-kenangan Hidup,

"Amatlah sukar bagi seseorang mencari dirinya. Orang lain hanya yang selalu mempermudah mengetahui diri kita. Kalau dia teman dipujinya kita setinggi langit. Kalau dia musuh dihentamnya kita sampai ke petala bumi. Sedang yang harus tahu siapa diri itu ialah diri sendiri. Dan mengetahui diri itulah yang amat sukar.


Betapa banyaknya manusia yang tidak tahu siapa dirinya dan di mana dia harus duduk. Kadang-kadang dipanjatnya pohon dadap kerana di puncaknya ada layang-layang tersangkut. Layang-layang dapat, tetapi dadanya berkelukuran. Kadang-kadang tergenang air di pancuran, demi setelah diperiksa ternyata ada sehelai daun cempedak menghambat di lubang pancuran itu. Si daun cempedak tidak tahu bahawa di sana bukanlah tempatnya."


Susah memang susah, tetapi bahaya lebih besar adalah pabila kita putus asa mencuba.
Tidak kurang bahaya apabila tewas dengan persona, merasa selesa dengan identiti yang sebenarnya bukan kita.

Bak kata Yeom, penghalang untuk kita belajar,


1. Arrogance of knowing the right answer.
2. Prejudice in using our own norm to determine things.


VI

' Menulis adalah satu jalan ekspresi, sebuah tanda hidup.
Sejak ribuan tahun, tulisan mewakili kita, tulisan mewakili manusia.
Namun seperti insan, walau hingga ribuan tahun hadapan,
tidak semua tulisan mengenal Tuhan.'

Saya pernah bertanya, apa beza 'manusia' dan 'insan'?
Setelah beberapa sela masa saya dijawab,
"Mungkin seperti perbezaan 'human' dan 'man'?

Saya tersenyum, lebih daripada kerana jawapan itu turut berakhir dengan persoalan.
Saya tersenyum kerana merasakan benar manusia ditempa dengan jiwa yang sama, walau merentas budaya, merentas bahasa, merentas benua.

Bangsa-bangsa dunia banyak sebenarnya berkongsi peribahasa, pepatah petitih yang memang serupa atau kadang dekat sekali miripnya. Manakan tidak, indera kita sama, jiwa kita sama, cuma kita dihadiahkan dengan masa dan tempat berlainan.


Mengenal bukan hanya dengan membeza-beza, dan menempa nama buat tiap satunya.

Ada yang sepertinya diketahui, tetapi sengaja dibiar tidak dirungkaikan.

Dari itu, sehingga itu, manusia dan insan adalah sama.



VII

Saya suka nombor tujuh. Saya harap yang kelapan nanti lebih baik.


________________

Ni kira tujuh entrilah, hasil tak terdaya menulis bulan-bulan ini.
Sayang semua. =)

Bonne continuation.
Assalamualaikum.




17 July 2012

1 2 3 4




Lagu budak-budak sayu-sayu tak balik raya tahun ni. heh

Oh ya, Ramadhan.

1 2 3 4

Lagu ni mengisahkan tentang kecintaan

dan keutamaan.





10 July 2012

06 July 2012

Manikam

Yoo Jaesuk. (heh)


Kelmarin terjumpa belalang kunyit di sini. Terkejut bukan main. Wujud rupanya.

Teringat, dulu kecil-kecil tangkap belalang ni belakang rumah mbah.

Atas permintaan kami, Mbah 'siang' sikit, potong kepak, sesungut, dan kaki tajam belakang, kemudian goreng.

Bila makan, wah sedap! Serius. Rasa macam udang. Masa itu aku terfikir,
" Tuhan ni mesti adil kan. Mesti ada orang tak mampu beli udang, tapi sebenarnya dia dah dapat 'rasa' udang tu kat makanan lain."


II

Mbah kalau kejut subuh selalu,

"Ayo tangi tangi. Cekekal, cekekal."

'Cekekal' ni sefaham saya bermaksud bingkas bangkit. Bangun tegak, bukan malas-malas buka katup gosok-gosok mata, geliat-geliat dalam selimut.




III

Hanya manikam mengenal manikam.










24 June 2012

Hujan


HUJAN BULAN JUNI
tak ada yang lebih tabah
dari hujan bulan juni
dirahasiakannya rintik rindunya
kepada pohon berbunga itu
tak ada yang lebih bijak
dari hujan bulan juni
dihapusnya jejak-jejak kakinya

yang ragu-ragu di jalan itu
tak ada yang lebih arif
dari hujan bulan juni
dibiarkannya yang tak terucapkan

diserap akar pohon bunga itu  
Sapardi Djoko Damono


______________________________________

Ia yang tabah, bijak, dan arif, memberi tanpa diketahui, tahu benar bila harus berhenti. 
Ia tabah, bijak, dan arif, lantaran ia takluk.

Betapa tika itu, hati meronta-ronta mahu keluar kelas dan bermain hujan.  Nasib baik duduk dekat dengan tingkap, dapatlah juga tempiasnya.

Moga ada lagi, hujan bulan Sya’ban.  =)